Apabila ditanya tentang maksud Salafi dan Wahhabi, Maulana Asri menjelaskan bahawa Salafi merujuk kepada sebahagian Kaum Muslimin yang mendakwa bahawa mereka mahu mengikut al-Quran dan as-Sunnah mengikut tafsiran Salafu Soleh iaitu generasi terawal umat Islam yang hidup pada 300 tahun Hijriyyah pertama.
Wahhabi pula merujuk kepada gelaran yang diberikan kepada pengikut asy-Syaikh Muhammad bin ‘Abdul Wahhab, ‘ulamak besar di ‘Arab Saudi yang juga mengikut manhaj Salafi. Kerana itulah mereka tidak suka kepada gelaran inidan lebih suka disebut sebagai Salafi.
Maka, ungkapan Salafi lebih umum daripada Wahhabi. Tetapi, rata-rata masyarakat menganggap semua Salafi adalah Wahhabi, walhal kedua-duanya mempunyai beberapa perbezaan kecil, antaranya Wahhabi dikaitkan dengan tokoh tertentu iaitu asy-Syaikh Muhammad bin ‘Abdul Wahhab, sedangkan Salafi pula merujuk kepada manhaj atau cara memahami dan mengamalkan agama.
Tetapi, secara umumnya, Salafi (termasuklah mereka yang digelar sebagai Wahhabi) tidak suka kepada bid’ah,
khurafat, ilmu kalam dan pemujaan melampau terhadap Nabi s.a.w. dan orang-orang soleh.
Kerana itulah Salafi tidak melakukan kenduri arwah, majlis tahlil, pemujaan kubur, sambutan Maulid Nabi s.a.w., majlis haul (ulang tahun kematian tokoh-tokoh tertentu) dan yang seumpama dengannya kerana semua ini tidak dikenali oleh Salafu Soleh.
ULASAN PENULIS
Tidaklah salah jika dikatakan bahawa Salafi adalah terma lain atau sinonim bagi Ahlus Sunnah wal Jama’ah,
kerana kedua-dua merujuk kepada maksud yang sama, sebagaimana yang disabdakan
oleh Nabi s.a.w. apabila ditanya tentang siapakah satu-satunya kelompok yang terselamat
daripada api neraka, maka baginda menjawab:
مَا أَنَا عَلَيْهِ وَأَصْحَابِي
Maksudnya: “Mereka adalah golongan yang berada di atas sunnahku dan para sahabatku.”
Selain itu, baginda juga berpesan supaya versi Islam yang diamalkan oleh tiga
generasi terawal Islam, sebagaimana sabdanya s.a.w.:
أُوصِيكُمْ بِأَصْحَابِي ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ يَفْشُو الْكَذِبُ حَتَّى يَحْلِفَ الرَّجُلُ وَلاَ يُسْتَحْلَفُ وَيَشْهَدَ الشَّاهِدُ وَلاَ يُسْتَشْهَدُ
Maksudnya: “Aku berwasiat kepada kalian supaya mengikut para sahabatku. Kemudian, ikutlah generasi yang mengiringi mereka. Kemudian, ikutlah generasi yang mengiringi mereka. Kemudian, akan tersebar luaslah pendustaan sehingga ada yang berani bersumpah sedangkan dia belum pun diminta untuk bersumpah (oleh pihak berkuasa) dan ada yang memberikan penyaksian walhal penyaksiannya itu tidak pun diminta.”
Salafi bukan sahajamenentang bid’ah, khurafat dan ilmu kalam, sebaliknya mereka juga terkehadapan dalam menentang maksiat (sehingga ada ‘ulamak di Arab Saudi yang sanggup dipenjarakan demi menentang budaya hedonism yang cuba dihidupkan oleh Putera Muhammad bin Salman) dan menjawab fitnah dan tipu daya kaum munafiq (seperti Islam Liberal). Semua ini selari dengan sabda Nabi s.a.w.:
مَا مِنْ نَبِيٍّ بَعَثَهُ اللَّهُ فِي أُمَّةٍ قَبْلِي إِلاَّ كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ يَقُولُونَ مَا لاَ يَفْعَلُونَ وَيَفْعَلُونَ مَا لاَ يُؤْمَرُونَ فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ
Maksudnya: “Tidak ada seorang pun Nabi yang diutuskan oleh Allah kepada sesuatu umat sebelumku, melainkan pasti ada dalam kalangan umatnya itu para pembela dan para sahabat(nya) yang berpegang teguh dengan sunnahnya dan bersungguh-sungguh mengikut perintahnya.
