Tidak terdapatsebarang hadis yang melarang kita tidur selepas Subuh atau mengaitkan perbuatan tersebut dengan kesempitan rezeki. Meskipun terdapat beberapa buah hadis yang menggalakkan kita supaya berpagi-pagi iaitu memulakan pekerjaan pada awal pagi kerana adanya keberkatan pada waktu tersebut, sebagaimana yang didoakan oleh Nabi s.a.w.:
اللَّهمَّ بارِكْ لأمَّتي في بُكورِها
Maksudnya:
“Ya Allah ya Tuhan kami, berkatilah umatku pada awal paginya.”
Tetapi, iatidaklah bererti kita dilarang daripada tidur selepas Subuh secara mutlaq, lebih-lebih lagi jika kita mempunyai keperluan tertentu seperti bagi yang perlu bekerja pada waktu malam.
Demikian jugalah tidak terdapat sebarang hadis sahih atau hasan yang melarang kita daripad tidur selepas ‘Asar. Sebaliknya, ia berasal daripada sebuah hadis tidak sahih yang diriwayatkan oleh al-Imam Ibn al-Jauzi dengan sanadnya:
أَنْبَأَنَا ابْنُ خَيْرُونٍ ، أَنْبَأَنَاالْجَوْهَرِيُّ ، عَنْ أَبِي الْحَسَنِ الدَّارَقُطْنِيِّ ، عَنْ أَبِي حَاتِمٍ الْبَسْتِيِّ ، حَدَّثَنَا أَحْمَدُ بْنُ يَحْيَى بْنِ زُهَيْرٍ ، حَدَّثَنَا عِيسَى بْنُ أَبِي حَرْبٍ الصَّفَّارُ ، حَدَّثَنَا خَالِدُ بْنُ الْقَاسِمِ، عَنِ اللَّيْثِ بْنِ سَعْدٍ ، عَنْ عُقَيْلٍ ، عَنِ الزُّهْرِيِّ عَنْ عُرْوَةَ ، عَنْ عَائِشَةَ ، قَالَتْ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : مَنْ نَامَ بَعْدَ الْعَصْرِ فَاخْتُلِسَ عَقْلُهُ فَلا يَلُوَمَّنَ إِلا نَفْسَهُ
Maksudnya:
Telah menceritakan kepada kami Ibn Khairun, telah menceritakan kepadakami al-Jauhari, daripada Abu al-Hasan ad-Daruquthni, daripada Abu Hatim al-Basti, telah menceritakan kepada kami Ahmad bin Yahya bin Zuhair, telah menceritakan kepada kami ‘Isa bin Abu Harb as-Soffar, telah menceritakan kepada kami Khalid bin al-Qasim, daripada al-Laits bin Sa’d, daripada ‘Uqail,daripada az-Zuhri, daripada ‘Urwah, daripada ‘A’ishah, katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Barangsiapa yang tidur selepas ‘Asar, nescaya akan hilang akalnya. Maka, janganlah dia menyalahkan sesiapa pun melainkan dirinya sendiri.”
Selepas meriwayatkan hadis ini, al-Imam Ibn al-Jauzi berkata:
هَذَا حَدِيث لا يصح .قَالَ ابْن راهويه والسعدني : خَالِد بْن الْقَاسِم كذاب . وَقَالَ الْبُخَارِي والنسائي : متروك . وَقَالَ ابْن حبان : لا يحل كتب حَدِيثه .قَالَ المصنف قُلْت : إِنَّمَا هَذَا حَدِيث ابْن لهيعة فأخذه خَالِد فنسبه إِلَى اللَّيْث
Maksudnya:
“Hadis ini tidak sahih. Ibn Rahuyah dan as-Sa’dani berkata, ‘Khalid bin al-Qasim adalah pembohong besar.’ Al-Bukhari dan an-Nasa’i berkata, ‘(Khalid bin al-Qasim adalah) perawi yang ditinggalkan (tidak diriwayatkan hadisnya).’ Ibn Hibban pula berkata, ‘Tidak halal menulis hadisnya.’ Aku (al-Imam Ibn al-Jauzi) berkata, ‘Sebenarnya, ini adalah hadis Ibn Lahi’ah. Lalu, Khalid mengambil hadis ini dan menyandarkannya kepada al-Laits.’”
Berdasarkan huraian daripada al-Imam Ibn al-Jauzi di atas, jelaslah bahawa larangan tidur selepas ‘Asar sebenarnya berasal daripada hadis palsu yang mana para ‘ulamak telah bersepakat bahawa tidak boleh menjadikan hadis palsu sebagai hujah untuk menentukan sebarang hukum (halal atau haram) dalam agama.
Maka, terserahlah kepada keperluan hidup kita sama ada kita perlu atau tidak untuk tidur selepas ‘Asar.
Wallahu a'lam.