Syarik bin ‘Abdullah telah meriwayatkan sebuah hadis yang panjang, katanya, beliau telah mendengar Anas bin Malik r.a. berkata:
ثُمَّ عَلَا به فَوْقَ ذلكَ بما لا يَعْلَمُهُ إلَّا اللَّهُ ، حتَّى جَاءَ سِدْرَةَ المُنْتَهَى ، ودَنَا لِلْجَبَّارِ رَبِّ العِزَّةِ ، فَتَدَلَّى حتَّى كانَ منه قَابَ قَوْسَيْنِ أوْ أدْنَى ، فأوْحَى اللَّهُ فِيما أوْحَى إلَيْهِ : خَمْسِينَ صَلَاةً علَى أُمَّتِكَ كُلَّ يَومٍ ولَيْلَةٍ
"...Kemudian, Jibril membawa baginda naik di atas kesemua (langit-langit dunia itu) yang tidak ada sesiapa pun yang mengetahui (ketinggian)nya melainkan Allah sehinggalah baginda tiba di Sidratul Muntaha. Kemudian baginda mendekati (Allah) Yang Maha Perkasa, Pemilik Kemuliaan dan baginda terus mendekat hingga jarak antara diri baginda dengan Allah sebatas dua busur panah atau lebih dekat lagi. Lalu, Allah memberikan wahyu kepadanya, antaranya, 'Diwajibkan 50 waktu solat atas umatmu pada setiap hari dan malam.'"
[Sahih al-Bukhari (7517)]
Tetapi, para‘ulamak menilai lafaz ini sebagai dha’if kerana wahm (kekeliruan) Syarik bin ‘Abdullah, sedangkan beliau pula bersendirian dalam meriwayatkan hadis ini dengan lafaz ini.
Sebenarnya, Nabi s.a.w. tidak melihat Allah ketika baginda mi’raj ke Sidratul Muntaha. Sebaliknya, baginda hanya melihat cahaya yang menjadi hijab antara baginda dengan Allah s.w.t. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Zar al-Ghiffari r.a., katanya:
كُنْتُ أسْأَلُهُ هلْ رَأَيْتَ رَبَّكَ ؟ فقالَ : رَأَيْتُ نُورًا
“Aku pernah bertanya kepada baginda, ‘Adakah engkau melihat Tuhanmu?’ Lalu, baginda menjawab, ‘Aku hanya melihat cahaya.’”
[Sahih Muslim (178)]
Selain itu, ‘A’isyah r.a.ha. sendiri menganggap orang yang mendakwa Nabi s.a.w. melihat Allah sebagai pendusta, sebagaimana katanya:
مَن حَدَّثَكَ أنَّ مُحَمَّدًا صَلَّى اللهُ عليه وسلَّمَ رَأَى رَبَّهُ ، فقَدْ كَذَبَ ، وهو يقولُ : لَا تُدْرِكُهُ الأبْصَارُ ، ومَن حَدَّثَكَ أنَّه يَعْلَمُ الغَيْبَ ، فقَدْ كَذَبَ ، وهو يقولُ : لا يَعْلَمُ الغَيْبَ إلَّا اللَّهُ
“Barangsiapa yang memberitahu kepadamu bahawa Muhammad s.a.w. telah melihat Tuhannya, maka, dia benar-benar telah berdusta, sedang Dia berfirman, ‘Dia tidak dapat dicapai oleh pandangan mata.’ Dan barangsiapa yang memberitahu kepadamu bahawa baginda mengetahui perkara ghaib (melainkan apa yang diwahyukan kepadanya), maka dia juga benar-benar berdusta, sedang Dia berfirman, ‘Tidak ada sesiapa pun yang mengetahui perkara ghaib melainkan Allah.’”
[Sahihal-Bukhari (7380)]
Wallahua’lam.