Tidak terdapat satu pun hadis yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. mengangkat tangan dan berdoa selepas solat fardhu, baik secara bersendirian mahupun secara berjama’ah.
Namun, tidaklah mengapa untuk melakukannya sekali-sekala, selagi mana masyarakat tidak menganggapnya sebagai sunnah.
Tetapi, sebaik-baik tempat untuk berdoa adalah di dalam solat iaitu ketika berada dalam posisi sujud sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:
أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ
Maksudnya:
“Posisi yang paling dekat antara seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia sedang bersujud. Maka, perbanyakkanlah doa (ketika itu).”
Demikianlah juga halnya berdoa selepas tahiyyat dan sebelum memberi salam; ia juga termasuk dalam salah satu tempat mustajab doa di dalam solat sebagaimana yang sabit dengan sebuah hadis riwayat al-Imam at-Tirmizi dengan sanadnya daripada Abu Umamah, katanya:
قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَىُّ الدُّعَاءِ أَسْمَعُ قَالَ جَوْفُ اللَّيْلِ الآخِرُ وَدُبُرَ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوبَاتِ
Maksudnya:
Telah ditanya kepada Rasulullah s.a.w., “Doa apakah yang paling didengari (dan paling cepat dikabulkan oleh Allah)?” Baginda menjawab, “(Doa) pada penghujung malam dan pada penghujung solat-solat fardhu.”
Di dalam hadis di atas, Nabi s.a.w.menganjurkan kita supaya berdoa pada penghujung solat; bukannya selepas solat sebagaimana yang menjadi amalan kebiasaan masyarakat pada hari ini. Maka, itulah sebaik-baik waktu untuk berdoa ketika solat.
Wallahu a’lam.