Fitnah kepada pembawa sunnah berpunca daripada rasa alergik masyarakat kita terhadap perkataan “Bid’ah,” walhal frasa tersebut bukanlah rekaan kita. Sebaliknya, yang mula-mula menuturkannya adalah Nabi s.a.w. sendiri, sebagaimana yang direkodkan di dalam banyak hadis, antaranya:
فإنَّ خَيْرَ الحَديثِ كِتَابُ اللهِ، وَخَيْرُ الهُدَىهُدَى مُحَمَّدٍ، وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا، وَكُلُّ بدْعَةٍ ضَلَالَةٌ
Maksudnya: “Demi sesungguhnya, sebaik-baik perkataan adalah Kitabullah, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad, seburuk-buruk urusan (agama) adalah apa yang direka padanya dan setiap bid’ah adalah kesesatan.”
Di dalam riwayat lain, baginda bersabda:
إنَّ أصدقَ الحديثِ كتابُ اللَّهِ، وأحسَنَ الهديِ هديُمحمَّدٍ، وشرَّ الأمورِ محدثاتُها، وَكُلَّ مُحدثةٍ بدعةٌ، وَكُلَّ بدعةٍ ضلالةٌ، وَكُلَّ ضلالةٍ في النَّارِ
Maksudnya: “Sesungguhnya, perkataan yang paling benar adalah Kitabullah, sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad, seburuk-buruk urusan (agama) adalah apa yang direka padanya, setiap rekaan itu adalah bid’ah, setiap bid’ah adalah kesesatan dan setiap kesesatan (tempat kembalinya adalah) di neraka.”
Terdapat banyak lagi hadis lain semisal dengan dua buah hadis di atas yang memberikan ancaman kepada kita supaya tidak melakukan tokok-tambah dalam urusan agama, sehingga para sahabat pun seringkali menggunakan ungkapan ini.
Antaranya, Sa’d bin Thoriq bin Asyyam pernah memberitahu anaknya bahawa Qunut Subuh yang dilakukan oleh sebahagian umat Islam pada zaman tersebut adalah muhdats (rekaan) yang bererti bid’ah. Hal ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam at-Tirmizi dengan sanadnya daripada Abu Malik al-Asyja’iy r.a., katanya:
قُلْتُ لأَبِي يَا أَبَةِ إِنَّكَ قَدْ صَلَّيْتَ خَلْفَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ وَعَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ هَا هُنَا بِالْكُوفَةِ نَحْوًا مِنْ خَمْسِ سِنِينَ أَكَانُوا يَقْنُتُونَ قَالَ أَىْ بُنَىَّ مُحْدَثٌ
Maksudnya: “Aku telah bertanya kepada ayahku, ‘Wahai abah. Sesungguhnya, engkau telah bersolat di belakang Rasulullah s.a.w., Abu Bakr, ‘Umar, ‘Utsaman dan ‘Ali bin Abu Tholib di Kufah ini sekitar lima tahun. Adakah mereka dahulu berqunut (pada Solat Subuh)?’ Beliau menjawab, ‘Wahai anakku, ia adalah rekaan (bid’ah).’”
Demikian juga ‘Abdullah bin Mughoffal r.a. pernah menasihat anaknya supaya meninggalkan bacaan basmalah secara jahr atas alasan bid’ah, sebagaimana yang direkodkan oleh al-Imam at-Tirmizi dengan sanadnya daripada Ibn ‘Abdillah bin Mughoffal r.a.huma., katanya:
سَمِعَنِي أَبِي، وَأَنَا فِيالصَّلاَةِ، أَقُولُ: (بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) فَقَالَ لِي أَىْ بُنَىَّ مُحْدَثٌ إِيَّاكَ وَالْحَدَثَ . قَالَ وَلَمْ أَرَ أَحَدًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم كَانَ أَبْغَضَ إِلَيْهِ الْحَدَثُ فِي الإِسْلاَمِ يَعْنِي مِنْهُ . قَالَ وَقَدْ صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم وَمَعَ أَبِي بَكْرٍ وَمَعَ عُمَرَ وَمَعَ عُثْمَانَ فَلَمْ أَسْمَعْ أَحَدًا مِنْهُمْ يَقُولُهَا فَلاَ تَقُلْهَا إِذَا أَنْتَ صَلَّيْتَ فَقُلِ: (الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ) .
