Para ‘ulamak berbeza pendapat dalam menentukan adakah tangan atau lutut yang perlu diturunkan terlebih dahulu ketika hendak sujud.
PENDAPAT PERTAMA
Al-Imam Malik, al-Imam al-Auza’i dan satu pendapat dari al-Imam Ahmad bin Hanbal menyatakan bahawa tangan yang diturunkan terlebih dahulu sebelum lutut.
Mereka berhujahkan sebuah hadis riwayat al-Imam Abu Daud dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a., katanya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
إِذَا سَجَدَ أَحَدُكُمْ فَلاَ يَبْرُكْ كَمَا يَبْرُكُ الْبَعِيرُ وَلْيَضَعْ يَدَيْهِ قَبْلَ رُكْبَتَيْهِ
“Apabila salah seorang daripada kalian hendak sujud, maka janganlah dia turun sebagaimana turunnya unta, dan hendaklah dia meletakkan kedua-dua belah tangannya terlebih dahulu sebelum (meletakkan) kedua-dua belah lututnya.”
[Sunan Abi Daud (840)]
Namun begitu, status hadis ini menjadi perselisihan dalam kalangan ‘ulamak. Sebahagian ‘ulamak, termasuklah al-Imam al-Bukhari menilai hadis ini sebagai dha’if kerana pada sanadnya terdapat Muhammad bin ‘Abdullah bin Hasan yang dinilai sebagai dha’if oleh beliau, sebagaimana yang beliau sebutkan di dalam Hasyiatul Imam Libni ‘Abdil Hadi (112).
Al-Imam Ibnul Qayyim didalam Zadul Ma’ad (1/216) pula berpendapat bahawa terdapat wahm (kekeliruan) pada “hendaklah dia meletakkan kedua-dua belah tangannya terlebih dahulu sebelum kedua-dua belah lututnya” kerana menurut beliau, secara zahirnya, unta menurunkan kedua-dua belah tangannya (kaki depannya) terlebih dahulu sebelum kedua-dua belah kaki belakangnya.
PENDAPAT KEDUA
Jumhur ‘ulamak pula, iaitu dari Mazhab Hanafi, Mazhab Syafi’i dan Mazhab Hanbali, berpendapat bahawa lutut diturunkan terlebih dahulu sebelum tangan.
Mereka berhujahkan sebuah hadis riwayat al-Imam an-Nasa’i dan al-Imam at-Tirmizi dengan sanadnya daripada Wa’il bin Hujr, katanya:
رأيتُ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم إذا سجَد وضَع رُكبَتَيهِ قبلَ يَديهِ
“Aku telah melihat Rasulullah s.a.w., apabila baginda hendak sujud, baginda meletakkan kedua-dua belah lututnya sebelum (meletakkan) kedua-dua belah tangannya.”
[Sunan an-Nasa’i (1154) dan Jami’ at-Tirmizi (268)]
Tetapi, hadis ini dha’if dan ia dinilai sebagai dha’if, termasuklah oleh al-Imam an-Nasa’i dan al-Imam at-Tirmizi sendiri kerana ia hanya diriwayatkan oleh Syarik al-Qadhi, iaitu seorang perawi yang sangat dha’if dan mempunyai hafalan yang buruk.
KESIMPULAN
Kedua-dua hadis ini sebenarnya bermasalah. Maka, hendaklah diperhatikan intipati daripada apa yang dikehendaki daripada hadis ini dan hadis-hadis lain yang berkaitan dengan solat iaitu Nabi s.a.w. melarang kita daripada menyerupai haiwan dalam solat.
Lalu, jika kita meyakini dan berpendapat bahawa menurunkan tangan itu lebih mirip dengan cara unta turun, sebagaimana yang disebutkan oleh al-Imam Ibnul Qayyim, maka kita turunkanlah lutut terlebih dahulu. Demikianlah juga sebaliknya.
Selain itu, kita juga perlu melihat keadaan diri kita. Sekiranya keadaan fizikal kita menyebabkan kita berrasa lebih selesa dan lebih mudah untuk menurunkan tangan sebelum lutut (seperti orang tua atau yang sakit lutut), maka perbuatlah seperti itu.
Sebaliknya, jika menurunkan lutut itu dirasakan lebih mudah dan lebih selesa bagi kita, kita turunkanlah lutut terlebih dahulu.
Sesungguhnya, terdapat keluasan dalam masalah ini.
Wallahua’lam.