‘Abdullah bin Yusuf at-Tunisiy yang merupakan salah seorang sahabat (pelajar) Imam Malik bin Anas yang masyhur, berkata:
كنا عند مالك وأصحابه حوله فقال رجل من أهل نصيبين: يا أبا عبد الله عندنا قوم يقال لهم الصوفية يأكلون كثيراً ثم يأخذون في القصائد ثم يقومون فيرقصون. فقال مالك: أصبيان هم قال: لا. قال: أمجانين? قال: لا ، قوم مشائخ وغير ذلك عقلاًء. قال مالك: ما سمعت أن أحداً من أهل الإسلام يفعل هذا. قال الرجل: بل يأكلون ثم يقومون فيرقصون نوائب ويلطم بعضهم رأسه وبعضهم وجهه. فضحك مالك ثم قام فدخل منـزله.
Kami pernah berada di sisi Malik, sedang para sahabatnya duduk di sekelilingnya. Maka, seorang Nasibi berkata, “Wahai Abu ‘Abdullah, ada satu kaum dalam kalangan kami yang dikenali sebagai Kaum Sufi. Mereka makan banyak, kemudian mereka suka berqasidah, kemudian mereka pun berdiri lalu menari.”
Maka, Malik bertanya,“Adakah mereka itu kanak-kanak?” Lelaki itu menjawab, “Tidak.” Malik bertanya lagi, “Adakah mereka orang gila?” Lelaki itu menjawab, “Tidak. Mereka adalah para syaikh (orang-orang tua yang dipandang tinggi) dan selain itu, mereka juga orang-orang yang berakal.”
Malik berkata, “Aku tidak pernah dengar ada seorang pun yang beragama Islam yang melakukan perbuatan seperti itu.” Lelaki itu berkata lagi, “Bukan itu sahaja, mereka makan, kemudian berdiri lalu menari dan sebahagian daripada mereka memukul kepala mereka sendiri dan sebahagian lagi pula memukul wajah mereka sendiri.”
Malik pun tertawa, kemudian beliau bangun dan masuk ke dalam biliknya.
Lalu, para sahabat Malik berkata kepada lelaki itu, “Engkau benar-benar telah membuatkan sahabat kami ini berasa tidak selesa. Kami telah duduk bersama-sama dengannya selama lebih daripada tiga puluh tahun, dan belum pernah kami melihatnya ketawa melainkan pada hari ini.”
[al-Qadhi ‘Iyadh (476 - 544 H), Tartibul Madarik wa Taqribul Masalik li Ma’rifati A’lami Mazhabi Malik (2/54).]
Demikianlah komentar Imam Malik bin Anas terhadap perbuatan berqasidah sambil menari. Kisah ini menunjukkan bahawa amalan berqasidah sambil menari bukanlah suatu amalan yang dikenali oleh generasi Salaf.
Malangnya, ada sebahagian umat Islam pada hari ini yang melakukan lebih daripada itu, iaitu mereka berzikir sambil menari, dengan mendakwa bahawa amalan tersebut mempunyai asalnya daripada al-Quran dan as-Sunnah.
Antara dalil yang sering mereka bawa adalah firman Allah s.w.t.:
الَّذِينَ يَذْكُرُونَ اللَّهَ قِيَامًا وَقُعُودًا وَعَلَىٰ جُنُوبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُونَ فِي خَلْقِ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هَٰذَا بَاطِلًا سُبْحَانَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata), "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau jadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.”
Lalu mereka berkata, sebagaimana bolehnya berzikir sambil berdiri, duduk dan mengiring, demikianlah juga boleh berzikir sambil menari.
Walhal, ayat di atas sebenarnya menggambarkan keadaan-keadaan Nabi s.a.w. berzikir, seperti baginda bersolat dan membaca doa masuk ke dalam masjid (contoh zikir sambil berdiri), membaca mushaf al-Quran atau membaca doa naik kenderaan (contoh zikir sambil duduk), dan membaca zikir-zikir dan doa sebelum tidur (contoh zikir sambil berbaring).
