Allah Ta’ala berfirman:
وَلا تَنْسَوُاالْفَضْلَ بَيْنَكُمْ
"Janganlah kalian melupakan jasa antara kalian sebelum ini."
[Surahal-Baqarah (2) : 237]
Ayat ini mengingatkan kita supaya tidak melupakan kelebihan yang ada pada orang lain dan jasa mereka kepada kita.
Kadang-kala, kita lupa akan kelebihan yang ada pada orang lain, kerana terlalu melihat kepada kelebihan yang ada pada diri kita. Walhal walaupun seseorang itu mungkin mempunyai banyak kelemahan pada mata kita, dia sebenarnya tetap mempunyai beberapa kelebihan yang mungkin tidak ada pada kita, yang boleh kita peroleh manfaat daripadanya.
Mudah-mudahan, dengan cara itu, kita akan terhindar daripada berasa megah dan besar diri kerana kita sedar bahawa adanya kelebihan pada setiap ciptaan Allah, termasuklah haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang mungkin sebahagiannya tidak kita ketahui.
Adapun jika kita berasa yang kita tidak mempunyai kelebihan, jagalah diri kita supaya tidak hasad atau iri hati kepada orang lain, iaitu dengan mencari dan merenungi kelebihan-kelebihan yang ada pada diri kita yang mungkin menjadi idaman bagi orang lain.
Pada masa yang sama, janganlah kerana seseorang itu mempunyai beberapa atau banyak kelemahan, kita menafikan kelebihan yang ada pada dirinya dan jasanya yang lain kepada kita.
Misalnya,kerana Singapura terkeluar daripada Malaysia, kita marah kepada Tunku ‘Abdur Rahman dan melupakan jasanya yang telah berusaha memerdekakan negara tanpa pertumpahan darah dan membawa masuk Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia yang jauh lebih besar daripada Singapura.
Maka, sebaiknya, apabila kita melihat keburukan atau keaiban yang ada pada orang lain, berdoalah kepada Allah supaya dia diberikan taufiq untuk meninggalkan tabiat buruk tersebut.
Wallahua’lam bissowab.