Allah s.w.t. berfirman:
وَابْتَغِ فِيمَا آتَاكَ اللهُ الدَّارَ الْآخِرَةَ
Maksudnya:
“Dan carilah dengan apa sahaja yang telahAllah kurniakan kepadamu (di dunia ini) kebahagiaan negeri akhirat.”
[Surah al-Qasas (28) : 77]
Di dalam ayat ini, Allah memerintahkan kitauntuk menggunakan segala nikmat kurniaan Allah di dunia yang fana’ ini untuk mencari kebahagian akhirat yang kekal abadi.
Sesungguhnya, ini adalah tanda kebijaksaan seorang mukmin, iaitu apabila dia boleh memanfaatkan nikmat yang sementara untuk kebahagian yang kekal untuk selama-lamanya.
Dan kurniaan Allah ini datang dalam pelbagai bentuk, seperti ilmu, makanan, kuasa, anak dan lain-lain lagi.
Maka, apabila kita mempunyai anak, berikanlah pendidikan kepadanya supaya dia tetap berbakti kepada kita sehinggalah setelah kita meninggal dunia, dengan doa-doa yang terus dia panjatkan untuk kita supaya pahala amalan kita tidak terputus dengan kematian kita.
Demikianlah juga dengan kuasa. Apabila Allah melantik kita sebagai pemimpin dalam sesebuah organisasi yang besar mahupun yang kecil, hendaklah kita manfaatkan jawatan yang kita ada itu untuk mengumpul saham di negeri akhirat.
Adalah tidak bijak apabila kita menggunakan nikmat dunia yang sementara ini semata-mata untuk mendapatkan nikmat dunia yang juga bersifat sementara, seperti pemimpin yang menggunakan jawatannya semata-mata untuk mengumpulkan kekayaan untuk dirinya sahaja.
Walhal sepatutnya dengan jawatan itu, dia boleh merangka dasar-dasar yang baik untuk kemaslahatan rakyat di bawah tanggungannya sehingga dia beroleh pahala yang sangat besar dan berterusan meskipun setelah dia berhenti daripada menjadi pemimpin.
Lebih malang lagi apabila kekayaan itu dikaut dengan cara yang salah seperti menyeleweng hasil mahsul negara dan diajarkannya pula ilmu yang salah itu kepada anak-anak dan ahli keluarganya yang lain.
Kesannya, dia bukan sahaja merana di akhirat, tetapi di dunia lagi dia telah merasai kesan buruk daripada perbuatannya itu.
Wallahu a'lam.