Tidak tepat dakwaan bahawa kita perlu tahu dan memahami dalil yang digunakan oleh mazhab lain sebelum kita mahu mengikut pendapat mereka, kerana secara umumnya semua mazhab terbina di atas nas (al-Quran dan as-Sunnah).
Hanyasanya yang membezakan sesuatu mazhab dengan mazhab yang lain adalah pada tafsiran terhadap nas kerana nas tersebut tidak qath’i dalalahnya (tidak menunjukkan yang ia mempunyai satu maksud sahaja secara pasti dan muktamad) sehingga memberikan ruang untuk kita mempunyai perbezaan tafsiran dan pendapat terhadapnya.
Maka, tidak seharusnya kita menghukum orang yang tidak berpegang dengan sesuatu mazhab secara konsisten itu salah, kerana biasanya orang yang melakukan hal demikian itu mendapati bahawa pendapat mazhabnya tidak selari dengan maksud nas, sehingga dia memilih untuk cenderung kepada mazhab lain dalam sesuatu masalah.
Selain itu, terdapat ramai ‘ulamak yang memang tidak berpegang kepada mana-mana mazhab seperti al-Imam asy-Syaukani (w. 1255H), pengarang Nailul Awthor, asy-Syaikh Syamsul Haq al-‘Azim Abadi (w. 1329H), pengarang ‘Awnul Ma’bud (Syarah Sunan Abi Daud), dan asy-Syaikh Abul ‘Ala Muhammad ‘Abdur Rahman al-Mubarakfuri (w. 1353H), pengarang Tuhfatul Ahwazi (Syarah Jami’ Tirmizi), yang mana karya-karya tulisan mereka dijadikan rujukan dan keilmuwan mereka tidak dipertikaikan oleh sesiapa pun.
Maka, jika tidak berpegang kepada mana-mana mazhab itu adalah satu kesalahan, adakah perbuatan para ‘ulamak yang disebutkan di atas itu salah? Semestinya tidak.
Dan hal ini juga tidak seharusnya dibataskan kepada para ‘ulamak, selagi mana seseorang itu belajar atau mengikut pendapat mana-mana ‘ulamak yang diperakui keilmuwannya.
Maka, sebagaimana kebanyakan orang awam berpegang dengan sesuatu mazhab tanpa mengetahui dalilnya, demikianlah juga harus bagi orang awam untuk mengikut pendapat mazhab yang pelbagai tanpa mengetahui dalilnya, kerana ia lebih memberikan keluasan dan kemudahan kepada mereka.
Wallahu a'lam.