Telah diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
لَمْ يَكْذِبْ إِبْرَاهِيمُ إِلَّا ثَلَاثًا
“Ibrahim (a.s.) tidak pernah berdusta melainkan pada tiga perkara.”
[Sahih al-Bukhari (3357)]
Di dalam riwayat seterusnya, Abu Hurairah r.a. menjelaskan tiga pendustaan tersebut, dengan berkata:
لَمْ يَكْذِبْ إِبْرَاهِيمُ عَلَيْهِ السَّلَام إِلَّا ثَلَاثَ كَذَبَاتٍ ثِنْتَيْنِ مِنْهُنَّ فِي ذَاتِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ قَوْلُهُ {إِنِّي سَقِيمٌ} وَقَوْلُهُ {بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا} وَقَالَ بَيْنَا هُوَ ذَاتَ يَوْمٍ وَسَارَةُ إِذْ أَتَى عَلَى جَبَّارٍ مِنْ الْجَبَابِرَةِ فَقِيلَ لَهُ إِنَّ هَا هُنَا رَجُلًا مَعَهُ امْرَأَةٌ مِنْ أَحْسَنِ النَّاسِ فَأَرْسَلَ إِلَيْهِ فَسَأَلَهُ عَنْهَا فَقَالَ مَنْ هَذِهِ قَالَ أُخْتِي فَأَتَى سَارَةَ قَالَ يَا سَارَةُ لَيْسَ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ مُؤْمِنٌ غَيْرِي وَغَيْرَكِ وَإِنَّ هَذَا سَأَلَنِي فَأَخْبَرْتُهُ أَنَّكِ أُخْتِي فَلَا تُكَذِّبِينِي فَأَرْسَلَ إِلَيْهَا فَلَمَّا دَخَلَتْ عَلَيْهِ ذَهَبَ يَتَنَاوَلُهَا بِيَدِهِ فَأُخِذَ فَقَالَ ادْعِي اللَّهَ لِي وَلَا أَضُرُّكِ فَدَعَتْ اللَّهَ فَأُطْلِقَ ثُمَّ تَنَاوَلَهَا الثَّانِيَةَ فَأُخِذَ مِثْلَهَا أَوْ أَشَدَّ فَقَالَ ادْعِي اللَّهَ لِي وَلَا أَضُرُّكِ فَدَعَتْ فَأُطْلِقَ فَدَعَا بَعْضَ حَجَبَتِهِ فَقَالَ إِنَّكُمْ لَمْ تَأْتُونِي بِإِنْسَانٍ إِنَّمَا أَتَيْتُمُونِي بِشَيْطَانٍ فَأَخْدَمَهَا هَاجَرَ فَأَتَتْهُ وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فَأَوْمَأَ بِيَدِهِ مَهْيَا قَالَتْ رَدَّ اللَّهُ كَيْدَ الْكَافِرِ أَوْ الْفَاجِرِ فِي نَحْرِهِ وَأَخْدَمَ هَاجَرَ قَالَ أَبُوهُرَيْرَةَ تِلْكَ أُمُّكُمْ يَا بَنِي مَاءِ السَّمَاءِ
“Nabi Ibrahim tidak pernah berdusta melainkan pada tiga perkara. Dua daripadanya melibatkan zat Allah, iaitu tatkala beliau berkata, “Aku sakit,” dan “Sebenarnya, yang melakukannya adalah berhala kalian yang paling besar ini.”
Manakala satu lagi pendustaannya, adalah tatkala beliau dan isterinya, Sarah mendatangi seorang raja yang zalim. Lalu, dikatakan kepada raja itu, “Sesungguhnya, di sini, ada seorang lelaki yang bersama-sama dengannya seorang wanita yang termasuk dalam kalangan manusia yang paling cantik.”
Maka, raja tersebut mengutuskan seorang utusan kepada Nabi Ibrahim dan bertanya kepadanya, “Siapakah wanita ini?” Nabi Ibrahim menjawab, “Ini adalah saudara perempuanku.”
Kemudian beliau mendatangi Sarah seraya berkata, “Wahai Sarah, tiada ada di atas muka bumi ini orang yang beriman melainkan aku dan engkau. Sesungguhnya, orang ini telah bertanyakan kepadaku, lalu telah aku khabarkan kepadanya bahawa engkau adalah saudara perempuanku. Maka, janganlah engkau mengucapkan sesuatu yang menyelisihi apa yang telah aku katakan.”
Lalu, diutuskan seorang utusan kepada Sarah (untuk menjemput Sarah menghadap raja tersebut). Apabila Sarah masuk menemui Raja itu, dia cuba memegang tangan Sarah, tetapi dia tidak mampu (kerana tangannya menjadi keras).
Maka, raja itupun berkata, “Berdoalah kepada Allah untukku, dan aku tidak akan menyakiti engkau.” Sarah pun berdoa kepada Allah dan tangan raja itu pun sembuh. Kemudian, dia cuba memegang Sarah buat kali kedua. Tiba-tiba tangan raja itu menjadi keras seperti tadi atau lebih teruk daripada itu.
Maka, raja itupun berkata, “Berdoalah kepada Allah untukku dan aku tidak akan menyakiti engkau.” Sarah pun berdoa dan tangan raja itu pun disembuhkan.
Lalu, raja itu memanggil sebahagian pelayannya seraya berkata, “Sesungguhnya, kalian tidak membawa manusia kepadaku. Sesungguhnya, yang kalian bawakan kepadaku ini tidak lain hanyalah syaitan!”
Maka raja itu pun memberikan Hajar sebagai pembantu Sarah. Kemudian Sarah mendatangi Nabi Ibrahim yang mana pada ketika itu beliau sedang bangun untuk bersolat. Nabi Ibrahim memberikan isyarat dengan tangannya yang membawa maksud, “Apa yang berlaku?”