Maksudnya: “Ayahku telah mendengar aku menyebut ‘Bismillahirrahmanirrahim’ di dalam solat. Beliau pun lantas berkata, ‘Wahai anakku, itu adalah rekaan (bid’ah). Hendaklah engkau menjauhi rekaan (bid’ah).’
Kata beliau lagi, ‘Aku tidak melihat ada perkara yang lebih dibenci oleh setiap orang sahabat daripada melakukan rekaan di dalam Islam.’
Kata beliau lagi, ‘Aku telah bersolat bersama-sama dengan Nabi s.a.w, Abu Bakr, ‘Umar dan ‘Utsman, tetapi aku belum pernah mendengar seorang pun daripada mereka yang menyebutnya (basmalah). Maka, janganlah engkau menyebutnya. (Tetapi,) apabila engkau bersolat, sebutlah sahaja (secara jahr), ‘Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin (iaitu ayat kedua Surah al-Fatihah).’”
Selanjutnya, frasa ini terus digunakan oleh para aimmah yang menjadi ikutan kita seperti al-Imam asy-Syafi’i, al-Imam an-Nawawi, al-Imam as-Suyuthi dan ramai lagi. Misalnya, apabila al-Imam an-Nawawi ditanya tentang Solat Raghaib yang masyhur pada zamannya kerana disebut di dalam kitab-kitab yang masyhur seperti Ihya’ ‘Ulumid Din, beliau menjawab:
هي بدعة قبيحة منكرَة أشد إِنكار،مشتملة على منكرات، فيتعين تركها والِإعراض عنها، وإِنكارُها على فاعلها، وعلى ولي الأمر وفقه الله تعالى منعُ الناس من فعلها: فإنه راعٍ، وكلُ راعٍ مسؤولٌ عن رعيته. وقد صنف العلماء كتبًا في إنكارها وذمَّها، وتسفيه فاعلها، ولا يغتر بكثرة الفاعلين لها في كثير من البلدان، ولا بكونها مذكورةً في قوت القلوب وإِحياء علوم الدين ونحوهِما فإنها بدعة باطلة، وقد صح أن النبي صلى الله عليه وآله وسلم قال: "مَنْ أحْدَثَ في ديننَا ما لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ" وفي الصحيح: أنه صلى الله عليه وآله وسلم قال: "من عمل عملًا ليس عليه أمرنا فهو رد" وفي صحيح مسلم وغيره: أنه صلى الله عليه وآله وسلم قال: "كلُّ بِدْعَةٍ ضلالة" وقد أمر الله تعالى عند التنازع بالرجوع إِلى كتابه فقال تعالى: {فَإِنْ تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللَّهِ وَالرَّسُولِ إِنْ كُنْتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ}
Maksudnya: “Ia adalah bid’ah yang jelek lagi tercela, malah paling tercela yang termasuk dalam kemungkaran. Maka, ia hendaklah ditinggalkan dan berpaling daripadanya serta mengingkari orang yang melakukannya.
Buat pemimpin pula, semoga Allah Ta’ala memberikan petunjuk dan kekuatan kepadanya untuk menghalang manusia daripada melakukannya, kerana dia adalah pemimpin dan setiap pemimpin bertanggungjawab atas orang yang berada di bawah tanggungannya.
Para ‘ulamak telah mengarang kitab-kitab bagi mengingkari dan mencela pelaksaan solat tersebut serta menampakkan kebodohan orang yang melakukannya. Usahlah tertipu dengan ramainya orang yang melakukannya di banyak negara dan usahlah terpedaya kerana ia disebut di dalam kitab Qutul Qulub, Ihya ‘Ulumiddin dan sebagainya kerana sesungguhnya, ia adalah bid’ah yang batil, sedangkan telah sahih bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda, ‘Barangsiapayang melakukan rekaan di dalam agama kami yang tidak berasal daripadanya, maka ianya tertolak.’
