Telah diriwayatkan di dalam sebuah hadis sahih, bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
أَتَيْتُ - وفي رِوَايَةٍ : مَرَرْتُ - علَى مُوسَى لَيْلَةَ أُسْرِيَ بي عِنْدَ الكَثِيبِ الأحْمَرِ وَهو قَائِمٌ يُصَلِّي في قَبْرِهِ
"Aku telah mendatangi - di dalam satu riwayat, "Aku telah melewati" - Musa di sebelah bukit pasir berwarna merah, pada malam aku diisra'kan, sedang baginda (Musa) bersolat di dalam kuburnya."
[Sahih Muslim(2375)]
PENERANGAN
1. Tidak ada sesiapa pun yang menafikan bahawa Nabi Musa a.s. memang telah wafat. Kerana itulah dikatakan yang baginda berada di dalam kubur.
2. Adapun perbuatan baginda bersolat di dalam kubur tersebut, ia bukanlah sebuah taklif yang akan diberikan pahala, sebaliknya ia adalah kelazatan atau nikmat yang diberikan kepada Nabi Musa a.s. setelah baginda wafat, kerana semasa hidup dahulu, itulah kenikmatan terbesar baginya, sehinggakan apabila telah wafat pun, baginda masih diberikan kenikmatan yang sama di alam barzakh.
Ini adalah pendapatan sebahagian ‘ulamak, antaranya al-Imam Ibn Taimiyyah dan Maulana Zakariyya al-Kandahlawi.
3. Maulana Anwar Shah al-Kashmiri pula berpendapat yang solat tersebut adalah sebahagian daripada gambaran pahala ibadah Nabi Musa a.s. Hanyasanya, di dalam hadis ini, disebutkan solat bagi menunjukkan besarnya kedudukan solat dalam Agama Islam.
4. Hadis ini juga menjadi dalil bahawa para Anbiya’ masih hidup di alam mereka dengan suatu kehidupan yang berbeza dengan kehidupan manusia yang masih hidup di atas muka bumi dan tidak diketahui hakikatnya oleh kita. Kerana itulah ada disebutkan di dalam hadis lain, bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
مَا مِنْ أَحَدٍ يُسَلِّمُ عَلَيَّ إِلَّا رَدَّ اللَّهُ عَلَيَّ رُوحِي حَتَّى أَرُدَّ عَلَيْهِ السَّلَامَ
“Tidak ada seorang pun Muslim yang mengucapkan salam kepadaku melainkan Allah pasti mengembalikan rohku kepadaku sehingga aku boleh menjawab ucapan salamnya itu.”
[Sahih Abi Daud (2041): Hasan]
Tetapi, kehidupan mereka hendaklah diimani setakat apa yang digambarkan di dalam nas, tanpa sebarang tokok-tambah.
5. Hal ini sama seperti apa yang disebutkan di dalam al-Quran bahawa orang-orang yang gugur syahid itu masih hidup di sisi Allah, sebagaimana firman-Nya:
وَلَا تَحۡسَبَنَّ ٱلَّذِینَ قُتِلُوا۟ فِی سَبِیلِ ٱللَّهِ أَمۡوَ ٰتَۢاۚ بَلۡ أَحۡیَاۤءٌ عِندَ رَبِّهِمۡ یُرۡزَقُونَ
“Janganlah kalian menganggap orang-orang yang terbunuh di jalan Allah itu mati. Sebenarnya, mereka masih hidup di sisi Allah sambil diberikan rezeki.”
[Surah Âli-`Imrân (3) : 169]
Adapun hakikat kehidupan para syuhada’ di Alam Barzakh dan apakah rezeki yang mereka terima, kita tidak tahu, melainkan sekadar apa yang disebutkan di dalam nas semata-mata.
6. Maka, jika syuhada’pun masih hidup di sisi Allah, sudah tentu kehidupan para Anbiya’ di Alam Barzakh lebih baik daripada kehidupan para syuhada’ kerana kedudukan Anbiya’ lebih tinggi daripada syuhada’.
Wallahua’lam.