Sarah menjawab, “Allah telah membalas perancangan orang kafir" atau "orang yang jahat itu dan Dia juga telah mengurniakan Hajar sebagai pembantu.”
Abu Hurairah berkata lagi, “Hajar itulah ibu kalian wahai Bangsa Arab.”
[Sahihal-Bukhari (3358)]
PENERANGAN
1. Daripada kedua-dua hadis di atas, dapatlah difahami bahawa secara zahirnya, Nabi Ibrahim a.s. telah berdusta sebanyak tiga kali, iaitu:
i. ketika Nabi Ibrahim a.s. berkata yang beliau sakit tatkala kaum beliau mengajaknya menyertai perayaan Kaum Musyrikin;
ii. ketika Nabi Ibrahim a.s. menyuruh kaumnya bertanyakan kepada berhala mereka yang paling besar, setelah baginda memusnahkan berhala-berhala lain yang lebih kecil, lalu menggantungkan kapak pada tangan berhala yang paling besar itu; dan
iii. ketika Nabi Ibrahim a.s. mendakwa bahawa Sarah adalah saudara perempuannya, untuk menyelamatkan isterinya daripada dirampas oleh seorang raja yang zalim yang terkenal dengan sifatnya yang lebih suka kepada isteri orang, berbanding wanita bujang.
2. Hanyasanya, terdapat sebahagian ‘ulamak yang meragui adakah benar Nabi s.a.w. menggunakan perkataan “Dusta” terhadap Nabi Ibrahim a.s. kerana Nabi Ibrahim a.s. adalah seorang Nabi yang maksum, lebih-lebih lagi apabila Allah Ta’ala sendiri memberikan sifat “Siddiq” (yang sangat benar) kepada baginda melalui firman-Nya:
وَٱذْكُرْ فِى ٱلْكِتَـٰبِ إِبْرَٰهِيمَ ۚ إِنَّهُۥكَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا
“Sebutkanlah (wahai Muhammad) tentang apa yang diungkapkan perihal Ibrahim di dalam kitab suci ini. Sesungguhnya, dia adalah seorang yang sangat benar, lagi seorang Nabi.”
[SurahMaryam (19) : 41]
Maka, menurut sebahagian ‘ulamak, barangkali perkataan “Dusta” tersebut adalah ungkapan yang diberikan oleh perawi hadis mengikut dari apa yang perawi tersebut faham dari ucapan Nabi s.a.w., atau dengan kata lain, ia bukanlah dari kalam baginda sendiri.
3. Para ‘ulamak yang tidak menerima ungkapan “Dusta” disandarkan kepada Nabi Ibrahim a.s. memberikan jawapan bahawa perbuatan baginda tersebut pada hakikatnya bukanlah pendustaan, kerana:
i. ucapan, “Sesungguhnya, aku sakit,” apabila diajak untuk menyertai perayaan Kaum Musyrikin, boleh jadi membawa maksud yang baginda berasa sakit hati dengan amalan syirik yang kaumnya lakukan, kerana kesakitan bukanlah pada fizikal semata-mata;
ii. ucapan “Sebenarnya, yang melakukannya adalah berhala kalian yang paling besar ini,” juga bukanlah pendustaan, sebaliknya ia diucapkan untuk mencabar atau mengetuk akal fikiran umatnya;
iii. dan demikianlah juga dengan ucapannya, “Ini (Sarah) adalah saudara perempuanku,” boleh membawa maksud saudara seagama, kerana seluruh umat Islam sememangnya dianggap sebagai saudara seagama.
Dalam kaedah bahasa, ucapan pertama dan ketiga di atas disebut sebagai “Tauriyah” iaitu mengucapkan sesuatu dengan merujuk kepada makna yang jauh, seperti seorang wanita menyebut, “Ini adalah abang saya,” dengan membawa maksud “Ini adalah suami saya,” kerana istilah "Abang" juga boleh merujuk kepada makna "Suami," sebagaimana yang diamalkan dalam antara suami dan isteri.
4. Bagi ‘ulamak yang menerima hadis ini sebagai kalam Nabi s.a.w., mereka berkata, ucapan Nabi Ibrahim a.s. itu termasuk dalam pendustaan yang dibenarkan oleh agama, iaitu untuk melindungi diri daripada musibah yang lebih besar, sebagaimana firman-Nya:
مَن كَفَرَ بِٱللَّهِ مِنۢ بَعۡدِ إِیمَـٰنِهِۦۤ إِلَّامَنۡ أُكۡرِهَ وَقَلۡبُهُۥ مُطۡمَىِٕنُّ بِٱلۡإِیمَـٰنِ وَلَـٰكِن مَّن شَرَحَ بِٱلۡكُفۡرِ صَدۡرࣰا فَعَلَیۡهِمۡ غَضَبࣱ مِّنَ ٱللَّهِ وَلَهُمۡ عَذَابٌ عَظِیمࣱ
“Barangsiapa yang mengkufuri Allah selepas beriman kepada-Nya – melainkan bagi sesiapa yang dipaksa (untuk mengucapkan perkatan kufur atau melakukan perbuatan kufur) sedang lubuk jantungnya tetap tenang dengan keimanan – tetapi barangsiapa yang dadanya terbuka menerima kekufuran, kemurkaan daripada Allah atas mereka dan mereka akan beroleh azab yang dahsyat!”
[Surah an-Nahl (16): 106]
5. Maka, menurut pendapat kedua ini, Nabi Ibrahim a.s. sebenarnya menunjukkan contoh waktu diharuskan berdusta. Dan berdusta pada waktu dibenarkan tidaklah menggugurkan status seorang yang jujur, jauh sekali menjadikannya sebagai seorang pendusta.
Wallahua’lam.