Di dalam Sahih Muslim, baginda bersabda, ‘Barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan yang tiada padanya suruhan daripada kami, maka ianya tertolak.’ Di dalam Sahih Muslim dan selainya, baginda s.a.w. bersabda, ‘Setiap bid’ah itu menyesatkan.’ Dan Allah Ta’ala juga telah memerintahkan kita supaya kembali kepada Kitab-Nya apabila berlakukanya perbezaan pendapat, melalui firman-Nya, ‘Maka, jika kalian berselisih pendapat dalamsesuatu perkara, hendaklah kalian mengembalikan urusan itu kepada Allah dan Rasul jika kalian benar-benar beriman dengan Allah dan Hari Akhirat.’”
Demikian juga al-Imam as-Suyuthi menghukum perbuatan berselawat secara jahr sebagai bid’ah, sebagaimana kata beliau:
ومن البدع في الخطبة أشياء، فمنذلك... وتكلفهم رفع الصوت في الصلاة على النبي وذلك جهل، فإن الصلاة على النبي إنما هو دعاء له، والأدعية جميعها السنة فيها الإسرار دون الجهر وحيث يسن الجهر فهو لمصلحة كدعاء القنوت.
Maksudnya: “Termasuk dalam perbuatan bid'ah dalam khutbah (Juma’at) adalah beberapa perkara, antaranya ialah.. khatib sangaja menyusahkan makmum supaya meninggikan suara untuk berselawat ke atas Nabi dan ia adalah satu bentuk kejahilan kerana sesungguhnya selawat ke atas Nabi hanyalah doa untuk baginda dan sunnah untuk doa-doa secara keseluruhannya adalah dibaca secara sir (perlahan) tanpa jahr (menguatkan suara). Adapun doa yang disunnahkan bacaanya secara jahr, ia kerana mempunyai maslahah tertentu, seperti doa qunut.”
[as-Suyuthi, al-Amru bil Ittiba' (247-249).]
Ungkapan bid’ah ini tidak hanya berlegar dalam kalangan ‘ulamak Mazhab Syafi’i, malah ia juga digunakan oleh aimmah daripada mazhab-mazahb lain. Antaranya, al-Imam al-Fakihani, ‘ulamak besar daripada Mazhab Maliki yang juga tokoh besar aliran Asya’irah, ketika mana beliau ditanya tentang sambutan Maulid Nabi, kata beliau:
لا أعلم لهذا المولد أصلاً فيكتاب ولا سنة، ولا ينقل عمله عن أحد من علماء الأمة، الذين هم القدوة في الدين، المتمسكون بآثار المتقدمين، بل هو بِدعة أحدثها البطالون، وشهوة نفسٍ اغتنى بها الأكالون، بدليل أنَّا إذا أدرنا عليه الأحكام الخمسة قلنا: إما أن يكون واجباً، أو مندوباً، أو مباحاً، أو مكروهاً، أو محرماً. وهو ليس بواجب إجماعاً، ولامندوباً؛ لأن حقيقة المندوب: ما طلبه الشرع من غير ذم على تركه، وهذا لم يأذن فيه الشرع، ولا فعله الصحابة، ولا التابعون ولا العلماء المتدينون - فيما علمت - وهذا جوابي عنه بين يدي الله إن عنه سئلت. ولا جائز أن يكون مباحاً؛ لأن الابتداع في الدين ليس مباحاً بإجماع المسلمين. فلم يبق إلا أن يكون مكروهاً،أو حراماً
Maksudnya: “Tidaklah aku ketahui yang sambutan Maulid ini mempunyai asal daripada kitab (al-Quran) mahupun sunnah, tidak juga dinukilkan amalannya daripada seorang pun ‘ulamak umat ini yang menjadi teladan (bagi kita) dalam agama iaitu mereka yang berpegang teguh dengan atsar orang-orang terdahulu.