Ayat di atas langsung tidak menyebut soal berzikir sambil menari, dan Salafu Soleh juga tidak memahami ayat tersebut sebagai dalil pensyari’atan zikir sambil menari. Kalau mereka memahami demikian, nescaya ia disebutkan di dalam kita-kitab tafsir mereka, dan dapat dibuktikan melalui sunnah Nabi s.a.w. atau atsar para sahabat, kerana merekalah yang terlebih dahulu bertemu dengan ayat ini.
Tetapi sebagaimana amalan ini tidak sabit daripada al-Quran, demikian jugalah ia tidak sabit dari petunjuk sunnah, melainkan dengan menyelewengkan maksud hadis yang sahih, sebagaimana mereka memahami maksud hadis sahih riwayat Muslim berikut sebagai dalil bolehnya berzikir sambil menari:
حَدَّثَنَا زُهَيْرُ بْنُ حَرْبٍ حَدَّثَنَا جَرِيرٌ عَنْ هِشَامٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ جَاءَ حَبَشٌ يَزْفِنُونَ فِي يَوْمِ عِيدٍ فِي الْمَسْجِدِ فَدَعَانِي النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَوَضَعْتُ رَأْسِي عَلَى مَنْكِبِهِ فَجَعَلْتُ أَنْظُرُ إِلَى لَعِبِهِمْ حَتَّى كُنْتُ أَنَا الَّتِي أَنْصَرِفُ عَنْ النَّظَرِ إِلَيْهِمْ
Telah menceritakankepada kami Zuhair bin Harb, telah menceritakan kepada kami Jarir daripada Hisham daripada ayahnya, daripada ‘A’isyah, katanya, “Telah datang orang Habsyah. Mereka menari pada Hari Raya di dalam masjid. Maka, Nabi s.a.w. memanggilku, lantas aku meletakkan kepalaku di atas bahunya untuk melihat permainan mereka sehinggalah aku sendiri yang berpaling dari melihat mereka.”
[Sahih Muslim (892)]
Meskipun hadis ini sahih, tetapi ia bukanlah perbuatan berzikir sambil menari. Sebaliknya, ia adalah persembahan senjata yang dilakukan dalam bentuk tarian, yang mirip dengan persembahan silat dan seni pertahanan diri yang lain. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Imam an-Nawawi:
وحمله العلماء على التوثب بسلاحهم ولعبهم بحرابهم على قريب من هيئة الراقص لأن معظم الروايات إنما فيها لعبهم بحرابهم ، فيتأول هذه اللفظة على موافقة سائر الروايات
“Para ‘ulamak memahami perbuatan melompat-lompat dalam gaya menerpa dengan senjata mereka dan bermain-main dengan tombak pendek mereka itu mirip dengan keadaan seorang penari kerana kebanyakan riwayat mengandungi permainan mereka dengan tombak pendek mereka. Maka perkataan ini ditafsirkan sesuai dengan riwayat-riwayat yang lain.”
[Syarh an-Nawawi 'ala Muslim (6/490)]
Di dalam riwayat Anas, terdapat pula tambahan berikut:
حَدَّثَنَا عَبْدُ الصَّمَدِ قَالَ حَدَّثَنَا حَمَّادٌ عَنْ ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ قَالَ كَانَتْ الْحَبَشَةُ يَزْفِنُونَ بَيْنَ يَدَيْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّىاللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيَرْقُصُونَ وَيَقُولُونَ مُحَمَّدٌ عَبْدٌ صَالِحٌ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَا يَقُولُونَ قَالُوا يَقُولُونَ مُحَمَّدٌ عَبْدٌ صَالِحٌ
Telah menceritakan kepada kami ‘Abdus Somad, katanya, telah menceritakan kepada kami Hammad daripada Tsabit daripada Anas, katanya, “Orang Habsyah pernah menari di depan Rasulullah s.a.w. Mereka menari di hadapan baginda sambil menyebut, ‘Muhammad hamba yang soleh.’ Maka, Rasulullah s.a.w. pun bertanya, ‘Apakah yang sedang mereka katakan?’ Sebahagian sahabat menjawab, ‘Mereka berkata, ‘Muhammad hamba yang soleh.’’”
