Al-Imam Ibn Hazm al-Andalusiy (384 – 457 H) berkata:
نقل الثقة عن الثقة يبلغ به النبي - صلى الله عليه وسلم - مع الاتصال خص الله به المسلمين دون سائر الملل وأما مع الإرسال والإعضال فيوجد في كثير من اليهود ولكن لا يقربون فيه من موسى قربنا من محمد - صلى الله عليه وسلم - بل يقفون بحيث يكون بينهم وبين موسى أكثر من ثلاثين عصرًا
"Nukilan oleh orang yang dipercayai daripada orang yang dipercayai yang bersambung-sambung sampai kepada Nabi s.a.w. adalah satu keistimewaan yang diberikan oleh Allah kepada orang-orang Islam sahaja; tidak kepada penganut-penganut agama lain.
Adapun nukilan secara mursal atau i’dhol (sanad yang terputus), ia boleh didapati dengan banyak sekali dalam kalangan Yahudi. Cuma Yahudi tidak hampir kepada Nabi Musa a.s. sehampirnya kita kepada Nabi Muhammad s.a.w. kerana jarak nukilan mereka daripada Nabi Musa a.s. adalah lebih daripada 30 dekad…”
[al-Imam as-s-Suyuthi, Tadribur Rawi (2/159).]
Sebenarnya nukilan ilmu mengikut sistem riwayat seperti yang dikenali oleh umat Islam tidak terdapat dalam umat lain, baik yang terdahulu, mahupun yang terkemudian.
Misalnya, tidak terdapatu satu pun kisah-kisah sejarah daripada mana-mana tamadun bangsa yang diriwayatkan dengan sanad yang sahih lagi bersambung, baik tamadun yang wujud sebelum zaman Nabi Muhammad s.a.w. mahupun yang muncul kemudian, di barat mahupun di timur, termasuklah sejarah kerajaan-kerajaan Islam seperti Kerajaan Bani Umayyah, ‘Abbasiyyah, ‘Uthmaniah, Kerajaan-Kerajaan Melayu di Nusantara dan lain-lain lagi.
Tidak terdapat satu pun susuk tubuh yang mana ucapannya, tindakannya dan pengesahannya (seperti dia berdiam dan tidak memberikan sebarang reaksi terhadap perbuatan orang lain di depannya) yang dicatit dengan rapi, kemas dan sistematik, lalu dihafal oleh ribuan manusia sejak dahulu sehingga kini, melainkan yang berkaitan dengan Nabi s.a.w.
Tak cukup dengan itu, kisah ini direkodkan pula dengan sistem sanad yang bersambung, sehinggakan latar belakang setiap perawinya dapat dikenal pasti biodatanya dengan lengkap dan terperinci, melalui tulisan ribuan pengarang kitab-kitab rijal yang mengumpulkan biodata para perawi hadis dengan susunan yang rapi, dan konsisten dalam setiap buku, sehingga peribadi seseorang perawi itu memang benar-benar dapat dibuktikan dan dipastikan kewujudannya, latar belakangnya dan akhlaqnya.
Sistem sanad seperti ini tidak wujud untuk merekodkan mana-mana individu, hatta Nabi-Nabi terdahulu, melainkan Nabi Muhammad s.a.w. sahaja.
Demikian jugalah dengan kata-kata para sahabat yang berkaitan dengan Nabi s.a.w., ia juga direkodkan dengan sistem sanad yang sama, kerana ia mempunyai pertalian dan kaitan rapat dengan Nabi s.a.w.
Maka, jika kita boleh menerima sejarah yang tidak dicatatkan atau disampaikan dengan sebarang sanad yang bersambung, adalah sesuatu yang menghairankan jika ada yang menolak hadis yang direkodkan dengan sistem sanad yang sangat kemas.
Dan cubalah kita fikirkan, bolehkah kita merancang untuk merekodkan dan menghafal kata-kata, perbuatan dan pengesahan mana-mana manusia? Adakah terdapat mana-mana akademi atau institusi pengajian yang boleh mengusahakan hal ini?
Jawapannya, tidak ada.
Maka, inilah yang dinamakan sebagai mukjizat yang melemahkan penganut agama lain, sehingga meskipun ada yang cuba memfitnah Nabi s.a.w. atau mencipta hadis-hadis palsu, ia tetap dapat dikesan, kerana terdapat garis panduan yang jelas untuk menilai keabsahan sesuatu hadis.
Apa hikmahnya daripada sistem sanad ini?
Hikmahnya adalah kerana Allah mahu menjaga keaslian agama ini supaya orang yang mengikut agama ini benar-benar yakin bahawa agama ini sememangnya berasal dari utusan Allah dan ajaran utusan Allah ini benar-benar terpelihara dengan kewujudan ilmu sanad ini.
Sesungguhnya, ilmu sanad ini menyedarkan kita bahawa ia sememangnya sebahagian daripada campur tangan dan pekerjaan Allah s.w.t.; bukan usaha manusia semata-mata, kerana jika ia adalah usaha manusia semata-mata, sudah tentu ia ada contoh dari generasi sebelumnya dan mampu ditiru oleh umat manusia yang datang kemudiannya.
Oleh yang demikian, kita hendaklah menghargai jasa para ‘ulamak yang bermati-matian mempertahankan hadis-hadis Nabi s.a.w. yang mereka lakukan tanpa sebarang upah daripada sesiapa pun melainkan pahala daripada Allah dan balasan baik pada Hari Akhirat semata-mata.
Wallahua’lam.