Maulana Asri ada berkongsikan kisah seorang ustaz yang menjaganya ketika beliau menuntut ilmu di India dahulu.
Menurut Maulana Asri, ustaz tersebut telah meninggal dunia. Tetapi, sebelum beliau meninggal dunia, beliau koma selama beberapa bulan.
Pada suatu hari, ketika berada dalam keadaan koma, beliau bermimpi didatangi oleh sekumpulan kera bersaiz besar. Kera-kera tersebut mengajarnya beberapa lafaz doa dalam Bahasa Arab sambil berpesan supaya melazimi membacanya jika mahu terus hidup.
Maka, ustaz tersebut pun membaca doa itu ketika berada di dalam koma kerana maksudnya yang baik, sehinggalah akhirnya beliau tersedar daripada koma.
Setelah sedar, beliau berbincang dengan Maulana Asri bagi mengenal pasti siapakah gerangannya kera-kera gergasi tersebut, iaitu adakah mereka malaikat atau jin?
Maulana Asri berpendapat yang mereka adalah jin berdasarkan dua hujah:
1. Di dalam nas (al-Quran dan as-Sunnah), disebutkan yang para malaikat hanya bertemu dengan manusia dalam bentuk lelaki (jika tidak datang dalam bentuknya yang asal). Nas tidak menyebut yang malaikat datang dalam bentuk perempuan, jauh sekali dalam bentuk haiwan seperti kera.
2. Terdapat sebuah hadis mauquf (kata-kata sahabat) riwayat al-Bukhari yang menceritakan kisah sekumpulan kera merejam seekor kera betina kerana telah berzina:
عَنْ عَمْرِو بْنِ مَيْمُونٍ قَالَ رَأَيْتُ فِي الْجَاهِلِيَّةِ قِرْدَةًاجْتَمَعَ عَلَيْهَا قِرَدَةٌ قَدْ زَنَتْ فَرَجَمُوهَا فَرَجَمْتُهَا مَعَهُمْ
Daripada ‘Amru bin Maimun, katanya, “Aku telah melihat pada zaman jahiliah, sekumpulan kera mengelilingi seekor kera betina yang telah berzina. Maka, kera-kera itu pun merejamnya dan aku pun turut sama merejam kera betina itu bersama-sama dengan mereka.”
Maulana Asri berpendapat bahawa sekumpulan kera yang disebutkan di dalam hadis ini adalah jin yang berbentuk kera, kerana haiwan tidak ditaklifkan (dibebankan) dengan sebarang hukuman seperti hudud.
Hukuman hudud hanya untuk jin dan manusia; tidak untuk haiwan yang tidak berakal dan bukan juga mukallaf (makhluk yang boleh ditaklifkan dengan sebarang tanggungjawab).
Maka, menurut Maulana Asri, bukanlah sesuatu yang mustahil bagi Allah untuk memerintahkan jin Islam atau selainnya untuk membantu kita.
Selain itu, apabila malaikat hanya berubah rupanya kepada bentuk manusia sebagaimana yang disebutkan di dalam banyak nas, ia secara tidak langsung menunjukkan kemuliaan manusia, kerana malaikat tidak mengubah rupanya dalam bentuk makhluk lain.
Wallahu a’lam bissowab.