Secara umumnya, penguasaan al-Imam al-Ghazali terhadap ilmu hadis dapat dibahagikan kepada dua peringkat.
Peringkat pertama adalah ketika beliau menulis kitab al-Ihya’. Pada peringkat ini, penguasaannya terhadap ilmu hadis masih kurang kemas. Kerana itulah beliau bukan sahaja banyak memuatkan hadis-hadis dha’if di dalam kitab al-Ihya’, malah hadis-hadis palsu juga boleh ditemui di dalamnya.
Peringkat kedua pula ketika beliau menulis kitab al-Mustasfa. Meskipun al-Mustasfa adalah kitab usul fiqh, tetapi di dalamnya, turut dimuatkan beberapa perbahasan tentang ilmu hadis.
Di dalam kitab ini, kita akan dapati bahawa penilaian yang dilakukan oleh al-Imam al-Ghazali terhadap hadis sangat ketat sehingga beliau mendakwa bahawa hanya terdapat empat buah hadis marfu’ yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas r.a.huma. Selebihnya, hanyalah hadis mursal.
Walhal para ‘ulamak lain berpendapat bahawa terdapat sekitar 10 atau beberapa belas buah hadis marfu’ yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas r.a.huma. Tetapi, kerana ketatnya penilaian hadis yang dilakukan oleh al-Imam al-Ghazali, maka menurutnya hanya empat buah hadis marfu’ sahaja yang layak untuk dinisbahkan kepada Ibn ‘Abbas r.a.huma.
Selain itu, pada peringkat ini, beliau juga berani mengkritik al-Imam al-Bukhari dengan mendakwa bahawa terhadap sebuah hadis tidak sahih yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari di dalam Sahihnya, iaitu hadis yang mengisahkan tentang Nabi s.a.w. mensolatkan jenazah ‘Abdullah bin Ubai, ketua munafiq di Madinah:
عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ ـ رضى الله عنه ـ أَنَّهُ قَالَ لَمَّا مَاتَ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ أُبَىٍّ ابْنُ سَلُولَ دُعِيَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم لِيُصَلِّيَ عَلَيْهِ فَلَمَّا قَامَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَثَبْتُ إِلَيْهِ، فَقُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَتُصَلِّي عَلَى ابْنِ أُبَىٍّ وَقَدْ قَالَ يَوْمَ كَذَا كَذَا وَكَذَا قَالَ أُعَدِّدُ عَلَيْهِ قَوْلَهُ، فَتَبَسَّمَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَقَالَ " أَخِّرْ عَنِّي يَا عُمَرُ ". فَلَمَّا أَكْثَرْتُ عَلَيْهِ قَالَ " إِنِّي خُيِّرْتُ فَاخْتَرْتُ، لَوْ أَعْلَمُ أَنِّي إِنْ زِدْتُ عَلَى السَّبْعِينَ يُغْفَرْ لَهُ لَزِدْتُ عَلَيْهَا ". قَالَ فَصَلَّى عَلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ثُمَّ انْصَرَفَ فَلَمْ يَمْكُثْ إِلاَّ يَسِيرًا حَتَّى نَزَلَتِ الآيَتَانِ مِنْ بَرَاءَةَ {وَلاَ تُصَلِّ عَلَى أَحَدٍ مِنْهُمْ مَاتَ أَبَدًا} إِلَى قَوْلِهِ {وَهُمْ فَاسِقُونَ} قَالَ فَعَجِبْتُ بَعْدُ مِنْ جُرْأَتِي عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم وَاللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ.
Maksudnya: Daripada ‘Umar bin al-Khattab r.a., bahawasanya beliau berkata, “Tatkala matinya ‘Abdullah bin Ubai Ibn Salul, Rasulullah s.a.w. telah dijemput untuk mensolatkan jenazahnya.
Lalu, apabila Nabi s.a.w. telah berdiri (untuk mendirikan solat jenazah), aku menerpa ke arahnya, seraya berkata, ‘Wahai Rasulullah, adakah engkau akan mensolatkan Ibn Ubai sedangkan pada hari itu, dia telah pun berkata sekian sekian perkara terhadapmu?’ Aku pun menyebutkan satu persatu segala apa yang telah dia katakan kepada baginda.
Rasulullah s.a.w. pun tersenyum, lalu bersabda, ‘Tangguhkanlah (kata-katamu itu) dariku wahai ‘Umar.’ Tetapi, apabila aku bercakap lebih banyak kepada baginda, baginda pun bersabda, ‘Sesungguhnya, aku telah diberikan pilihan (sama ada mahu mensolatkannya atau tidak), dan aku telah memilih (untuk mensolatkannya). Dan kalaulah aku tahu yang dia akan diampunkan jika aku memohon keampunan untuknya lebih daripada 70 kali, nescaya aku akan melakukan lebih daripada itu.’
Maka, Rasulullah s.a.w. pun bersolat. Kemudian, baginda meninggalkan tempat tersebut. Tetapi, tidak lama kemudian, turunlah dua ayat dari Surah al-Bara’ah (Surah at-Taubah), iaitu firman-Nya (yang bermaksud), ‘Janganlah engkau solat kepada seorang pun yang mati dalam kalangan mereka (orang-orang munafiq) selama-lamanya,’ sehinggalah firman-Nya (yang bermaksud), ‘sedang mereka itu adalah orang-orang yang fasiq.’
Selepas kejadian itu, aku berasa hairan dengan keberanianku terhadap Rasulullah s.a.w. ketika itu. Allah dan Rasul-Nya sahajalah yang lebih mengetahui.”
Sesungguhnya, kemampuan al-Imam al-Ghazali mengkritik hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari ini menunjukkan teguhnya penguasaan beliau terhadap ilmu hadis kerana al-Imam al-Bukhari adalah seorang yang sangat berhati-hati dalam memuatkan hadis-hadis di dalam Sahihnya, sehingga mustahil untuk menemui hadis dha’if di dalamnya melainkan bagi mereka yang benar-benar menguasai ilmu hadis.
Maka, tidak hairanlah apabila diceritakan yang al-Imam al-Ghazali meninggal dunia dalam keadaan Sahih al-Bukhari berada di dadanya, yang menjadi isyarat bahawa beliau meninggal dunia dalam keadaan sedang membaca kitab tersebut.
Wallahu a’lam.