Firman Allah s.w.t.:
بَلِ ٱلۡإِنسَٰنُ عَلَىٰنَفۡسِهِۦ بَصِيرَةٞ وَلَوۡ أَلۡقَىٰ مَعَاذِيرَهُۥ
“Hakikatnya setiap seorang manusia itu menjadi saksi atas dirinya sendiri, walaupun dia boleh memberikan alasan demi alasan (untuk membela dirinya).”
[Surah al-Qiyamah (75) : 14 -15]
PENJELASAN
Ayat ini boleh difahami dari dua sudut pandangan iaitu pandangan di dunia dan pandangan di akhirat.
Dari sudut pandangan dunia, ayat ini menjelaskan hakikat bahawa setiap manusia tahu apa yang sebenarnya terbuku di dalam lubuk jantungnya, meskipun dia boleh bermuka-muka atau berpura-pura untuk menutup kesalahan dirinya di hadapan orang lain.
Kerana itulah Islam melarang kita daripada berdusta, kerana sepandai mana pun kita bermain kata-kata, kita tetap tidak akan mampu menipu diri kita sendiri. Jadi, bagaimana mungkin seorang mukmin itu menuturkan satu perkataan yang bersalahan dengan apa yang dirinya sendiri yakini sebagai salah?
Adapun dari sudut pandangan akhirat, ayat ini mengingatkan kita bahawa pada Hari Akhirat nanti, setiap anggota tubuh badan kita akan menjadi saksi atas diri kita sendiri. Hal ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah s.w.t. melalui firman-Nya:
حَتَّىٰٓ إِذَا مَا جَآءُوهَاشَهِدَ عَلَيۡهِمۡ سَمۡعُهُمۡ وَأَبۡصَٰرُهُمۡ وَجُلُودُهُم بِمَا كَانُواْ يَعۡمَلُونَ
“Sehinggalah apabila mereka sampai ke neraka, pendengaran, penglihatan serta kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka atas apa yang telah mereka kerjakan.”
وَقَالُواْ لِجُلُودِهِمۡ لِمَ شَهِدتُّمۡ عَلَيۡنَاۖ قَالُوٓاْ أَنطَقَنَا ٱللَّهُ ٱلَّذِيٓ أَنطَقَ كُلَّ شَيۡءٖۚ وَهُوَ خَلَقَكُمۡ أَوَّلَ مَرَّةٖ وَإِلَيۡهِ تُرۡجَعُونَ
“Dan mereka pun berkata kepada kulit-kulit badan mereka, {Mengapa kalian menjadi saksi atas diri kami?} Kulit-kulit badan mereka menjawab, {Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-katalah yang telah menjadikan kami dapat berkata-kata, dan Dia lah yang telah menciptakan kalian pada mulanya, dan kepada-Nyalah kalian dikembalikan (untuk menerima balasan)}.”
[Surah Fussilat (41) : 20 - 21]
Sesungguhnya, kesaksian anggota badan kita di akhirat nanti atas segala apa yang telah kita lakukan di dunia inilah penjelmaan bagi hakikat betapa diri kita sendiri sebenarnya tahu tentang apa yang kita lakukan, sehingga meskipun kita boleh menipu orang lain, tetapi di akhirat nanti, kita tidak boleh lagi berhujah untuk menipu diri kita sendiri di hadapan Allah.
Wallahu a’lam.