Sebaliknya, ia adalah bid’ah rekaan orang-orang yang sesat dan nafsu syahwat yang meluap-luap daripada orang-orang yang kuat makan, berhujahkan jika kita menilainya dengan hukum taklif yang lima, kita berkata, ‘Boleh jadi hukumnya sama ada wajib, sunat, harus, makruh atau haram.’
Hukumnya (sambutan Maulid Nabi) bukan wajib secara ijma', dan ia juga bukan sunat kerana hakikat sunat adalah apa yang dituntut oleh syarak untuk melakukannya tanpa diberikan dosa jika meninggalkannya, sedangkan sambutan ini tidak dibenarkan oleh syarak dan tidak juga dilakukan oleh para sahabat, tabi’in mahupun mana-mana ‘ulamak yang berpegang teguh dengan agamanya sekadar pengetahuanku. Dan inilah jawapanku di depan Allah nanti jika aku ditanya tentang isu ini.
Hukumnya juga bukan harus kerana melakukan bid’ah dalam urusan agama tidak termasuk dalam perkara yang dibenarkan menurut kesepakatan seluruh umat Islam. Maka, hukumnya tidak lagi tinggal melainkan sama ada ianya makruh atau haram sahaja.”
Jadi, apa pendirian kita sekarang? Adakah kita mahu menuduh yang para ‘ulamak ini menghukum orang-orang yang melakukan bid’ah menurut penilaian mereka ini sebagai ahli neraka?
Semestinya tidak.
Sebaliknya, apa yang difatwa oleh aimmah tersebut semata-mata berasaskan kajian dan ijtihad mereka. Daripada fatwa aimmah inilah kita boleh temui kesilapan daripada ‘ulamak lain, kerana se’alim mana pun seorang ‘ulamak, seperti al-Imam al-Ghazali, mereka tetap tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
Maka, tidak sepatutnya masyarakat menuduh golongan yang menyebut perihal bid’ah ini menolak kedamaian atau cuba mengkucar-kacirkan keharmonian hidup masyarakat. Sedang hakikatnya, menerima bid’ah itulah yang merosakkan kesejahteraan hidup kita. Sebaliknya, menyeru manusia supaya kembali kepada yang asal iaitu as-Sunnah itulah yang menjamin kesejahteraan hidup kita di dunia dan akhirat.
Namun begitu, sekiranya sesuatu perkara itu sememangnya termasuk dalam daerah khilaf mu’tabar, kita hendaklah bertolak ansur dan tidak memaksa pendapat kita kepada orang lain, apatah lagi membid’ahkannya.
Meskipun ada dalam kalangan sahabat yang menghukum sesuatu amalan yang termasuk dalam khilaf mu’tabar sebagai bid’ah (seperti qunut subuh dan bacaan basmalah secara jahr), sebaik-baiknya kita mengelak daripada menghukum amalan-amalan tersebut sebagai bid’ah kerana pendapat yang bertentangan dengan fatwa sahabat tersebut mempunyai dalil dan hujah yang kuat di sisi aimmah yang lain. Adapun sahabat yang menghukum amalan tersebut sebagai bid’ah, mereka juga mempunyai hujah dan alasan mereka yang tersendiri yang juga perlu kita hormati.
Hanyasanya, ada sebahagian manusia yang berdalih dengan alasan khilaf semata-mata untuk mempertahankan pendirian atau amalannya yang pada hakikatnya adalah bid’ah. Ajaran seperti ini memang wajib ditegur kerana ia hanya menjauhkan manusia daripada sunnah, meskipun ramai yang berasa tidak selesa dengannya.
Jika tidak, lama-kelamaan, agama akan rosak dan manusia menjadi semakin jauh daripada Allah kerana tidak ada kebaikan pada bid’ah. Kebaikan itu hanya ada pada sunnah.
Wallahu a’lam.