Ada orang yang bukan sahaja takut untuk mempunyai ramai anak, malah ada yang takut untuk mendirikan rumahtangga sama sekali atas alasan bimbang dengan fitnah akhir zaman. Mereka khuatir jika telah berkeluarga dan mempunyai ramai anak, mereka tidak mampu untuk memberikan pendidikan yang sempurna kepada ahli keluarga mereka sebagai benteng daripada fitnah akhir zaman.
Jika kerisauan ini dituruti, nescaya bilangan orang-orang yang soleh akan menjadi makin sedikit, manakala jumlah ahli maksiat, orang-orang kafir dan fasiq akan bertambah ramai sehingga jurang antara dua kelompok ini menjadi makin ketara. Kesannya, fitnah yang dibimbangi itu menjadi semakin parah dari zaman ke zaman.
Kebimbangan ini juga tidak tepat dengan realiti semasa, khususnya di Malaysia kerana hakikatnya, keadaan masih lagi terkawal dan masih ramai orang-orang yang berusaha melakukan gerak kerja islah dan reformasi.
Selain itu, ada juga yang sengaja mengecilkan bilangan anak, kerana takut miskin atau bimbang andai tidak mampu untuk menguruskan anak-anak, dan bermacam-macam lagi alasan, seolah-olah mereka tahu dengan pasti apa yang akan berlaku pada masa depan.
Kesemua dalih ini telah dijawab oleh Allah s.w.t. dengan tegas melalui firman-Nya:
قَدۡ خَسِرَ ٱلَّذِینَ قَتَلُوۤا۟ أَوۡلَـٰدَهُمۡ سَفَهَۢا بِغَیۡرِ عِلۡمࣲ وَحَرَّمُوا۟ مَا رَزَقَهُمُ ٱللَّهُ ٱفۡتِرَاۤءً عَلَى ٱللَّهِۚ قَدۡ ضَلُّوا۟ وَمَا كَانُوا۟ مُهۡتَدِینَ
Maksudnya:
“Benar-benar telah rugilah orang-orang yang membunuh anak-anak mereka kerana kebodohan mereka sendiri tanpa berlandaskan sebarang hujah ilmiah (yang kukuh). Dan (benar-benar telah rugilah orang-orang) yang mengharamkan apa yang Allah mahu kurniakan kepada mereka dengan mencipta alasan-alasan dusta atas nama Allah. Mereka benar-benar telah tersesat dan mereka tidak akan mendapat petunjuk.”
[Surah al-An`âm (6) :140]
Firman Allah Ta’ala diatas telah membungkam segala alasan dan dalih orang-orang yang sengaja mahu mengehadkan bilangan anak, seolah-olah mereka tahu anak yang mana satukah nanti yang paling bermanfaat untuk mereka dan manusia sejagat.
Walhal boleh jadi anak yang bakal lahir di kemudian hari itulah yang paling baik budi dan paling banyak khidmat baktinya, tetapi kelahirannya telah dihalang kerana bimbang dengan masa depan yang belum pasti.
Tanpa disedari, mereka telah menolak rezeki kurniaan Allah yang lebih mengetahui apa yang terbaik untuk sekalian hamba-Nya.
Wallahu a’lam.