Masih ramai yang tidak menyedari betapa mereka sedang mengamalkan bid’ah. Kalau mereka sedar, sudah tentu mereka tidak mahu mengamalkannya.
Malangnya, baik sedar atau pun tidak, apabila seseorang sudah mengamalkan bid’ah, pasti akan timbul kegelapan di dalam jiwa dan fikirannya tanpa dia sedari.
Kerana itulah Nabi s.a.w. sering memberikan peringatan tentang bahaya bid’ah sehingga para sahabat begitu benci dengan bid’ah, sebagaimana kata ‘Abdullah bin Mughaffal r.a.:
وَلَمْ أَرَ أَحَدًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ أَبْغَضَ إِلَيْهِ الْحَدَثُ فِي الإِسْلاَمِ يَعْنِي مِنْهُ
Maksudnya:
“Aku tidak pernah melihat ada satu perkara pun yang lebih dibenci oleh setiap seorang sahabat Rasulullah s.a.w. daripada membuat perkara baharu dalam urusan Agama Islam.”
Hal ini kerana amalan bid’ah menyebabkan seseorang itu memusuhi para pembela sunnah, hingga ke tahap penentangannya terhadap para penyebar hadis-hadis sahih itu lebih keras daripada permusuhannya terhadap orang-orang kafir yang memerangi Kaum Muslimin.
Sepatutnya, semua pihak bersikap insaf dan bermuhasabah diri betapa penentangan dan sekatan demi sekatan yang dilancarkan kepada para penyebar sunnah ini tidak menguntungkan mana-mana pihak melainkan syaitan dan kekufuran semata-mata.
Dek kerana sibuk mengatur strategi untuk menutup suara pembela keaslian ajaran Nabi s.a.w., mereka hilang tumpuan untuk mendidik masyarakat yang telah hanyut meninggalkan agama termasuklah mereka yang tidak bersolat sama sekali.
Selain itu, orang yang mengamalkan bid’ah juga telah mencantas kalimah syahadah yang kedua iaitu penyaksian bahawa Muhammad s.a.w. adalah Rasulullah tanpa dia sedari yang mana inilah yang paling kita bimbangi kerana sunnah itu membawa rahmat kepada kita.
Maka, apabila rahmat terangkat, pasti balalah yang akan menimpa umat ini.
Wal’iyazu billah.