Hukum menyebut “Sadaq Allahul ‘Azim” yang bermaksud “Benarlah (firman) Allah Yang Maha Agung itu” selepas selesai membaca al-Quran, adalah harus, dengan syarat ia tidak dilazimi, kerana memang terdapat hadis yang menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. pernah mengucapkan perkataan tersebut, tetapi baginda tidak menjadikannya sebagai bacaan lazim selepas selesai membaca al-Quran.
Antaranya adalah sebagaimana yang diriwayatkan di dalam sebuah hadis riwayat Buraidah r.a., katanya:
كانَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ يخطبُنا إذ جاءَ الحسنُ والحُسَيْنُ عليهما قميصانِ أحمرانِ يمشيانِ ويعثُرانِ فنزلَ رسولُ اللَّهِ صلَّى اللَّهُ علَيهِ وسلَّمَ منَ المنبرِ فحملَهُما ووضعَهُما بينَ يديهِ ، ثمَّ قالَ : صدقَ اللَّهُ إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ نظرتُ إلى هذينِ الصَّبيَّينِ يمشيانِ ويعثُرانِ فلم أصبِر حتَّى قطعتُ حديثي ورفعتُهُما
“Dahulu, Rasulullau s.a.w. pernah menyampaikan khutbah kepada kami. Tiba-tiba, datanglah al-Hasan dan al-Husain dengan memakai baju berwarna merah; mereka berdua berjalan lalu tersadung dan jatuh. Maka, Rasulullah s.a.w. pun segera turun dari minbar dan mengendong mereka berdua seraya bersabda:
صدقَ اللَّهُ إِنَّمَاأَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ
“Benarlah firman Allah, 'Hanyasanya harta benda kalian dan anak-anak kalian adalah
fitnah.'
Aku telah memerhatikan dua orang budak ini berjalan-jalan dan tersadung. Lalu, aku tidak dapat menahan sabar sehinggalah aku meninggalkan khutbahku dan mengangkat mereka berdua."
[Jami'at-Tirmizi (3774) : Hasan Gharib]
Di dalam hadis di atas, Nabi s.a.w. mengucapkan ungkapan “Sadaq Allah” sebagai tanda membenarkan firman Allah Ta’ala pada waktu tersebut sesuai dengan situasi. Maka, itulah waktu yang paling menepati sunnah untuk mengucapkan ungkapan ini.
Adapun selepas selesai membaca al-Quran, ungkapan yang lebih menepati sunnah untuk disebut ialah Tasbih Kaffarah iaitu:
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ ، لاَ إِلَهَ إِلاَّأَنْتَ ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ
“Maha Suci Engkau ya Allah ya Tuhan kami dengan memuji-Mu, tidak ada sembahan melainkan Engkau, daku memohon keampunan kepada-Mu dan bertaubat kepada-Mu.”
Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan di dalam hadis berikut:
عن عائشة رضي الله عنها قالت : مَا جَلَسَ رَسُولُ اللهِ مَجْلِسًا قَطُّ ، وَلاَ تَلاَ قُرْآناً ، وَلاَ صَلَّى صَلاَةً إِلاَّ خَتَمَ ذَلِكَ بِكَلِمَاتٍ
Daripada A'isyah r.a.ha., katanya, "Tidaklah Rasulullah s.a.w. duduk di suatu majlis atau membaca al-Qur’an atau mengerjakan solat kecuali baginda pasti mengakhiri (amalan-amalan tersebut) dengan membaca beberapa kalimat.”
قَالَتْ : فَقُلْتُ : يَا رَسُولَ اللهِ ، أَرَاكَ مَا تَجْلِسُ مَجْلِساً ، وَلاَ تَتْلُو قُرْآنًا ، وَلاَ تُصَلِّي صَلاَةً إِلاَّ خَتَمْتَ بِهَؤُلاَءِ الْكَلِمَاتِ
A’isyah berkata lagi, "Maka, aku pun berkata (kepada baginda), 'Wahai Rasulullah (s.a.w.), aku dapati, tidaklah engkau duduk di suatu majlis, membaca al-Quran dan mengerjakan solat melainkan engkau akhiri (amalan-amalan tersebut) dengan beberapa kalimat.'
قَالَ : نَعَمْ ، مَنْ قَالَ خَيْراً خُتِمَ لَهُ طَابَعٌ عَلَى ذَلِكَ الْخَيْرِ ، وَمَنْ قَالَ شَرّاً كُنَّ لَهُ كَفَّارَةً : سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ
Baginda pun bersabda, 'Benar, barangsiapa yang menuturkan kata-kata yang baik, maka dengan kalimat tersebut, amalan tadi akan dipatri dengan kebaikan. Dan barangsiapa yang menuturkan kata-kata yang buruk, maka kalimat tersebut menjadi penghapus dosa untuknya (iaitu ucapan tasbih):
.سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنْتَ ، أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيْكَ
'Maha Suci Engkau ya Allah ya Tuhan kami dengan memuji-Mu, tidak ada sembahan melainkan Engkau, daku memohon keampunan kepada-Mu dan bertaubat kepada-Mu).'”
[as-Sunan al-Kubra lin-Nasa'i (9720) dan disahihkan oleh al-Wadi’i dalam as-Sahih al-Musnad (1619)]
Maka, berdasarkan hadis sahih di atas, disunatkan untuk kita membaca Tasbih Kaffarah usai membaca al-Quran dan selepas selesai menunaikan solat, di samping menjadikannya sebagai penutup majlis, dan inilah amalan penutup selepas membaca al-Quran yang lebih menepati sunnah berbanding menyebut "Sadaq Allahul 'Azim."
Wallahua’lam.