Tujuan asal pengambilan sanad hadis adalah untuk memastikan kesahihan sesuatu hadis iaitu dengan melihat kepada siapakah perawinya, adakah sanadnya bersambung dan membandingkannya dengan riwayat perawi-perawi lain yang mengambil sesuatu hadis daripada sumber yang sama.
Tetapi, setelah semua hadis dibukukan dan latar belakang semua perawi hadis telah direkodkan dengan sistematik, tidak ada lagi keperluan untuk mengambil sanad hadis melainkan bagi tujuan untuk mengambil berkat.
Hal ini kerana sesuatu hadis yang sahih tetap boleh diamalkan meskipun jika kita tidak mempunyai sanad yang bersambung dengan perawi hadis tersebut. Sebaliknya, jika sesuatu hadis itu terlalu dha’if atau maudhu’ (palsu), ia tetap tidak boleh diamalkan, meskipun jika kita mempunyai sanad yang bersambung dengan perawinya.
Pengambilan sanad hadis oleh masyarakat awam yang tidak menguasai ilmu agama juga boleh mengelirukan dan menimbulkan fitnah, kerana dibimbangi akan ada yang menjaja atau menyangka bahawa pandangan seseorang itu benar hanya kerana dia mempunyai sanad, sedangkan pemahamannya terhadap hadis itu menyeleweng.
Lalu, jika semua orang mendakwa yang dirinya benar, hanya kerana dia mempunyai sanad, masyarakat akan menjadi bertambah keliru kerana setiap seorang daripada mereka membawakan pandangan yang saling bercanggah, kerana hakikatnya pemahaman mereka terhadap hadis itu yang tidak bersanad.
Perkara ini sama seperti label “ustaz” yang diberikan kepada sesiapa sahaja yang berpenampilan “agama” dan pandai bercakap serba-sedikit tentang agama meskipun pada hakikatnya dia tidak mempelajari ilmu agama secara formal dan tidak pun menguasai asas-asas ilmu agama.
Kesannya, masyarakat tidak mampu lagi membezakan antara orang yang benar-benar berilmu dengan orang yang hanya berpura-pura berilmu.
Wallahu a’lam.