Rasulullah s.a.w. bersabda:
لا تَدْخُلُ المَلائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلاصُورَ
"Malaikat tidak masuk ke dalam rumah yang di dalamnya ada anjing atau gambar."
[Muttafaqun 'Alaih]
Berdasarkan hadis ini, ramai ‘ulamak yang melarang menggantung gambar di dalam rumah. Tetapi, ada juga sebahagian ‘ulamak yang membenarkannya. Dengan kata lain, hal ini termasuk dalam masalah khilafiah yang mana kita tidak perlu terlalu berkeras dengannya.
‘Ulamak yang membenarkan perbuatan menggantung gambar mempunyai beberapa alasan, antaranya kerana menurut mereka, larangan ini bertujuan untuk menghapuskan segala perkara yang boleh mendorong kepada kesyirikan, terutamanya pada zaman awal Islam dan kepada orang-orang yang baru memeluk Islam, yang sebelum ini telah terbiasa beribadah dengan berdoa kepada nenek moyang melalui gambar-gambar mereka.
Hal ini jauh bezanya dengan umat Islam yang telah bersih daripada kebiasaan Kaum Musyrikin terdahulu, kerana suasana penyembahan atau pengibadahan kepada individu yang berada di dalam gambar itu telah tiada.
Namun begitu, kita seharusnya mengambil sikap berhati-hati, kerana dikhuatiri gambar-gambar tersebut tetap boleh membawa kepada unsur-unsur pemujaan.
Demikianlah juga halnya dengan anjing yang dilarang di dalam hadis di atas. Tujuannya adalah untuk menjauhkan kita daripada kebiasaan orang-orang kafir yang menjadikan anjing sebagai haiwan peliharaan di dalam rumah.
Kerana itulah di dalam hadis-hadis lain, ada disebutkan kebenaran membela anjing bagi tujuan keselamatan seperti menjaga haiwan ternakan dan tanaman.
Maka, menurut 'ulamak yang mengharuskan perbuatan menggantung gambar di dalam rumah, hadis ini tidak membawa maksud yang malaikat tidak masuk ke dalam rumah kerana zat gambar dan anjing itu sendiri, tetapi kerana suasana-suasana lain yang menjadi latar bagi larangan tersebut.
Bagi memahami hal ini, kita perlu tahu membezakan antara perkara yang disebutkan sebagai haram lizatih (haram kerana zatnya) dengan haram lighairih (haram kerana perkara lain selain daripada zatnya).
Contoh perkara haram lizatih adalah khinzir. Maka, tidak kiralah bagaimana ia diternak atau dimasak, siapa yang menyembelihnya, atau adakah kita mengetahui hikmah pengharamannya atau tidak, kerana ia telah diharamkan oleh Allah, maka kekallah hukumnya sebagai haram.
Hal ini berbeza dengan perkara-perkara haram lighairih seperti gambar, muzik dan melihat aurat mahram kita. Kita diharamkan melihat aurat mahram kita bukanlah kerana anggota badan itu sendiri yang haram untuk dilihat, tetapi kerana kita belum berkahwin dengannya. Setelah berkahwin dengannya, ia tidak lagi menjadi haram. Jika melihat aurat mahram itu haram lizatih, nescaya selepas berkahwin pun, pengharaman itu masih kekal.
Demikianlah juga dengan haiwan ternakan yang disembelih oleh orang kafir; ia haram dimakan oleh orang Islam bukanlah kerana haiwan itu haram untuk dimakan, tetapi kerana ia disembelih bukan atas dasar keimanan kepada Allah.
Jadi, jika kita mahu beramal dengan pendapat ‘ulamak yang mengharuskan perbuatan menggantung gambar, kita hendaklah memahami latar hukum ini dan memastikan perbuatan kita tersebut bebas daripada unsur-unsur yang boleh membawa kepada pengagungan, pemujaan atau penyembahan makhluk yang berada di dalam gambar tersebut.
Walau bagaimana pun, jika kita meninggalkan terus perbuatan ini, ia lebih baik, kerana keluar daripada khilaf itu mustahab.
Wallahua’lam.