Di dalam Islam, istilah “Jihad” meliputi segala macam usaha yang dilakukan dengan penuh kesungguhan dan mencurahkan sepenuh tenaga untuk mengangkat dan memartabatkan Agama Islam.
Sesungguhnya, istilah “Jihad” yang lengkap dengan segala syarat, etika dan panduannya ini tidak akan dapat kita temui di dalam mana-mana ajaran agama mahupun falsafah lain di luar Islam.
Meskipun demikian, istilah “Jihad” yang disebut di dalam al-Quran dan as-Sunnah kebanyakannya merujuk kepada kemuncak jihad iaitu berjihad melalui jalan perang.
Selain jihad, kalimah “Qital” turut digunakan sebagai salah satu makna jihad, tetapi kalimah ini lebih umum, merangkumi peperangan dengan matlamat yang baik dan yang buruk.
Hal ini berbeza dengan kalimah “Jihad,” yang merujuk kepada perjuangan suci semata-mata.
Buktinya dapat dilihat melalui sabda Nabi s.a.w.:
سِبَابُ الْمُسْلِمِ فُسُوقٌ وَقِتَالُهُ كُفْرٌ
Maksudnya:
“Memaki hamun seorang Muslim itu adalah kefasiqan dan memeranginya adalah kekufuran.”
Pada masa yang sama, kalimah “Qital” juga ada yang diertikan dengan maksud jihad sebagaimana firman Allah Ta’ala:
وَقَـٰتِلُوا۟ ٱلۡمُشۡرِكِینَ كَاۤفَّةࣰ كَمَا یُقَـٰتِلُونَكُمۡ كَاۤفَّةࣰۚ
Maksudnya:
“Dan perangilah Kaum Musyrikin keseluruhannya sebagaimana mereka memerangi kalian secara menyeluruh.”
SURAH AT-TUBAH (9) :36
Kalimah “Harb”pula pada asalnya merujuk kepada peperangan dengan cara kekerasan yang tidak murni dan bercanggah dengan akhlaq Islam.
Di dalamal-Quran, kalimah ini biasanya merujuk kepada peperangan yang dilancarkan oleh Kaum Kuffar terhadap umat Islam, sebagaimana firman-Nya:
إِنَّمَا جَزَ ٰۤؤُا۟ ٱلَّذِینَ یُحَارِبُونَ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ وَیَسۡعَوۡنَ فِی ٱلۡأَرۡضِ فَسَادًا أَن یُقَتَّلُوۤا۟ أَوۡ یُصَلَّبُوۤا۟ أَوۡ تُقَطَّعَ أَیۡدِیهِمۡ وَأَرۡجُلُهُم مِّنۡ خِلَـٰفٍ أَوۡ یُنفَوۡا۟ مِنَ ٱلۡأَرۡضِۚ ذَ ٰلِكَ لَهُمۡ خِزۡیࣱ فِی ٱلدُّنۡیَاۖ وَلَهُمۡ فِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ عَذَابٌ عَظِیمٌ
Maksudnya:
“Hanyasanya balasan (terhadap) mereka yang memerangi Allah dan Rasul-Nya serta melakukan kerosakan di atas muka bumi ialah dengan dibalas bunuh, atau disalib atau dipotong tangan-tangan mereka dan kaki-kaki mereka secara bersilang atau dibuang negeri. Demikian itulah hukuman untuk mereka di dunia, sedang di akhirat nanti mereka akan berolah azab yang sangat dahsyat.”
SURAH AL-MA’IDAH (5) :33
Kerana itulah juga Nabi s.a.w. tidak suka nama dengan nama Harb yang masyhur dalam kalangan masyarat Arab Jahiliah sebagaimana sabda baginda:
وَأَحَبُّ الأَسْمَاءِ إِلَى اللَّهِ عَبْدُ اللَّهِ وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ وَأَصْدَقُهَا حَارِثٌ وَهَمَّامٌ وَأَقْبَحُهَا حَرْبٌ وَمُرَّةُ
Maksudnya:
“Nama-nama yang paling disukai oleh Allah ialah ‘Abdullah dan ‘Abdurrahman, nama-nama yang paling benar ialah Harits dan Hammam, dan nama-nama yang paling buruk ialah Harb dan Murrah.”
Namun begitu, apabila kalimah “Harb” dikaitkan dengan jihad, ia perlu difahami dengan makna jihad, seperti firman-Nya di dalam al-Quran:
فَإِن لَّمۡ تَفۡعَلُوا۟ فَأۡذَنُوا۟ بِحَرۡبࣲ مِّنَ ٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦۖ
Maksudnya:
“Oleh yang demikian, jika kalian tetap tidak melakukannya (meninggalkan riba), maka ketahuilah kalian akan adanya peperangan daripada Allah dan Rasul-Nya (terhadap kalian)!”
SURAH AL-BAQARAH (2) :279
Itulah perbezaan ringkas antara tiga kalimat ini.