Ada pihak yang mendakwa bahawa kita wajib sesat jika kembali merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah secara langsung.
Sesungguhnya, ini adalah penyataan yang kurang cermat daripada bicara orang yang bukan ahlinya. Maka, benarlah sabda Nabi s.a.w.:
إِذَا أُسْنِدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ، فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ
Maksudnya: “Apabila diberikan sesuatu urusan kepada selain ahlinya, maka nantikanlah saat kehancuran.”
Walhal, Nabi s.a.w. sendiri yang memerintahkan kita semua, sama ada ‘ulamak mahupun orang awam, supaya berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah sebagaimana sabda baginda:
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Maksudnya: “Telah aku tinggalkan kepada kalian dua perkara. Kalian tidak akan sesat selagi mana kalian berpegang teguh dengan kedua-duanya (iaitu) Kitabullah (al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya.”
Meskipun zahir ucapannya itu ditujukan kepada orang yang merujuk kepada al-Quran dan as-Sunnah tanpa panduan ‘ulamak, realitinya ia ditujukan kepada golongan yang menyeru umat supaya berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah. Lalu, seruan ini diselewengkan maknanya kononnya kita mengajak manusia supaya menafsirkan sendiri al-Quran dan as-Sunnah.
Sedangkan realitinya bukan begitu. Hakikatnya, golongan yang menyeru kepada al-Quran dan as-Sunnah inilah yang paling kerap menukilkan kalam ‘ulamak beserta sumber rujukannya secara tuntas.
Malangnya, ramai yang terpedaya dengan dakyah ini sehingga para pendakwah yang ikhlas mahu membawa manusia kepada kebenaran diberkas dan disekat suara mereka. Manakala mereka yang menyebarkan kesesatan secara terang-terangan, seperti mendakwa boleh menyelak tabir untuk bertanyakan hukum-hakam sesuatu masalah secara langsung kepada Nabi s.a.w., dibiarkan terus mengajar tanpa sebarang sekatan.
Kesannya, hari demi hari, semakin banyak kesesatan yang tersebar.
Ringkasnya, ini adalah ucapan yang berpunca daripada kejahilan yang wajib dibanteras dengan cara menuntut ilmu.
Wallahu a'lam.