1. Secara umumnya, terdapat lima hukum taklifi iaitu wajib, sunat, harus, makruh, dan haram.
2. Maka, apabila kita mahu melakukan sesuatu perkara, wajib atas kita untuk mengetahui apakah hukum bagi perbuatan yang mahu kita kerjakan itu.
Misalnya, jika kita ingin berniaga, kita wajib mengetahui adakah perniagaan yang mahu kita jalankan itu termasuk dalam jenis perniagaan yang dibenarkan oleh syarak atau tidak.
Jika tidak, kita telah pun mendapat dosa sebelum memulakan aktiviti perniagaan tersebut, kerana beramal tanpa ilmu, sedangkan Allah telah berfirman:
وَلَا تَقۡفُ مَا لَیۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَوَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُو۟لَـٰۤىِٕكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولࣰا
Maksudnya:
"Janganlah engkau ikut apa yang engkau tidak ada ilmu tentangnya. Sesungguhnya, pendengaran, penglihatan dan daya intelek, setiap satunya pasti akan ditanya tentang (penggunaan)nya."
[Surah al-Isrâ’ (17) : 36]
3. Selain daripada lima hukum tersebut, sebahagian 'ulamak usul fiqh menetapkansatu lagi hukum taklifi iaitu Khilaf Awla, yang merupakan pecahan daripada makruh, tetapi hukumnya ringan sedikit berbanding makruh.
Sebahagian 'ulamak menyebutnya sebagai makruh tanzihi, iaitu perbuatan makruh yang lebih baik ditinggalkan, bagi membezakannya dengan makruh tahrimi iaitu perbuatan makruh yang menghampiri hukum haram.
4. Walau bagaimana pun, baik makruh tanzihi mahu pun tahrimi, melakukannya tetap tidak berdosa dan meninggalkannya akan diberikan pahala.
Demikianlah kesan melakukan makruh bagi umat Nabi Muhammad s.a.w.
5. Hal ini berbeza jika perbuatan makruh itu dilakukan oleh Nabi s.a.w., kerana meskipun secara dasarnya, baginda tidak suka melakukan perkara makruh, tetapi ada kalanya baginda melakukan perbuatan makruh dengan tujuan untuk menjelaskan hukum bahawa ianya tidak haram, seperti mendedahkan peha, kencing sambil berdiri dan sebagainya.
Kerana itulah apabila Nabi s.a.w. melakukan perbuatan makruh, baginda diberikan pahala, kerana ia termasuk dalam tugas baginda sebagai Nabi untuk menjelaskan hukum kepada manusia.
Tetapi, oleh kerana perbuatan itu makruh, maka baginda tidak selalu melakukannya.
Wallahua'lam.