Return to site

TARANNUM YANG TERLARANG

August 20, 2024

Bertarannum secara berlebih-lebihan adalah bid’ah.

Namun begitu, jika bertarannum dalam erti kata melagukan al-Quran dengan bacaan yang merdu sambil menjaga hukum tajwid tanpa melagukannya dengan sebarang irama lagu seperti Hindustan, Jazz dan sebagainya, maka, ia termasuk dalam keumuman sabda Nabi Muhammad s.a.w.:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ لَمْ يَتَغَنَّ بِالْقُرْآنِ

Maksudnya:

“Tidaklah termasuk dalam kalangan kami sesiapa yang tidak melagukan al-Quran.”

Maka, diharuskan untuk bertarannum dengan menjaga hak-hak ini, tanpa melampaui batas.

Tetapi maksud sebenar melagukan al-Quran adalah membaca al-Quran dengan menjaga hak tajwid dengan lenggokan suara yang terjadi secara asli. Inilah jenis tarannum yang dibenarkan oleh para ulama tanpa sebarang khilaf.

Adapun nama-nama tarannum yang datang kemudian, ianya tidak mengapa selagi mana ia tidak lari daripada lahn (lenggok bacaan) Arab yang membaca al-Quran dengan bersahaja. Pun begitu, sekiranya sesuatu irama itu masyhur dengan sesuatu yangtidak baik (seperti irama Bollywood), janganlah meletakkan nama-nama itu.

Demikianlah juga nama-nama tarannum yang masyhur seperti Bayati, Ras, Nahwan dan sebagainya, lagu-lagu tersebut mempunyai asalnya yang mana ia biasanya dibaca mengikut konteks ayat. Misalnya, ayat-ayat yang sedih dibaca dengan irama yang sedih, manakala ayat-ayat yang gembira pula dibaca dengan irama yang menggambarkan perasaan seronok.

Maka, lagu-lagu seperti ini bukan sahaja diharuskan, malah ia menguatkan lagi makna ayat-ayat al-Quran yang dibaca.

Wallahu a’lam.