Secara ringkasnya, sebahagian ‘ulamak berpendapat bahawa hadis-hadis berkaitan Imam Mahdi adalah Mutawatir Ma’nawi (iaitu hadis-hadis yang diriwayatkan oleh bilangan perawi yang ramai dengan lafaz yang berbeza tetapi kesemua lafaz itu memberi makna yang sama).
Maka, menurut mereka, kepercayaan tentang kemunculan Imam Mahdi pada akhir zaman sabit dengan hadis-hadis yang sahih dan ianya termasuk dalam masalah ‘aqidah. Kerana itulah perbahasan tentang Imam Mahdi ada disebutkan di dalam sebahagian kitab ‘aqidah.
Meskipun demikian, persoalan tentang Imam Mahdi ini bukanlah termasuk dalam usul ‘aqidah (teras ‘aqidah). Sebaliknya, ia termasuk dalam furu’ ‘aqidah (cabang ‘aqidah) sahaja. Oleh yang demikian, perbuatan sebahagian ‘ulamak seperti al-Imam Ibn Khaldun yang menolak kepercayaan munculnya Imam Mahdi pada akhir zaman, tidaklah menyebabkan mereka terkeluar daripada Agama Islam, mahupun Ahlus Sunnah wal Jama’ah, kerana khilaf dalam masalah furu’ ‘aqidah termasuk dalam perkara yang diharuskan.
Apa yang tidak boleh ditolak hanyalah perkara-perkara yang berkaitan dengan usul ‘aqidah seperti keimanan bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah Rasul terakhir yang diutuskan kepada manusia.
Jadi, sebaiknya, kita berlapang dada dalam masalah ini dan mengambil sikap saling hormat-menghormati.
Adapun hadis yang menyebut:
وَلاَ الْمَهْدِيُّ إِلاَّ عِيسَى ابْنُ مَرْيَمَ
Maksudnya: “Tiada Mahdi melainkan ‘Isa bin Maryam,”
jika hadis itu sahih, ia bukanlah bermaksud yang Imam Mahdi dan Nabi ‘Isa a.s. itu orang yang sama. Sebaliknya, ia membawa maksud bahawa perjuangan Imam Mahdi dan Nabi ‘Isa a.s. itu sama yang mana kedua-duanya berjuang untuk menegakkan kalimah tauhid, keadilan dan sebagainya. Hanyasanya, Imam Mahdi bukanlah seorang Nabi.
TAMBAHAN PENULIS
Dalam menerangkan status hadis, “Tiada Mahdi melainkan ‘Isa bin Maryam” di atas, asy-Syaikh Muhammad Solih al-Munajjid berkata:
وتكاد تتفق كلمة المحدثين على تضعيف هذا الحديث
Maksudnya: “Para ‘ulamak hampir sepakat dalam mendha’ifkan hadis ini.”
Kemudian, beliau membawakan kalam ‘ulamak yang menolak keabsahan hadis ini seperti al-Imam al-Baihaqi, al-Imam al-Hakim dan al-Imam Ibn Taimiyyah yang menghukum hadis ini sebagai Dha’if.
Al-Imam az-Zahabi dan asy-Syaikh al-Albani pula menghukum hadis ini sebagai Munkar (hadis riwayat perawi dha'if yang bercanggah dengan hadis riwayat perawi tsiqah).
Al-Imam asy-Syaukani pula menghukum hadis ini sebagai Maudhu’ (palsu).
Rentetan itu, Mulla ‘Ali al-Qari merumuskan bahawa hadis ini Dha’if (tidak sahih) menurut kesepakatan seluruh ‘ulamak hadis.
Wallahu a'lam.