Allah s.w.t. berfirman:
یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِن جَاۤءَكُمۡ فَاسِقُۢ بِنَبَإࣲ فَتَبَیَّنُوۤا۟ أَنتُصِیبُوا۟ قَوۡمَۢا بِجَهَـٰلَةࣲ فَتُصۡبِحُوا۟ عَلَىٰ مَا فَعَلۡتُمۡ نَـٰدِمِینَ
Maksudnya: "Wahai orang-orang yang beriman, jika orang yang fasiq mendatangi kaliandengan suatu berita, hendaklah kalian pastikan dahulu kebenarannya supaya kalian tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum disebabkan oleh kejahilan kalian sendiri sehingga kalian kemudiannya menyesal atas apa yang telah kalian lakukan."
[Surah al-Hujurat (49) : 6]
Di dalam ayat ini, Allah mengingatkan kita supaya menapis setiap berita yang kita terima baik secara langsung, mahupun daripada media massa, lebih-lebih lagi jika ia dibawa oleh orang-orang yang fasiq iaitu orang yang melakukan dosa besar atau berterusan melakukan dosa kecil.
Sebaliknya, jika yang menyampaikan sesuatu berita itu adalah orang yang jujur, maka kita boleh menerimanya. Hanyasanya kita perlu beringat bahawa orang yang jujur pun mungkin boleh tersilap.
Adapun bagi orang yang belum kita kenal latar belakangnya, hendaklah kita pastikan terlebih dahulu orangnya bagaimana sebelum kita menerima bulat-bulat segala apa yang dia sampaikan.
Namun begitu, sikap terlalu berhati-hati dalam menerima sesuatu khabar atau berita juga boleh menyusahkan diri kita sendiri, seperti ketika waktu kecemasan. Sekiranya semua perkara perlu dipastikan terlebih dahulu sebelum kita bertindak, ia boleh membinasakan diri kita sendiri.
Wallahu a’lam.