Antara kitab hadis tertua yang telah mula ditulis ketika Nabi s.a.w. masih hidup lagi ialah as-Sohifah as-Sodiqah (الصحيفة الصادقة) hasil catatan ‘Abdullah bin ‘Amrubin al-Ash r.a.huma.
Penulisan ini juga dilakukan dengan keizinan Nabi s.a.w. sendiri, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud, dengan sanadnya daripada ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash r.a.huma. katanya:
كُنْتُ أَكْتُبُ كُلَّ شَىْءٍ أَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أُرِيدُ حِفْظَهُ فَنَهَتْنِي قُرَيْشٌ وَقَالُوا أَتَكْتُبُ كُلَّ شَىْءٍ تَسْمَعُهُ وَرَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بَشَرٌ يَتَكَلَّمُ فِي الْغَضَبِ وَالرِّضَا فَأَمْسَكْتُ عَنِ الْكِتَابِ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَأَوْمَأَ بِأُصْبُعِهِ إِلَى فِيهِ فَقَالَ اكْتُبْ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا يَخْرُجُ مِنْهُ إِلاَّ حَقٌّ
Maksudnya:
“Dahulu, aku tulis setiap apa pun yang aku dengar daripada Rasulullah s.a.w. (kerana) aku mahu menghafalnya. Tiba-tiba, (sebahagian Muslimin dari) Suku Quraisy menegahku (daripada melakukannya) dan mereka berkata, ‘Patutkah engkau tulis setiap sesuatu yang engkau dengar daripada baginda, sedangkan Rasulullah s.a.w. adalah manusia yang turut berbicara ketika marah dan ketika baginda redha?’
Maka, aku pun berhenti menulis. Lalu, aku mengadukan hal itu kepada Rasulullah s.a.w., dan baginda membuat isyarat ke mulut baginda seraya bersabda, ‘Tulislah. Demi jiwaku yang berada di dalam tangan-Nya, tidak ada apa pun yang keluar daripadanya (mulut Nabi s.a.w.) melainkan kebenaran.’”
Kerana banyak menulis, hadis yang diriwayatkannya lebih banyak daripada apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., sebagaimana yang diperakui oleh Abu Hurairah r.a. sendiri, dengan berkata:
مَا مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَحَدٌ أَكْثَرَ حَدِيثًا عَنْهُ مِنِّي إِلاَّ مَا كَانَ مِنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو فَإِنَّهُ كَانَ يَكْتُبُ وَلاَ أَكْتُبُ
Maksudnya:
“Tidak ada seorang pun sahabat yang mempunyai hadis lebih banyak daripadaku, melainkan apa yang ada pada ‘Abdullah bin ‘Amru kerana dahulu, beliau sering menulis (hadis), sedangkan aku tidak menulis.”
Meskipun demikian, hanya terdapat sekitar 700 buah hadis sahaja daripada as-Sohifah as-Sodiqah yang diriwayatkan oleh para ‘ulamak di dalam kitab-kitab hadis mereka. Kebanyakannya dapat ditemui di dalam Sunan Abi Daud, Jami’ at-Tirmizi dan lain-lain.
Daripada jumlah itu, hanya 17 buah hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim, 8 buah hadis hanya diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari sahaja, dan 20 buah hadis diriwayatkan oleh al-Ima Muslim sahaja.
Hal ini kerana hadis-hadis yang diriwayatkan daripada kitab tersebut bukan sahaja tidak menepati syarat hadis sahih yang ditetapkan oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim, malah ada ‘ulamak yang menghukumnya sebagai dha’if dan ia hanya dinilai sebagai hasan jika maksudnya selari dengan hadis-hadis lain yang lebih kuat.
Tetapi, haruslah difahami bahawa kedha'ifan tersebut berlaku kerana dha'ifnya perawi yang meriwayatkan hadis daripada kitabnya, dan jumlah perawinya pula sedikit.
Antara punca kenapa hadis daripada as-Sohifah as-Sodiqah tidak diriwayatkan oleh ramai perawi adalah kerana ‘Abdullah bin ‘Amru bin al-‘Ash r.a.huma. sangat kuat beribadah. Hakikat ini dapat dikesan melalui apa yang diceritakan sendiri oleh ‘Abdullah bin ‘Amru r.a.huma., katanya:
