Selain daripada al-Quran, Nabi s.a.w. dikurniakan oleh Allah s.w.t. beberapa lagi mukjizat sebagai bukti bahawa baginda sememangnya seorang Nabi.
Antaranya adalah senarai nama pemimpin Quraisy yang akan mati terbunuh di dalam Perang Badar yang dikhabarkan terlebih dahulu oleh Nabi s.a.w. kepada para sahabat, air keluar daripada celah-celah tangan Nabi s.a.w. sehingga mencukupi untuk para sahabat minum dan mengambil wudhu’ dengannya, kisah Nabi s.a.w. membelah bulan, gambaran dunia akhir zaman, dan banyak lagi.
Sesungguhnya, semua hadis ini sudah memadai untuk disebarkan kepada umat.
Malangnya, ada penceramah yang cenderung untuk menyebarkan mukjizat Nabi s.a.w. yang berasal daripada hadis-hadis yang dha’if dan maudhu’ (palsu) tanpa rasa bimbang termasuk dalam kalangan orang-orang yang disebutkan oleh Nabi s.a.w.:
مَن كَذَبَ عَلَيَّ فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ
Maksudnya:
“Barangsiapa yang berdusta atas namaku, hendaklah dia bersiap sedia dengan tempat duduknya di dalam neraka.”
Antara mukjizat Nabi s.a.w. yang berasal daripada hadis-hadis yang tidak sahih ialah dikatakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
Maksudnya:
“Termasuk dalam bahagian kemuliaanku yang dikurniakan oleh Allah adalah aku telah dilahirkan dalam keadaan berkhitan dan (dengan demikian) tidak ada seorang pun yang melihat auratku.”
Al-Imam al-Haitsami menghukum hadis ini sebagai maudhu’ (palsu) kerana di dalam sanadnya ada perawi bernama Sufyan bin Muhammad al-Fazari yang dikritik sebagai pendusta.
[al-Haitsami, Majma’uz Zawa’id (8/224)]
Di dalam satu lagi sanad daripada al-‘Abbas r.a., terdapat seorang perawi bernama al-Khabairi yang juga dikritik sebagai pendusta.
Terdapat juga riwayat lain yang mengatakan bahawa Nabi s.a.w. dikhatankan ketika Malaikat Jibril membelah jantung Nabi s.a.w.:
Maksudnya:
Daripada Abu Bakrah, bahawasanya Jibril telah mengkhatankan Nabi s.a.w. tatkala beliau mencuci jantung baginda.
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Imam ath-Thabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsath, tetapi beliau sendiri mendha’ifkannya kerana pada sanadnya terdapat dua orang perawi majhul (tidak dikenali) iaitu ‘Abdur Rahman bin ‘Uyainah al-Basri dan Maslamah bin Muharib az-Ziyadi.
Juga masyhur dalam kalangan masyarakat, kononnya, pada malam kelahiran Nabi s.a.w. tiang-tiang istana Kisra bergegar sehingga menyebabkan 14 tiangnya roboh. Pada malam itu juga, terpadam api yang disembah oleh Kaum Majusi di Parsi walhal api tersebut tidak pernah terpadam selama 1000 tahun.
Walhal riwayat ini tidak sahih kerana sanadnya tidak sabit dan tidak mempunyai sebarang bukti daripada catatan sejarah. Al-Imam az-Zahabi sendiri menilai hadis ini sebagai munkar.
Dan yang lebih dahsyat lagi adalah hadis yang sangat panjang berkaitan Nur Muhammad yang kononnya wujud di dalam Musonnaf ‘Abdur Razaq. Walhal ia bukan sahaja tidak wujud di dalam Musonnaf ‘Abdur Razaq, malah ia tidak wujud dalam mana-mana kitab hadis yang mu’tabar. Kepalsuan hadis ini juga jelas lagi nyata.
Kerana itulah as-Syaikh ‘Abdul Hamid al-Hindawi, pentahqiq kitab Kasyful Khafa’ mengatakan bahawa hadis ini palsu dan batil rekaan Bathiniyyah untuk menisbahkannya kepada ‘aqidah mereka yang rosak.
Al-Imam as-Suyuthi yang terkenal sebagai 'ulamak yang tasahhul (bermudah-mudah) dalam mensahihkan hadis pun turut menilai hadis ini sebagai palsu dengan berkata bahawa tidak wujud sebarang hadis dengan lafaz seperti ini di dalam al-Khasaisul Kubra.
Demikian juga as-Syaikh ‘Abdullah bin Siddiq al-Ghumari dari Kaum Sufi juga menilai hadis ini sebagai palsu.
Malangnya, pada hari ini, hadis-hadis palsu seperti inilah yang seringkali disebarkan kepada masyarakat lebih-lebih lagi ketika sambutan Maulid Nabi s.a.w. sehingga ramai yang menyangka ianya benar, walhal ia adalah pendustaan atas nama Nabi s.a.w.
Kononnya, Maulid Nabi s.a.w. disambut kerana cintakan baginda, tetapi di dalam majlis yang sama, mereka berdusta atas nama baginda.
Wallahua’lam.