Rasulullah s.a.w.bersabda:
ألَا وإنَّ مَن كانَ قَبْلَكُمْ كَانُوا يَتَّخِذُونَ قُبُورَ أنْبِيَائِهِمْ وصَالِحِيهِمْ مَسَاجِدَ، ألَا فلا تَتَّخِذُوا القُبُورَ مَسَاجِدَ، إنِّي أنْهَاكُمْ عن ذلكَ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa sesungguhnya, umat sebelum kalian suka menjadikan kubur-kubur para Nabi dan orang-orang soleh dalam kalangan mereka sebagai masjid-masjid. Beringatlah! Maka janganlah kalian menjadikan kubur-kubur sebagai masjid-masjid. Sesungguhnya aku melarang kalian daripada melakukan hal itu!”
Maulana Asri menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan larangan kepada umat Islam daripada menjadikan kubur sebagai tempat solat. Antara sebabnya adalah kerana ia menyerupai perbuatan orang-orang kafir.
Maka, kita tidak boleh bersolat di kubur melainkan solat jenazah, iaitu khusus bagi yang tidak sempat bersolat untuk jenazah sebelum pengebumiannya. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dengan sanadnya daripada Abu Hurairah r.a.:
أَنَّ رَجُلاً، أَسْوَدَ ـ أَوِ امْرَأَةً سَوْدَاءَ ـكَانَ يَقُمُّ الْمَسْجِدَ، فَمَاتَ، فَسَأَلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم عَنْهُ فَقَالُوا مَاتَ. قَالَ " أَفَلاَ كُنْتُمْ آذَنْتُمُونِي بِهِ دُلُّونِي عَلَى قَبْرِهِ ". ـ أَوْ قَالَ قَبْرِهَا ـ فَأَتَى قَبْرَهُ فَصَلَّى عَلَيْهِ
Maksudnya: Bahawasanya ada seorang lelaki kulit hitam atau seorang wanit kulit hitam yang selalu menyapu (membersihkan) masjid. Kemudian, beliau meninggal dunia. Maka, Nabi s.a.w. pun bertanya tentangnya. Para sahabat pun menjawab, “Dia telah meninggal dunia.” Baginda lantas bersabda, “Kenapa kalian tidak memaklumkannya kepadaku? Tunjukkan kepadaku di mana kuburnya.” Lalu, baginda mendatangi kuburnya dan bersolat untuknya di situ.
Di dalam hadis lain, Nabis.a.w. bersabda:
لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قُبُورًا وَلاَ تَجْعَلُوا قَبْرِي عِيدًاوَصَلُّوا عَلَىَّ فَإِنَّ صَلاَتَكُمْ تَبْلُغُنِي حَيْثُ كُنْتُمْ
Maksudnya: “Janganlah kalian jadikan rumah-rumah kalian seperti kubur-kubur dan janganlah kalian jadikan kuburku sebagai tempat perayaan, tetapi berselawatlah kepadaku kerana sesungguhnya selawat kalian pasti akan sampai kepadaku dari mana pun kalian berada.”
Hadis ini juga menjadi isyarat bahawa kubur bukanlah tempat ibadah. Kerana itulah Nabi s.a.w. mengumpamakan rumah yang tidak dihidupkan dengan amal ibadah seperti kubur.
Malangnya, pada hari ini, ramai yang menjadikan kubur sebagai tempat ibadat, dan sesiapa yang melarang mereka akan dilabel sebagai “Wahhabi,” walhal larangan ini tidak ada kaitan dengan Wahhabi, sebaliknya ia dilarang oleh Nabi s.a.w. sendiri.
Maka, seharusnya kita menilai sesuatu dakwaan dengan akal yang sejahtera. Misalnya, jika Wahhabi atau orang yang dilabel sebagai “Wahhabi” itu mengajak kita supaya beribadah sama seperti yang Nabi s.a.w. lakukan dan jangan melakukan sebarang bentuk ibadah yang tidak pernah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w., apa salahnya? Bukankah itu yang terbaik?
Jadi, kenapa kita mengejek dan mempersendakan mereka? Sesungguhnya, apabila kita mengejek dan memeprsendakan orang yang menyeru kepada sunnah, tanpa disedari kita sebenarnya sedang mempersendakan sunnah dan Nabi s.a.w. sendiri.
Maka, tanyalah diri kita sendiri, adakah bukti cinta kita kepada baginda hanya sebatas sambutan Maulid Nabi s.a.w. lalu segala sunnahnya dalam bentuk ‘ibadat kita ketepikan?
