Antara kelebihan Jami’ at-Tirmizi ialah susunannya tertib dan cermat, tajuk-tajuk babnya terang serta mudah difahami, dan hadis-hadis di dalamnya senang dicari.
Hal ini berbeza dengan kitab-kitab hadis yang lain, seperti Sahihal-Bukhari, sehingga ada ulama yang berkata bahawa hanya orang yang benar-benar ‘alim sahaja yang mampu untuk memahami Sahih al-Bukhari.
Adapun Jami’ at-Tirmizi, ia boleh difahami oleh sesiapa sahaja, hatta oleh orang awam.
Sebagai perbandingan, di dalam Sahih al-Bukhari, ada disebutkan Bab Melewatkan Sedikit Solat Zohor Sehingga Sejuk Apabila Cuaca Terlalu Panas (باب الإِبْرَادِ بِالظُّهْرِ فِي شِدَّةِ الْحَرِّ).
Bab ini disebutkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam Kitab Waktu-WaktuSolat (كتاب مواقيت الصلاة) sebelum beliau membahaskan bilakah bermula dan berakhirnya waktu Solat Zohor.
Kenapa beliau lakukan begitu? Ada sebabnya, tetapi ia memerlukan penjelasan lanjut yang sudah tentu tidak boleh difahami secara langsung oleh orang awam yang tidak mempelajari Sahih al-Bukhari secara formal.
Susuan bab sebagaimana yang dilakukan oleh al-Imam al-Bukhari ini amat jarang sekali dilakukan oleh al-Imam at-Tirmizi di dalam Jami’ at-Tirmizi.
Rentetan itu, Jami’ at-Tirmizi menjadi lebih mesra kepada orang awam dan lebih mudah untuk difahami oleh mereka.
Wallahu a’lam.