Secara umumnya, banyak gerakan dan aliran dalam dunia Islam yang bertungkus-lumus berjuang untuk menegakkan syi’ar Islam dalam lapangan mereka masing-masing. Namun begitu, sebagai manusia biasa, pasti mereka tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, sebagaimana kita sendiri juga ada melakukan kesilapan.
Tetapi, apabila kebaikan seseorang atau sesebuah organisasi itu lebih banyak daripada kesilapannya, sepatutnya yang baik itulah yang kita tonjolkan dan kita berdoa mudah-mudahan Allah mengampunkan sedikit sebanyak kesilapan yang mereka lakukan berkat jasa dan sumbangan mereka yang lebih banyak terhadap Islam.
Hal ini samalah seperti apa yang pernah diungkapkan oleh Nabi s.aw. kepada ‘Utsman bin ‘Affan r.a. setelah beliau menyumbangkan 1,000 dinar sebagai persiapan pasukan tentera Islam:
مَا ضَرَّ عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ الْيَوْمِ
Maksudnya:
“Tidak ada apa lagi perbuatan (kesalahan) yang boleh memudaratkan ‘Utsman selepas hari ini.”
Dalam kesempatan lain, Hathib bin bin Abu Balta’ah r.a. pernah melakukan kesalahan yang besar kerana berusaha untuk mengutus surat kepada Kaum Musyrikin, memohon perlindungan untuk keluarganya sebelum Nabi s.a.w. menghantar pasukan tentera untuk membuka Makkah.
Namun Allah Ta’ala menggagalkan perancangan tersebut dengan mengkhabarkan rancangan Hathib kepada Nabi s.a.w. Maka, baginda pun menghantar ‘Ali bin Abu Tholib, Abu Martsad dan az-Zubair bin al-‘Awwam r.a.hum. untuk merampas surat tersebut daripada seorang wanita yang diutuskan oleh Hathib bin Abu Balta’ah r.a.
Setelah mendapatkan penjelasan daripada Hathibr.a., baginda menerima alasannya dan mahu melepaskannya. Tetapi, ‘Umar tetap menawarkan diri untuk memenggal leher Hathib atas alasan telah mengkhianati Nabi s.a.w.
Maka, Nabi s.a.w. pun bersabda:
أَلَيْسَ مِنْ أَهْلِ بَدْرٍ لَعَلَّ اللَّهَ اطَّلَعَ إِلَى أَهْلِ بَدْرٍ فَقَالَ اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ فَقَدْ وَجَبَتْ لَكُمُ الْجَنَّةُ أَوْ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ
Maksudnya:
“Bukankah beliau (Hathib) termasuk dalam kalangan tentera Badar? Mudah-mudahan Allah merenung ke arah tentera Badar seraya berfirman, ‘Buatlah apa sahaja yang kalian mahu kerana sesungguhnya telah diwajibkan syurga atau keampunan untuk kalian.’”
Mendengar sabda Nabi s.a.w., berlinanglah air mata ‘Umar, lalu beliau berkata:
اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ
Maksudnya:
“Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.”
Lihatlah bagaimana Nabi s.a.w. mendidik kita agar bersifat insaf dalam menilai manusia yang besar jasanya kepada Islam. Sepatutnya begitulah juga sikap yang kita ambil dalam menilai al-Ikhwan al-Muslimun (IM) kerana jasa mereka juga tidak kurang besarnya kepada Islam.
Benar, mungkin ada pandangan mereka yang tersilap seperti kesilapan mereka dalam menjemput Syi’ah untuk sama-sama berjuang dengan mereka. Tetapi kesilapan itu berpunca daripada keterbatasan ilmu yang ada pada umat Islam pada zaman tersebut sehingga ada Syaikh al-Azhar yang berfatwa bahawa harus untuk solat mengikut tatatcara solat Syi’ah Ja’fariah.
Kenapa? Kerana ketika itu, Revolusi Iran belum berlaku dan Syi’ah masih bertaqiyyah (menyembunyikan kesesatan mereka) sehingga ramai yang terpedaya dan menganggap mereka sebagai salah satu mazhab dalam Islam.
Selain itu, ada juga kritikan daripada sebahagian ‘ulamak terhadap IM dalam beberapa masalah ijtihadiah yang tidak mempunyai penjelasan tuntas daripada nas yang qat’i (jelas lagi muktamad) atau ijmak (kesepakatan) ‘ulamak.
Maka, seharusnya kita menghormati pandangan yang berbeza dan bersikap terbuka pada masalah ijtihadiah; bukan terus melabel mereka sebagai sesat. Jika tidak, ia hanya merugikan umat Islam.
Berapa ramai cerdik pandai di tempat kita yang melontarkan beberapa pandangan yang berbeza dengan amalan kebiasaan masyarakat, lalu mereka terus ditolak dan dicemuh sebagai sesat, pemecah belah umat dan diberikan pelbagai label seperti “Kaum Muda” atau “Wahhabi” untuk memberikan konotasi bahawa mereka telah terkeluar daripada manhaj Ahlus Sunnah wal Jama’ah.
Walhal apa yang mereka ajarkan itu termasuk dalam khilaf mu’tabar (perbezaan pendapat yang berasaskan hujah yang kuat daripada pihak-pihak yang bertelagah) yang telah berlaku sejak zaman Salafu Soleh (umat Islam yang hidup pada 300 Hijriyyah pertama) lagi.
Oleh yang demikian, bersederhanalah dan bersikap adillah dalam menilai orang lain sebagaimana kita juga mahu diperlakukan sedemikian rupa.
Wallahu a’lam.