Sekian nukilan daripada Maulana Asri.
PENJELASAN TAMBAHAN
Jangan Jadikan Kubur Nabi dan Orang Soleh Sebagai Masjid
Dalam menjelaskan kenapa Nabi s.a.w. melarang kita daripada menjadikan perkuburan para Nabi dan orang-orang soleh sebagai masjid, al-Imam an-Nawawi berkata:
قَالَ الْعُلَمَاءُ : إِنَّمَا نَهَى النَّبِيُّ -صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - عَنِ اتِّخَاذِ قَبْرِهِ وَقَبْرِ غَيْرِهِ مَسْجِدًا خَوْفًا مِنَ الْمُبَالَغَةِ فِي تَعْظِيمِهِ وَالِافْتِتَانِ بِهِ فَرُبَّمَا أَدَّى ذَلِكَ إِلَى الْكُفْرِ كَمَا جَرَى لِكَثِيرٍ مِنَ الْأُمَمِ الْخَالِيَةِ . وَلَمَا احْتَاجَتِ الصَّحَابَةُ - رِضْوانُ اللَّهِ عَلَيْهِمْ أَجْمَعِينَ - وَالتَّابِعُونَ إِلَى الزِّيَادَةِ فِي مَسْجِدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - حِينَ كَثُرَ الْمُسْلِمُونَ وَامْتَدَّتِ الزِّيَادَةُ إِلَى أَنْ دَخَلَتْ بُيُوتُ أُمَّهَاتِ الْمُؤْمِنِينَ فِيهِ وَمِنْهَا حُجْرَةُ عَائِشَةَ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا - مَدْفِنُ رَسُولِ اللَّهِ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - وَصَاحِبَيْهِ أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ - رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا - بَنَوْا عَلَى الْقَبْرِ حِيطَانًا مُرْتَفِعَةً مُسْتَدِيرَةً حَوْلَهُ لِئَلَّا يَظْهَرَ فِي الْمَسْجِدِ ، فَيُصَلِّيَ إِلَيْهِ الْعَوَامُّوَيُؤَدِّي الْمَحْذُورَ ، ثُمَّ بَنَوْا جِدَارَيْنِ مِنْ رُكْنَيِ الْقَبْرِ الشَّمَالِيَّيْنِ ، وَحَرَّفُوهُمَا حَتَّى الْتَقَيَا حَتَّى لَا يَتَمَكَّنَ أَحَدٌ مِنِ اسْتِقْبَالِ الْقَبْرِ ، وَلِهَذَا قَالَ فِي الْحَدِيثِ : لَوْلَا ذَلِكَ لَأُبْرِزَ قَبْرُهُ ، غَيْرَ أَنَّهُ خَشِيَ أَنْ يُتَّخَذَ مَسْجِدًا وَاللَّهُ تَعَالَى أَعْلَمُ بِالصَّوَابِ
Maksudnya: Para ‘ulamak berkata, Nabi s.a.w. melarang daripada menjadikan kuburnya dan kubur orang lain sebagai masjid semata-mata kerana takut berlakunya sikap berlebih-lebihan dalam mengagungkan dan memuja baginda (dan orang soleh) sehingga barangkali ia boleh mendorong kepada kekufuran sebagaimana yang telah berlaku kepada umat-umat terdahulu.
Lalu, apabila para sahabat r.a.hum. dan tabi’in perlu membesarkan masjid kerana jumlah orang Islam semakin ramai dan mereka perlu melakukan tambahan sehingga memasukkan rumah ummahatul mukminin termasuklah rumah ‘A’isyah r.a.ha. yang menjadi tempat bersemadinya jasad Rasulullah s.a.w. dan dua orang sahabatnya iaitu Abu Bakr dan ‘Umar r.a.huma. ke dalam masjid, mereka pun membina satu tembok yang tinggi berbentuk bulatan di sekeliling rumah ‘A’isyah itu supaya keberadaannya tidak kelihatan di dalam masjid.
Malangnya, ada orang awam yang bersolat ke arah rumah ‘A’isyah itu dan mereka melakukan perbuatan-perbuatan yang terlarang. Kemudian (rentetan itu), mereka pun membina dua tembok dari dua sudut utara kubur, dan memutarnya sehingga kedua-dua sudut itu bertemu sehingga tidak memungkin lagi sesiapa pun untuk menghadap ke arah kubur itu.