أَنْكَحَنِي أَبِي امْرَأَةً ذَاتَ حَسَبٍ فَكَانَ يَتَعَاهَدُ كَنَّتَهُ فَيَسْأَلُهَا عَنْ بَعْلِهَا فَتَقُولُ نِعْمَ الرَّجُلُ مِنْ رَجُلٍ لَمْ يَطَأْ لَنَا فِرَاشًا وَلَمْ يُفَتِّشْ لَنَا كَنَفًا مُذْ أَتَيْنَاهُ فَلَمَّا طَالَ ذَلِكَ عَلَيْهِ ذَكَرَ لِلنَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ " الْقَنِي بِهِ ". فَلَقِيتُهُ بَعْدُ فَقَالَ " كَيْفَ تَصُومُ ". قَالَ كُلَّ يَوْمٍ. قَالَ " وَكَيْفَ تَخْتِمُ ". قَالَ كُلَّ لَيْلَةً. قَالَ " صُمْ فِي كُلِّ شَهْرٍ ثَلاَثَةً وَاقْرَإِ الْقُرْآنَ فِي كُلِّ شَهْرٍ ". قَالَ قُلْتُ أُطِيقُ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ. قَالَ " صُمْ ثَلاَثَةَ أَيَّامٍ فِي الْجُمُعَةِ ". قُلْتُ أُطِيقُ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ. قَالَ " أَفْطِرْ يَوْمَيْنِ وَصُمْ يَوْمًا ". قَالَ قُلْتُ أُطِيقُ أَكْثَرَ مِنْ ذَلِكَ. قَالَ " صُمْ أَفْضَلَ الصَّوْمِ صَوْمِ دَاوُدَ صِيَامَ يَوْمٍ وَإِفْطَارَ يَوْمٍ وَاقْرَأْ فِي كُلِّ سَبْعِ لَيَالٍ مَرَّةً ". فَلَيْتَنِي قَبِلْتُ رُخْصَةَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَذَاكَ أَنِّي كَبِرْتُ وَضَعُفْتُ فَكَانَ يَقْرَأُ عَلَى بَعْضِ أَهْلِهِ السُّبْعَ مِنَ الْقُرْآنِ بِالنَّهَارِ وَالَّذِي يَقْرَؤُهُ يَعْرِضُهُ مِنَ النَّهَارِ لِيَكُونَ أَخَفَّ عَلَيْهِ بِاللَّيْلِ وَإِذَا أَرَادَ أَنْ يَتَقَوَّى أَفْطَرَ أَيَّامًا وَأَحْصَى وَصَامَ مِثْلَهُنَّ كَرَاهِيةَ أَنْ يَتْرُكَ شَيْئًا فَارَقَ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم عَلَيْهِ
Maksudnya:
“Ayahku telah menikahkan aku dengan seorang wanita dari keluarga yang mulia, dan beliau suka bertanya kepadanya tentangku. Maka, isteriku pun menjawab, ‘Dia adalah semulia-mulia lelaki. Dia belum pernah menyentuhku di atas tempat tidur dan tidak juga bermesra denganku sejak dia bernikah denganku.’ Apabila hal itu berlanjutan, ayahku mengadu kepada Nabi s.a.w., dan baginda pun bersabda, ‘Bawakan dia kepadaku.’
Lalu, aku pun menemui baginda selepas itu. Maka, baginda bertanya, ‘Bagaimanakah engkau berpuasa?’ Aku menjawab, ‘Setiap hari (aku berpuasa).’ Baginda bertanya lagi, ‘Bagaimanakah engkau mengkhatam al-Quran?’ Aku menjawab, ‘Pada setiap malam (aku mengkhatam al-Quran).’
Baginda pun bersabda, ‘Berpuasalah tiga hari sebulan dan khatamlah al-Quran (sekali) pada setiap bulan.’ Aku berkata, ‘Aku mampu buat lebih banyak daripada itu.’ Baginda bersabda, ‘Berpuasalah tiga hari dalam seminggu.’ Aku berkata, ‘Aku mampu buat lebih banyak daripada itu.’ Baginda bersabda, ‘Berbukalah dua hari dan berpuasalah sehari.’ Aku berkata, ‘Aku mampu buat lebih banyak daripada itu.’ Baginda pun bersabda, ‘Berpuasalah dengan sebaik-baik puasa iaitu Puasa Nabi Daud (dengan) berpuasa sehari dan berbuka sehari, dan khatamlah al-Quran sekali dalam seminggu.’
Alangkah baiknya kalau aku ambil rukhsoh (keringanan) yang diberikan oleh Rasulullah s.a.w. kerana sekarang aku telah tua dan telah menjadi lemah.”
Mujahid (perawi hadis) menyatakan bahawa biasanya ‘Abdullah bin ‘Amru akan memperdangarkan bacaan satu per tujuh al-Quran kepada sebahagian ahli keluarganya pada siang hari dalam keadaan mereka memeriksa bacaannya itu dengan melihat mushaf, supaya lebih mudah untuk ia mengulangi bacaanya pada malam hari (ketika berqiyamullail).
Dan apabila dia perlu mengumpulkan kekuatan, dia tidak berpuasa selama beberapa hari, lalu dia menggantikan puasa pada hari-hari yang dia tinggalkan itu kerana dia tidak suka meninggalkan apa yang telah diajarkan Nabi s.a.w. kepadanya.
Kerana terlalu kuat beribadah, maka berkuranglah masa yang beliau luangkan untuk mengajar agama dan menyebarkan hadis kepada masyarakat. Pada masa yang sama, beliau pula menetap di Mesir yang bukanlah sebuah pusat ilmu ketika itu. Maka, tidak ramai yang berkesempatan untuk meriwayatkan hadis daripadanya.
Hal ini berbeza denganAbu Hurairah r.a. yang menetap dan mengajar di Madinah yang merupakan pusat ilmu ketika itu, sehingga hadis-hadis riwayat beliau lebih banyak yang tersebar berbanding apa yang diriwayatkan oleh ‘Abdullah bin ‘Amru r.a.huma.
Selain itu, ‘Abdullah bin ‘Amru r.a.huma. suka mengkaji kandungan kitab Taurah dan Injil kerana beliau menguasai Bahasa Suryani. Rentetan itu, ada yang bimbang untuk mengambil hadis daripadanya dikhuatiri bercampur dengan kisah-kisah riwayat Ahlul Kitab.
Pada hari ini, as-Sohifah as-Sodiqah tidak lagi wujud, tetapi kandungannya masih terpelihara di dalam
kitab-kitab hadis yang lain yang dapat dikesan dengan melihat sanad “Daripada‘Amr bin Syu’aib, daripada ayahnya, daripada datuknya (‘Abdullah bin ‘Amru),” kerana selepas beliau meninggal dunia, kitabnya itu diwarisi kepada anak dan cucunya, sebelum ia hilang.
Wallahu a’lam.