Apabila kita menyeru supaya kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah, ada sesetengah pihak yang mengejek dan mentohmah, kononnya kita menolak ijmak dan qiyas. Jika ejekan atau tohmahan ini dilakukan oleh masyarakat awam, kita boleh mengandaikan yang barangkali mereka tidak mempunyai asas pengajian agama.
Malangnya, ejekan dan tohmahan ini dimulakan oleh mereka yang berceramah di minbar-minbar masjid. Ertinya, besar kemungkinan, mereka mempunyai latar belakang pengajian agama.
Sesungguhnya, tidaklah sepatutnya ejekan dan tohmahan ini dilakukan oleh mereka yang memegang pangkat-pangkat “keagaman” pada pangkal nama mereka, kerana mereka tentunya tahu bahawa seruan supaya berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah itu tidaklah bererti menolak sumber-sumber hukum Islam yang lain seperti ijmak dan qiyas.
Dan mereka tentu saja mengetahui bahawa sumber hukum dalam Islam itu bukanlah sekadar al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qiyas, tetapi di sana masih banyak lagi sumber-sumber hukum lain yang tidak disepakati seperti istislah, istihsan, istishab, sadduz zari’ah, ‘urf, qawlsahabi, syar’un man qablana dan banyak lagi.
Jadi, adakah mereka yang menyeru supaya berpegang teguh kepada al-Quran, as-Sunnah, ijmak dan qiyas ini menolak sumber-sumber hukum yang lain? Semestinya tidak.
Alhamdulillah, kerana kita bijak (faham maksud seruan mereka) dan jujur, kita tidak menyebarkan dakyah murahan seperti itu kepada para penentang dakwah sunnah.
Sebaliknya, seruan supaya Kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah itu dilakukan kerana:
1. seruan tersebut sabit dengan zahir perintah Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. sebagaimana firman-Nya:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَوَلَّوْا عَنْهُ وَأَنْتُمْ تَسْمَعُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berpaling daripadanya sedang kamu mendengar (perintah Allah supaya taat kepada kedua-duanya).”
[Surah al-Anfal (8) :20]
dan sabda Nabi s.a.w.:
إنيقد تركتُ فيكم ما إن اعتصمتُم به فلن تَضِلُّوا أبدًا كتابَ اللهِ وسُنَّةَ نبيِّه
“Sesungguhnya, telah aku tinggalkan kepada kalian sesuatu yang jika kalian berpegang teguh dengannya, nescaya kalian tidak akan sesat selama-lamanya (iaitu) Kitabullah (al-Quran) dan Sunnah Nabi-Nya.”
[Sahih at-Targhib (40): Sahih]
2. sumber-sumber hukum yang lain seperti ijmak dan qiyas, termasuk dalam sumber hukum yang diiktiraf oleh al-Quran dan as-Sunnah, sehingga apabila diseru supaya kembali kepada al-Quran dan as-Sunnah, ia telah pun merangkumi seruan supaya merujuk kepada sumber-sumber hukum yang lain.
Misalnya, ijma’ diiktiraf sebagai sumber hukum dalam Islam, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
إنَّ اللَّهَ لا يجمعُ أمَّتي علَى ضلالةٍ
“Sesungguhnya, Allah tidak akan membiarkan umatku bersepakat atas kesesatan.”
[Sahih at-Tirmizi (2167) : Sahih]
Dalil penghujahan qiyas pula sabit dengan perbuatan Nabi s.a.w. sendiri, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dengan sanadnya daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas r.a.huma., katanya:
جَاءَ رَجُلٌ إلى النبيِّ صَلَّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ، فَقالَ: يا رَسولَ اللهِ، إنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَعَلَيْهَا صَوْمُ شَهْرٍ، أَفَأَقْضِيهِ عَنْهَا؟ فَقالَ: لو كانَ علَى أُمِّكَ دَيْنٌ، أَكُنْتَ قَاضِيَهُ عَنْهَا؟ قالَ: نَعَمْ، قالَ: فَدَيْنُ اللهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى
Seorang lelaki telah mendatangi Nabi s.a.w. seraya berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dalam keadaan dia tidak berpuasa selama sebulan. Adakah aku perlu mengqadha’ puasa itu bagi pihaknya?”
Maka, baginda bertanya, “Kalau ibumu mempunyai hutang (dengan manusia), adakah engkau akan membayar hutang itu bagi pihaknya?” Lelaki itumenjawab, “Ya.”
Baginda pun bersabda, “Jika demikian, hutang (puasa) dengan Allah itu lebih berhak untuk engkau langsaikan.”
[Sahih Muslim (1148)]
Di dalam hadis di atas, Nabi s.a.w. melakukan qiyas antara hutang puasa (antara manusia dengan Allah), dengan hutang wang sesama manusia. Maka, daripada perbuatan Nabi s.a.w. inilah para ‘ulamak menjadikan qiyas sebagai salah satu hujah atau sumber hukum dalam agama.
Dan demikianlah halnya dengan sumber-sumber hukum lain yang mana semuanya juga mempunyai dalil penghujahannya daripada al-Quran dan as-Sunnah. Kerana itulah Nabi s.a.w. mengingatkan
kita supaya berpegang teguh dengan al-Quran dan as-Sunnah.
Adakah ada yang mahu mengejek Nabi s.a.w. kononnya baginda mengajar umatnya supaya meninggalkan ijmak, qiyas dan sumber-sumber hukum yang lain?
Alhamdulillah, tidak ada. Maka, seharusnya semua umat Islam menyahut seruan baginda tersebut dengan penuh keimanan; bukan mengejek mana-mana kaum Muslimin yang membawa mesej yang sama.
Hanyasanya al-Quran, as-Sunnah dan sumber-sumber hukum yang lain hendaklah difahami dan digunapakai dengan cara yang berdisiplin sebagaimana yang telah digariskan oleh para ‘ulamak; bukan secara semberono, seperti membawa nas daripada al-Quran dan al-hadis (dalam keadaan kesahihannya pun tidak disemak), lalu mengeluarkan hukum-hakam sendiri tanpa landasan ilmu dan tanpa merujuk kepada tafsiran para ‘ulamak muktabar.
Kerana itulah pentingnya al-Quran, as-Sunnah dan sumber-sumber hukum yang lain ini dipelajari agar ia difahami sebagaimana yang telah difahami oleh Salafu Soleh yang terlebih dahulu berinteraksi dengannya, agar selari pemahaman kita dengan pemahaman mereka.
Malangnya, seruan supaya mengikut al-Quran dan as-Sunnah mengikut fahaman Salafu Soleh pun diejek dan dipermain-mainkan oleh sebilangan umat Islam.
Wallahua’lam.