[Takhrij Musnad Ahmad (12540) oleh Syu’aib al-Arna’uth: Isnadnya sahih di atas syarat Muslim]
Riwayat ini menjelaskan lagi bahawa orang Habsyah tersebut bukanlah sedang berzikir kerana ungkapan “Muhammad hamba yang soleh” bukanlah sebuah ungkapan zikir.
Tidak cukup dengan menyelewengkan makna hadis sahih, mereka berhujah pula dengan hadis yang
tidak sahih sambil menyelewengkan lagi maknanya, seperti hadis berikut:
حَدَّثَنَا أَسْوَدُ يَعْنِي ابْنَ عَامِرٍ، أَنْبَأَنَا إِسْرَائِيلُ، عَنْ أَبِي إِسْحَاقَ، عَنْ هَانِئِ بْنِ هَانِئٍ، عَنْ عَلِيٍّ، رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَجَعْفَرٌ وَزَيْدٌ قَالَ فَقَالَ لِزَيْدٍ أَنْتَ مَوْلَايَ فَحَجَلَ قَالَ وَقَالَ لِجَعْفَرٍ أَنْتَ أَشْبَهْتَ خَلْقِي وَخُلُقِي قَالَ فَحَجَلَ وَرَاءَ زَيْدٍ قَالَ وَقَالَ لِي أَنْتَ مِنِّي وَأَنَا مِنْكَ قَالَ فَحَجَلْتُ وَرَاءَ جَعْفَرٍ.
Telah menceritakan kepada kami Aswad iaitu Ibnu 'Amir, telah memberitakan kepada kami Isra’il, daripada Abu Ishaq, daripada Hani` bin Hani`, daripada Ali r.a., katanya, “Aku telah mendatangi Nabi s.a.w., Ja’far dan Zaid.” Kata ‘Ali lagi, “Maka baginda bersabda kepada Zaid, ‘Engkau adalah maulaku.’ Maka, Zaid pun melompat-lompat (kegirangan).’”
‘Ali berkata lagi, “Baginda bersabda pula kepada Ja’far, ‘Engkau mirip dengan fizikalku dan akhlaqku.’” ‘Ali berkata, “Maka, beliau (Ja’far) pun melompat-lompat (kegirangan) di belakang Zaid.”
‘Ali berkata lagi, “Kemudian, baginda bersabda kepadaku, ‘Engkau sebahagian daripada diriku dan aku sebahagian daripada dirimu.’” ‘Ali berkata, “Maka aku melompat-lompat (kegirangan) di belakang Ja’far.”
[Takhrij Musnad Ahmad (857) oleh Syu’aib al-Arna’uth: Isnadnya dha’if]
Hadis ini dha’if kerana Hani’ bin Hani’ adalah seorang perawi yang dinilai sebagai majhul (tidak dikenali) sebagaimana yang disebutkan oleh ramai ‘ulamak termasuklah al-Imam asy-Syafi’i, ‘Ali bin al-Madini dan Ibn Hajar al-‘Asqalani.
Sebahagian lagi ‘ulamak seperti al-Waqidi menilainya sebagai perawi hadis munkar yang cenderung kepada Syi’ah.
Al-Mizi pula menambah yang hadis Hani’ bin Hani’ hanya diriwayatkan oleh Abu Ishaq as-Sabi’iy, yang merupakan seorang perawi mudallis iaitu suka menyembunyikan kecatatan sanad.
Maka, hadis ini dha’if dan tidak boleh dijadikan sebagai sandaran hukum. Tetapi, diandaikan hadis ini sahih sekalipun, matannya yang janggal itu tetap tidak menunjukkan yang para sahabat berzikir sambil menari. Sebaliknya, mereka hanya melompat-lompat kerana gembira dipuji oleh Rasulullah s.a.w.
Malangnya, pada hari ini, golongan yang mempertahankan amalan yang asing dari Salafu Soleh berhujahkan nas-nas yang diselewengkan maknanya inilah yang paling lantang mendakwa bahawa mereka adalah Ahlus Sunnah wal Jama’ah, dan sesiapa yang tidak bersetuju dengan mereka pula dijaja sebagai sesat. Walhal, realitinya adalah yang sebaliknya.
Wallahu a’lam.