Dewasa ini, ramai agamawan yang bersikap bermudah-mudah dalam menghukum orang lain sebagai terkeluar daripada Ahlus Sunnah wal Jama’ah, dalam erti kata sesat, walhal, golongan yang dituduh sebagai terkeluar daripada Ahlus Sunnah wal Jama’ah itulah yang terkehadapan dalam mengajar al-Quran dan hadis kepada masyarakat.
Pada masa yang sama, golongan Sufi Quburi yang suka bergendang dan berqasidah di kubur, berzikir dengan lafaz yang aneh sambil menari, dan banyak lagi keanehan lain yang mereka bawa, seperti para pengikut Syaikh Nazim Haqqani yang telah difatwakan sebagai sesat, diberikan peluang seluas-luasnya sehingga boleh berceramah dan menjalankan sebarang aktiviti atau program tanpa sebarang sekatan.
Ke mana sebenarnya umat Islam ini mahu dibawa?
Sebelum ini, kita menyangka yang pihak berkuasa agama tempatan tidak mengetahui soal kesesatan kelompok Sufi Quburi seperti sebahagian Habaib Sufi, sehingga kita mengambil inisiatif menganjurkan program dan seminar untuk menerangkan kesesatan dan kesan buruk dakyah yang mereka bawa. Rupa-rupanya, mereka bukan sahaja mengetahuinya, malah membelanya pula.
Bagaimana mungkin kelompk Sufi Quburi ini boleh dianggap sebagai Ahlus Sunnah wal Jama’ah, sedangkan banyak ajaran mereka yang bercanggah dan tidak berasal sama sekali daripada sunnah Nabi s.a.w.?
Sesungguhnya, ini adalah ujian yang berat kepada umat Islam di negara ini kerana golongan yang jelas-jelas sesatnya diberikan kebebasan untuk mengajar dan menyebarkan kesesatan mereka kepada masyarakat awam.
Sebaliknya, orang-orang yang ikhlas mengajar agama menepati petunjuk al-Quran dan as-Sunnah mengikut pemahaman Salafu Soleh dan para 'ulamak muktabar dengan sumber rujukan yang jelas, disekat dan dilarang daripada mengajar agama kepada umat.
Maulana Asri sendiri pernah dihalang daripada mengajar di Pahang oleh pihak berkuasa agama tempatan sehingga beliau terpaksa berpindah tempat mengajar sebanyak tiga kali bagi satu program.
Pada kali pertama, Maulana Asri diugut supaya membatalkan programnya, walhal boleh sahaja mereka menggunakan laras bahasa yang lebih baik.
Lalu beliau dijemput ke tempat lain iaitu di masjid, tetapi kerana ditekan oleh pihak berkuasa agama, pihak pengurusan masjid terpaksa membatalkan program tersebut.
Pada kali ketiga, pihak penganjur berjaya menyewa sebuah dewan yang sangat cantik. Malangnya, pada hari program berkenaan, didapati yang pagarnya dikunci.
Akhirnya, di lokasi keempat, barulah program berkenaan dapat diteruskan tanpa sebarang gangguan daripada pihak berkuas agama tempatan.
Apabila cuba dicari apakah puncanya Maulana Asri dihalang daripada berceramah di Pahang, didapati ia berpunca daripada perbuatan beliau mengkritik golongan habaib sufi. Padahal ia adalah kritikan ilmiah yang dilemparkan kepada mereka yang membawa umat Islam kepada pengagungan yang melampau terhadap kubur.
Meskipun, kita wajib menyayangi keturunan Nabi s.a.w., tetapi mereka bukanlah maksum sehingga semua ajaran mereka diterima, seolah-olah mereka adalah ‘ulamak besar yang pasti terpelihara daripada kesilapan.
Misalnya, Habib Umar sendiri banyak melakukan perkara bid’ah di kubur seperti kubur yang didakwa sebagai kubur Nabi Hud a.s., walhal kalaulah benar beliau seorang yang ‘alim, beliau tentunya tahu bahawa tidak ada mana-mana ‘ulamak pun yang mengetahui lokasi kubur Nabi Hud a.s. secara pasti.
Malangnya, dalam keadaan itu pun, diadakan pelbagai upacara di kubur berkenaan dengan ketetapan waktu ziarahnya pada bulan tertentu, adanya upacara mandi di sungai berdekatan sebelum menziarahi kubur itu, bergendang dan berqasidah di kubur dan banyak lagi amalan bid’ah yang lain.
Katanya, Habib Umar mendapat ijazah hadis daripada Thahir al-Qadiri di Pakistan, padahal para ‘ulamak di Pakistan sendiri menghukumnya sebagai sesat, antaranya kerana beliau beriman dengan fahaman Wahdatul Wujud.
Selepas golongan Habaib Sufi ini diagung-agungkan, sekarang Tareqat Naqsyabandi Haqqani pula cuba diangkat sebagai Ahlus Sunnah wal Jama’ah.
Sesungguhnya, fenomena ini membimbangkan kita kerana dikhuatiri ia adalah manifestasi daripada sabda Nabi s.a.w.:
إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِالْ عُلَمَاءِ ، حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا
“Sesungguhnya, Allah tidak mencabut ilmu agama sekaligus daripada sekalian hamba(-Nya). Tetapi, Dia mencabut ilmu agama dengan mencabut nyawa para ‘ulamak, sehingga apabila tidak ada lagi orang yang berilmu, manusia pun mengambil orang-orang yang jahil sebagai para pemimpin mereka. Lalu, para pemimpin yang jahil itu ditanya dan mereka pun memberikan fatwa tanpa ilmu, sehingga mereka bukan sahaja sesat, malah turut menyesatkan (orang ramai).”
[Sahih al-Bukhari (100)]
Siapakah lagi yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w. sebagai pemberi fatwa yang menyesatkan itu jika dia bukan orang yang berautoriti untuk memberikan fatwa atau diberikan tauliah untuk mengajar agama kepada masyarakat?
Wallahua’lam.