Asy-Syaikh Nasiruddin al-Albani (1333H/1914M – 1420H/1999M) adalah seorang ‘ulamak yang telah banyak menabur jasa, khususnya dalam ilmu hadis. Semasa hayatnya, beliau banyak melakukan semakan terhadap hadis-hadis yang terkandung di dalam Sunan Sittah dan kitab-kitab hadis yang lain dengan gaya penulisan yang lebih kemas dan sistematik, berbanding penulisan ‘ulamak terdahulu termasuklah al-Imam Ibn al-Jauzi, al-Imam as-Suyuthi, al-Imam as-Sakhawi dan ramai lagi.
Oleh kerana banyak kerja yang beliau lakukan, maka banyaklah juga kritikan terhadap tulisannya. Tetapi, ini adalah lumrah sebagaimana yang telah dilalui oleh para ‘ulamak terdahulu yang lebih ‘alim daripadanya, termasuklah al-Imam al-Bukhari.
Sebagai penuntut ilmu, kita sepatutnya membaca dan menilai kritikan yang dilemparkan kepadanya; bukan menerima atau menolak secara mutlak, kerana hakikatnya, tidak ada manusia yang terlepas daripada melakukan kesilapan.
Yang salah hanyalah apabila adanya pihak yang bersifat keterlaluan dengan memburuk-buruk dan merendah-rendahkannya, walhal jasanya bukanlah kecil. Namun, demikianlah sikap sebahagian manusia yang sukar untuk mengiktiraf keilmuwan orang lain yang hidup sezaman dengannya, sehinggalah setelah lama beliau meninggal dunia, barulah masyarakat akan mula melupakan kekurangan dan kesilapannya.
Satu lagi sifat khas asy-Syaikh al-Albani yang menyebabkan beliau kurang disenangi oleh sebahagian pihak adalah kerana beliau tidak terikat dengan sebarang mazhab. Contohnya, beliau berpendapat bahawa wanita haid dibenarkan untuk berada di dalam masjid, sama seperti pendapat al-Imam al-Bukhari.
Pembawaaan seperti inilah yang mungkin menyebabkan golongan yang taksub mazhab berasa tidak selesa dengannya, kerana di samping berfikiran terbuka, beliau juga mempunyai hujah-hujah yang kukuh dan sebahagian besarnya hujahnya itu banyak yang selari dengan pendapat al-Imam al-Bukhari.
Wallahu a’lam.