Kerana itulah disebutkan di dalam sebuah hadis (yang mana ‘A’isyah berkata), “Kalaulah bukan kerana sabda Nabi s.a.w. itu, nescaya kubur baginda telah dibiarkan terdedah, tetapi (tidak berlaku yang sedemikian itu) kerana dibimbangi kubur baginda akan dijadikan sebagai masjid (tempat solat).” Allah Ta’ala sahajalah yang lebih mengetahui kebenarannya.
Maka, menurut al-Imam an-Nawawi, para ‘ulamak memahami bahawa tujuan Nabi s.a.w. melarang kita daripada menjadikan kubur sebagai tempat ‘ibadat adalah untuk mengelakkan manusia daripada bersikap melampau dalam mengagungkan Nabi s.a.w. dan orang-orang soleh kerana ia boleh membawa kepada kekufuran sebagaimana yang telah berlaku pada umat terdahulu.
Jadi, tidak hairanlah apabila orang awam yang jahil mula bersolat menghadap kubur Nabi s.a.w., ulil amri pada zaman tersebut segera mengambil inisiatif membina tembok bagi menghalang manusia daripada bersolat menghadap ke arah kubur baginda.
Kepalsuan Kisah Imam Malik dan Khalifah al-Mansur
Malangnya, ada dakwaan daripada Kaum Zindiq (Sesat) kononnya Khalifah Abu Ja’far al-Mansur telah bertanya kepada Imam Malik bin Anas apabila mereka berada di depan kubur Nabi s.a.w.:
يا أبا عبد الله؛ أأستقبل القبلة وأدنو أم أستقبل رسول الله صلى الله عليه وسلم؟
Maksudnya: “Wahai Abu ‘Abdillah, adakah aku harus menghadap qiblat lalu berdoa, atau aku menghadap ke (kubur) Rasulullah s.a.w. (lalu berdoa)?”
Lalu, kononnya, Imam Malik menjawab:
ولم تصرف وجهك عنه وهو وسيلتك ووسيلة أبيك آدم عليه السلام إلى الله تعالى إلى يوم القيامة. بل استقبله واستشفع به، فيشفعك الله.
Maksudnya: “Usahlah kau palingkan wajahmu daripada baginda, kerana baginda adalah perantara bagimu dan perantara ayahmu, Adam a.s. kepada Allah sehinggalah Hari Qiyamat. Maka, hadapkanlah wajahmu kepadanya dan mintalah pertolongan dengannya, nescaya Allah akan memberikan pertolongan kepadamu.”
Walhal ini adalah kisah palsu rekaan Muhammad bin Hamid ar-Razi (w: 248H) yang tidak pernah pun bertemu dengan Imam Malik (w: 179H) dan dia juga tidak sempat hidup pada zaman Khalifah al-Mansur (w: 158H).
Selain itu, Muhammad bin Hamid juga masyhur sebagai pendusta, sehinggakan Solih bin Muhammad al-Asadi berkata:
كُنَّا نتهم بن حميد فِي كل شَيْء مَا رَأَيْت أجرأ علىالله مِنْهُ كَانَ يَأْخُذ أَحَادِيث النَّاس فيقلب بَعْضهَا على بعض
Maksudnya: “Kami sering mentohmah (Muhammad) bin Hamid dalam setiap perkara. Tidaklah pernah aku melihat orang yang lebih berani (berdusta) atas nama Allah daripadanya. Dia suka mengambil hadis-hadis daripada orang ramai, lalu dia menukar-nukar sanad dan matan sebahagian hadis dengan sebahagian hadis yang lain.”
Insya Allah, jika ada kelapangan, kami akan kongsikan jawapan para ‘ulamak terhadap kebatilan kisah ini secara terperinci di dalam tulisan yang lain.
Jangan Jadikan Rumah Seperti Kubur
Adapun tentang hadis peringatan Nabi s.a.w. supaya tidak menjadikan rumah seperti perkuburan, Syaikh Syamsul Haqil ‘Azhim Abadi berkata:
لَا تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قُبُورًا : أَيْ لَاتَتْرُكُوا الصَّلَوَاتِ وَالْعِبَادَةَ فَتَكُونُوا فِيهَا كَأَنَّكُمْ أَمْوَاتٌ شَبَّهَ الْمَكَانَ الْخَالِيَ عَنِ الْعِبَادَةِ بَالْقُبُورِ ، وَالْغَافِلَ عَنْهَا بَالْمَيِّتِ
Maksudnya: “Janganlahkalian jadikan rumah-rumah kalian seperti perkuburan,” ertinya janganlah kalian tinggalkan sama sekali solat-solat dan amal ibadat (di dalam rumah) sehingga seolah-olah kalian menjadi seperti orang mati yang berada di dalam rumah itu. Baginda menymakan tempat yang sunyi daripada ‘ibadah dengan perkuburan, dan orang yang tidak beribadat di dalam rumanya disamakan dengan orang yang telah mati.
