Masyarakat Arab sememangnya bertutur mengikut tatabahasa Arab yang betul sejak sebelum perutusan Nabi Muhammad s.a.w. lagi.
Tetapi, setelah Agama Islam tersebar luas sehingga menjangkaui negara-negara bukan Arab, barulah kaedah tatabahasa Arab disusun secara sistematik supaya masyarakat bukan Arab dapat menggunakan Bahasa Arab dengan betul dalam pertuturan dan penulisan, kerana adanya keperluan untuk mereka memahami teks agama.
Penetapan kaedah tatabahasa Arab ini termasuk dalam apa yang disebutkan sebagai maslahah mursalah iaitu suatu maslahah (kebaikan) yang tidak disebutkan secara khusus oleh nas (al-Quran mahupun as-Sunnah), tetapi ianya berperanan sebagai sarana untuk menjaga agama.
Maslahah mursalah inilah yang disebutkan oleh sebahagian 'ulamak sebagai bid'ah hasanah yang merujuk kepada inovasi yang baik pada sarana untuk menjaga keaslian agama; bukan inovasi yang mengubah keaslian agama itu sendiri.
Dan oleh kerana masyarakat bukan Arablah yang paling bertungkus lumus mempelajari kaedah tatabahasa Arab, maka kita dapati bahawa kebanyakan ‘ulamak atau pakar Bahasa Arab terdiri daripada orang-orang yang bukan berbangsa Arab, berbanding Bangsa Arab sendiri yang sememangnya telah mampu menggunakan Bahasa Arab dengan betul walaupun tidak mengetahui kaedah tatabahasanya.
Wallahua’lam.