Return to site

ZIKIR SELEPAS SOLAT YANG TIDAK BERASAL DARIPADA AJARAN RASULULLAH S.A.W.

October 3, 2024

Telah masyhur dalam kalangan rakyat Malaysia, sejak dahulu lagi, yang mana selepas solat, rata-rata imam dan makmum akan beristighfar dan berzikir dengan zikir-zikir tertentu, antaranya:

اللهم أنت السلام ومنك السلام وإليك يعود السلام فحينا ربنا بـالسلام وأدخلنا جنة دار السلام تباركت ربنا وتعاليك يا ذا الجلال والإكرام

Maksudnya:

“Ya Allah ya Tuhan kami, Engkaulah Tuhan Yang Maha Sejahtera, daripada Engkaulah datangnya kesejahteraan dan kepada Engkaulah kembalinya kesejahteraan. Maka, hidupkanlah kami wahai Tuhan kami dalam kesejahteraan dan masukkanlah kami ke dalam syurga, negeri kesejahteraan. Maha Suci Engkau Tuhan kami Yang Maha Tinggi, Pemilik Keagungan dan Kemuliaan.”

Sedangkan yang sabit di dalam hadis, selepas Nabi s.a.w. bersolat, baginda akan beristighfar tiga kali, lalu menyebut lafaz zikir yang lebih ringkas, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Tsauban, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا انْصَرَفَ مِنْ صَلاَتِهِ اسْتَغْفَرَ ثَلاَثًا وَقَالَ‏ اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ

Maksudnya:

Biasanya, apbila Rasulullah s.a.w. telah selesai bersolat, baginda akan beristigfar sebanyak 3 kali, lalu berkata,“Ya Allah ya Tuhan kami, Engkaulah Tuhan Yang Maha Sejahtera dan daripada Engkaulah datangnya kesejahteraan. Maha Suci Engkau Pemilik Keagungan dan Kemuliaan.”

Atau dengan lafaz sedikit berbeza di dalam riwayat lain:

اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ

Maksudnya:

“Ya Allah ya Tuhan kami, Engkaulah Tuhan Yang Maha Sejahtera dan daripada Engkaulah datangnya kesejahteraan. Maha Suci Engkau wahai Pemilik Keagungan dan Kemuliaan.”

Menurut ‘A’isyah r.a.ha., inilah kadar lafaz zikir paling minimum yang diucapkan oleh Nabi s.a.w. sebelum baginda meninggalkan tempat solatnya:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم إِذَا سَلَّمَ لَمْ يَقْعُدْ إِلاَّ مِقْدَارَ مَا يَقُولُ‏ اللَّهُمَّ أَنْتَ السَّلاَمُ وَمِنْكَ السَّلاَمُ تَبَارَكْتَ ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ وَفِي رِوَايَةِ ابْنِ نُمَيْرٍ يَا ذَا الْجَلاَلِ وَالإِكْرَامِ‏

Maksudnya:

Daripada ‘A’isyah r.a.ha., katanya, “Biasanya apabila Nabi s.a.w. telah memberi salam (selepas solat), baginda tidak duduk melainkan pada kadar bacaan, ‘Ya Allah ya Tuhan kami, Engkaulah Tuhan Yang Maha Sejahtera dan daripada Engkaulah datangnya kesejahteraan. Maha Suci Engkau Pemilik Keagungan dan Kemuliaan,’ atau di dalam riwayat Ibn Numair, ‘Wahai Pemilik Keagungan dan Kemuliaan.’

Malangnya, lafaz yang lebih ringkas dan sahih ini tidak masyhur. Sebaliknya,lafaz yang lebih panjang itu pula yang masyhur, sedangkan ia tidak berasal daripada ajaran Nabi s.a.w.

Meskipun maksud lafaz zikir yang panjang itu tidak bercanggah dengan syarak, tetapi berpada dengan sunnah Nabi s.a.w. itulah yang lebih baik, kerana baginda sentiasa bertindak mengikut wahyu.

Maka, lafaz zikir ajaran Nabi s.a.w. itulah yang sebenarnya Allah mahu kita lafazkan selepas solat.

Wallahu a’lam.