Kemudian, ia pasti meninggalkan mereka pengganti iaitu golongan (munafiq) yang suka mengatakan apa yang tidak mereka kerjakan dan golongan (ahlul bid’ah) yang suka melakukan apa yang tidak diperintahkan (oleh Nabi mereka).
Maka, barangsiapa yang menentang mereka (munafiq dan ahlu bid’ah itu) dengan tangannya, dia adalah seorang mukmin. Barangsiapa yang menentang mereka dengan lidahnya, dia juga adalah seorang mukmin. Dan barangsiapa yang menentang mereka dengan lubuk jantungnya (iaitu dengan menyembunyikan kebencian kepada mereka di dalam hati), dia juga adalah seorang mukmin.
Dan tidak ada lagi dibelakang itu (tidak menentang dengan tangan, lidah mahupun hati) keimanan walaupun sebesar biji sawi.”
Dan tujuan Salafi menentang semua tokok-tambah dan fitnah terhadap agama ini tidak lain hanyalah untuk menjadikan agama ini kembali selari dengan sunnah Nabi s.a.w. yang telah dirosakkan oleh ramai manusia sebagaimana sabda baginda s.a.w.:
إِنَّ الدِّينَ لَيَأْرِزُ إِلَى الْحِجَازِ كَمَاتَأْرِزُ الْحَيَّةُ إِلَى جُحْرِهَا وَلَيَعْقِلَنَّ الدِّينُ مِنَ الْحِجَازِ مَعْقِلَ الأُرْوِيَّةِ مِنْ رَأْسِ الْجَبَلِ إِنَّ الدِّينَ بَدَأَ غَرِيبًا وَيَرْجِعُ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ الَّذِينَ يُصْلِحُونَ مَا أَفْسَدَ النَّاسُ مِنْ بَعْدِي مِنْ سُنَّتِي
Maksudnya: “Sesungguhnya, agama ini pasti akan berlindung di Hijaz sebagai ular menjadikan lubangnya sebagai tempat perlindungannya dan agama ini pasti akan berpaut di Hijaz sebagaimana kambing gurun berpaut di puncak gunung.
Sesungguhnya, agama ini bermula sebagai sesuatu yang asing dan ia akan kembali menjadi asing, maka beruntunglah orang-orang yang dianggap asing iaitu mereka yang memperbaiki sunnahku yang telah dirosakkan oleh manusia selepas kewafatanku supaya ia kembali dalam bentuknya yang asal.”
Maka, jika kita merenung hadis-hadis di atas secara jujur dan insaf, pasti kita akan mengakui bahawa hakikatnya, Salafi (atau yang dilabel sebagai Wahhabi) itulah sebenarnya golongan yang menepati ciri-ciri Ahlus Sunnah wal Jama’ah yang disebutkan oleh Nabi s.a.w.
Kerana itulah jumlahmereka sedikit (ghuraba’) jika dibandingkan dengan jumlah Kaum Muslimin secara keseluruhannya. Mereka juga sangat bersemangat mahu memahami dan mengamalkan Islam sebagaimana yang menjadi pegangan tiga generasi Islam terawal (Salafu Soleh), menentang tokok-tambah dalam urusan agama dan tipu daya kaum munafiq, supaya manusia kembali beramal menepati sunnah Nabi s.a.w. yang telah dirosakkan oleh ramai manusia.
Tetapi, sejelas manapun sabda Nabi s.a.w., tetaplah hidayah dan taufiq itu menjadi milik Allah, sehingga Dia sahajalah yang berkuasa memberikan petunjuk kepada sesiapa yang Dia kehendaki.
Wallahu a'lam.