Tegahan Nabi s.a.w. daripada menjadikan kubur baginda sebagai tempat perayaan pula menjadi isyarat yang jelas bagi orang-orang yang berakal betapa kubur yang mengandungi jasad manusia yang paling mulia itu pun dilarang daripada kerap dikunjungi bagi tujuan ‘ibadah. Sebaliknya, berpadalah kita dengan berselawat kepada baginda kerana dari mana pun kita berselawat, ia tetap sampai kepada baginda.
Hal ini sebagaimana yangdijelaskan oleh al-Munawi di dalam Fathul Qadir:
مَعْنَاهُ النَّهْيُ عَنِ الِاجْتِمَاعِ لِزِيَارَتِهِ اجْتِمَاعِهِمْ لِلْعِيدِ إِمَّا لِدَفْعِ الْمَشَقَّةِ أَوْ كَرَاهَةَ أَنْ يَتَجَاوَزُوا حَدَّ التَّعْظِيمِ . وَقِيلَ الْعِيدُ مَا يُعَادُ إِلَيْهِ أَيْ لَا تَجْعَلُوا قَبْرِي عِيدًا تَعُودُونَ إِلَيْهِ مَتَى أَرَدْتُمْ أَنْ تُصَلُّوا عَلَيَّ ، فَظَاهِرُهُ مَنْهِيٌّ عَنِ الْمُعَاوَدَةِ وَالْمُرَادُ الْمَنْعُ عَمَّا يُوجِبُهُ وَهُوَ ظَنُّهُمْ بِأَنَّ دُعَاءَ الْغَائِبِ لَا يَصِلُ إِلَيْهِ وَيُؤَيِّدُهُ قَوْلُهُ : ( وَصَلُّوا عَلَيَّ فَإِنَّ صَلَاتَكُمْ تَبْلُغُنِي حَيْثُ كُنْتُمْ ) : أَيْ لَا تَتَكَلَّفُوا الْمُعَاوَدَةَ إِلَيَّ فَقَدِ اسْتَغْنَيْتُمْ بَالصَّلَاةِ عَلَيَّ
Maksudnya: Ertinya, ditegah daripada berkumpul untuk menziarahi baginda (di kuburnya) sebagaimana mereka berkumpul sempena Hari Raya, sama ada untuk mengelak daripada menyusahkan (umatnya) atau kerana baginda tidak suka diagung-agungkan sehingga melampaui batas.
Dikatakan, “‘Aid” (hari raya) bermaksud apa yang dikembalikan kepadanya, yang bererti “Janganlah kalian menjadikan kuburku sebagai tempat untuk kalian kunjungi berulang-ulang kali apabila kalian hendak berselawat kepadaku.”
Maka, secara zahirnya, ia menunjukkan larangan daripada berulang kali datang ke kubur baginda dan tujuannya adalah untuk menghalang mereka daripada apa yang mendorong mereka untuk sering mengunjungi
kubur Nabi s.a.w. iaitu sangkaan mereka bahawa doa (selawat) daripada orang yang jauh (untuk baginda) tidak sampai kepada baginda.
Dan hal ini disokong melalui sabdanya, “Dan berselawatlah kepadaku kerana sesungguhnya, selawat kalian pasti akan sampai kepadaku dari mana pun kalian berada,” yang bererti usahlah kalian bersusah payah berulang-alik mendatangiku kerana sesungguhnya telah cukup dengan kalian berselawat kepadaku.
Maka, jika dibandingkan dengan kubur orang lain yang kedudukannya jauh lebih rendah dari Nabi s.a.w., sudah
tentulah lebih utama untuk tegahan ini terpakai kepada mereka.
Dengan kata lain, tidak ada sebarang keperluan untuk kita bersusah payah mendatangi kubur mana-mana tokoh semata-mata untuk mengambil berkat, berdoa dan melakukan ibadat lain di sana, kerana kita dilarang daripada melakukan hal tersebut di kubur Nabi s.a.w. sendiri, inikan pula kubur-kubur lain.
Sebaliknya, berpadalah kita dengan mengunjungi perkuburan yang hampir dengan rumah kita untuk mengingatkan kita kepada kematian. Lalu kita memberi salam dan mendoakan kesejahteraan untuk para penghuni kubur, sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Nabi s.a.w.
Wallahu a'lam.