Perbezaan ketara antara Ahlus Sunnah (pengikut wahyu) dengan Ahlul Ahwa’ (pengikut nafsu) adalah pada kaedah pendalilan atau penghujahan mereka.
Ahlus Sunnah sentiasa menjadikan ajaran Nabi s.a.w. sebagai sandaran bagi setiap amalan mahupun kepercayaan mereka. Misalnya, jika ditanyakan kepada Ahlus Sunnah, “Kenapa kamu melakukan amalan ini?” Mereka pasti akan mengemukakan dalil daripada sunnah Nabi s.a.w.
Adapun Ahlul Ahwa’, mereka tidak menitik beratkan soal dalil atau penghujahan agama. Sebaliknya, mereka berpada dengan amalan nenek moyang atau apa yang dilakukan oleh orang ramai, tanpa mempersoalkan asal usulnya.
Walhal Allah s.w.t. telah berfirman:
وَمَا يَنطِقُ عَنِ الْهَوَىٰ (3) إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَىٰ (4)
Maksudnya: “Dan tidaklah dia (Muhammad s.a.w.) menyebut satu perkara pun yang berasal daripada hawa nafsunya. Sebaliknya, ia tidak lain melainkan wahyu yang diturunkan kepadanya semata-mata.”
[Surah an-Najm (53) : 3 – 4]
Ayat di atas menjadi isyarat bahawa apa yang tidak datang daripada sunnah pada hakikatnya bersumber daripada hawa nafsu manusia semata-mata, biarpun ia dihias dengan pakaian agama.
Dan sepatutnya ayat ini menjadi peringatan tegas kepada kita betapa Nabi s.a.w. sendiri pun berpada dengan wahyu; masakan umat baginda boleh “beragama” tanpa menjadikan wahyu sebagai sandaran ilmu?
Wallahua’lam.