Hadis bermaksud segala apa yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. daripada perkataan, perbuatan atau pengiktirafan baginda (terhadap pandangan atau perbuatan para sahabat), baik sandaran itu benar lagi terbukti keabsahannya mahupun tidak.
- Jika sesuatu sandaranitu dapat dibuktikan keabsahannya, ia disebut sebagai hadis sahih atau hasan.
- Jika sesuatu sandaran itu tidak dapati dipastikan sama ada ia benar-benar sabit dengan Nabi s.a.w. atau tidak, ia disebut sebagai hadis dha’if.
- Dan jika sesuatu sandaran itu dapat dipastikan bahawa ianya memang tidak sabit dengan Nabi s.a.w., ia disebut sebagai hadis maudhu’ (palsu).
Maka, takrif hadis itu terbuka sehingga ia merangkumi segala yang disandarkan kepada Nabi s.a.w., baik sandaran itu benar mahupun tidak.
Ia sama seperti duit, yang mana duit palsu juga disebut sebagai duit, meskipun pada hakikatnya, ia bukanlah duit yang diperakui oleh pihak bank dan undang-undang.
Hal ini berbeza dengan Sunnah, kerana Sunnah hanya merujuk kepada ajaran yang benar-benar diajar oleh Nabi s.a.w. sahaja. Maka, hanya ajaran baginda yang sabit melalui hadis sahih dan hasan sahajalah yang disebut sebagai Sunnah.
Adapun Jama’ah, ia merujuk kepada para sahabat. Maka, apabila sesuatu i’tiqad (kepercayaan) atau ‘amalan itu memang terbukti yang ianya diimani dan diamalkan oleh Nabi s.a.w. dan para sahabat, barulah boleh disebut sebagai Jama’ah.
Daripada penjelasan di atas, dapatlah difahami bahawa Ahlus Sunnah wal Jama’ah itu merujuk kepada umat Islam yang berada di atas landasan yang benar mengikut tatacara beragamanya Nabi s.a.w. dan para sahabat baginda.
Maka, apabila kita melihat sebarang ajaran yang tidak berasal daripada sunnah Nabi s.a.w. dan para sahabat, ia adalah isyarat yang jelas bahawa ia bukanlah daripada bahagian Islam yang asal dan tidaklah layak untuk ia dinisbahkan sebagai pegangan Ahlus Sunnah wal Jama'ah.
Wallahua’lam.