Terdapat dua buah doa berbuka puasa yang masyhur disebarkan dalam kalangan masyarakat kita.
1. Doa yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud di dalam Sunannya, dengan sanadnya:
حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ مُحَمَّدِ بْنِ يَحْيَى أَبُو مُحَمَّدٍ، حَدَّثَنَا عَلِيُّ بْنُ الْحَسَنِ، أَخْبَرَنِي الْحُسَيْنُ بْنُ وَاقِدٍ، حَدَّثَنَا مَرْوَانُ، - يَعْنِي ابْنَ سَالِمٍ - الْمُقَفَّعُ قَالَ رَأَيْتُ ابْنَ عُمَرَ يَقْبِضُ عَلَى لِحْيَتِهِ فَيَقْطَعُ مَا زَادَ عَلَى الْكَفِّ وَقَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم إِذَا أَفْطَرَقَالَ " ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَ الأَجْرُ إِنْشَاءَ اللَّهُ "
Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Muhammad bin Yahya Abu Muhammad, telah menceritakan kepada kami ‘Ali bin al-Hasan, telah mengkhabarkan kepadaku al-Husain bin Waqid, telah menceritakan kepada kami Marwan – iaitu Ibn Salim al-Muqaffa’ – katanya, “Aku telah melihat Ibn ‘Umar menggenggam janggutnya, lalu beliau memotong apa yang melebihi panjang genggamannya, dan beliau berkata, “Dahulu, apabila Rasulullah s.a.w. telah berbuka puasa, baginda menyebut:
ذَهَبَ الظَّمَأُ وَابْتَلَّتِ الْعُرُوقُ وَثَبَتَالأَجْرُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ
“Telah hilang rasa dahaga, telah basah tekak dan telah mendapat pahala insya Allah.”
[Sahih Abi Daud (2357) : Hasan]
· Apa yang diceritakan oleh Marwan bin Muqaffa’ bahawa beliau pernah melihat ‘Abdullah bin ‘Umar r.a. huma. memotong janggutnya itu adalah sebagai bukti bahawa beliau adalah tabi’in yang benar-benar pernah bertemu dengan Ibn ‘Umar r.a.huma., sehingga sanad hadis ini pun bersambung.
· Adapun doa yang diajarkan oleh Ibn ‘Umar r.a.huma. di atas, ia dibaca selepas berbuka puasa. Kerana itulah Nabi s.a.w. menyebut rasa dahaga telah hilang dan tekak telah basah. Jika doa ini dibaca sebelum berbuka puasa, maksudnya bersalahan dengan zahir hadis.
· Ungkapan “Telah mendapat pahala insya Allah,” dijadikan hujah oleh Ahlus Sunnah wal Jama’ah bahawa pemberian pahala adalah hak mutlaq Allah s.w.t. Hal ini berbeza dengan pendirian Muktazilah yang meyakini bahawa Allah wajib memberikan pahala atas setiap amalan hamba-hamba-Nya.
2. Doa yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud di dalam Sunannya, dengan sanadnya:
حَدَّثَنَا مُسَدَّدٌ، حَدَّثَنَا هُشَيْمٌ، عَنْ حُصَيْنٍ، عَنْ مُعَاذِ بْنِ زُهْرَةَ، أَنَّهُ بَلَغَهُ أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا أَفْطَرَ قَالَ " اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ "
Telah menceritakan kepada kami Musaddad, telah menceritakan kepada kami Husyaim, daripada Hushain, daripada Mu’az bin Zuhrah, bahawasanya telah disampaikan kepadanya bahawa dahulu, apabila Nabi s.a.w. hendak berbuka puasa, baginda menyebut:
اللَّهُمَّ لَكَ صُمْتُ وَعَلَى رِزْقِكَ أَفْطَرْتُ
“Ya Allah ya Tuhan kami, kerana Engkau, aku berpuasa dan dengan rezeki-Mu, aku akan berbuka.”
[Dha’if Abi Daud (2358) : Dha’if]
· Di dalam sanad hadis ini, Mu’az bin Zuhrah mengkhabarkan bahawa telah disampaikan hadis ini kepadanya bahawa Nabi s.a.w. membaca doa ini apabila baginda hendak berbuka puasa.
Istilah “telah disampaikan kepadanya” menunjukkan bahawa hadis ini dha’if kerana Mu’az bin Zuhrah adalah seorang tabi’in. Maka, beliau tidak pernah bertemu dengan Nabi s.a.w.
Beliau juga tidak mengkhabarkan siapakah yang memberitahu hadis ini kepadanya. Oleh yang demikian, hadis ini dikira sebagai mursal yang merupakan salah satu jenis hadis dha’if.
· Namun begitu, ia boleh diamalkan kerana maknanya tidak bercanggah dengan syarak.
· Di dalam Raudhatul Muhtajin, al-Imam an-Nawawi menyebutkan bahawa terdapat ziyadah iaitu bacaan tambahan di dalam riwayat lain, iaitu dari jalur Ibn ‘Abbas r.a.huma. yang meriwayatkan lafaz doa berikut:
اللَّهمَّ لكَ صُمتُ، وعلى رِزقِكَ أفطَرتُ فتَقبَّلْ مِنَّا إنَّكَ أنتَ السَّميعُ العَليمُ
“Ya Allah ya Tuhan kami, kerana Engkau aku berpuasa dan dengan rezeki-Mu aku akan berbuka, maka terimalah (puasa) daripada kami ini. Sesungguhnya, Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”
Meskipun tambahan ini pun dha’if, tetapi sekurang-kurangnya masih ada hadis yang meriwayatkannya.
· Selanjutnya, al-Imam an-Nawawi menyatakan bahawa tambahan lafaz:
وبك آمنت وعليك توكلت
“Dan dengan-Mu aku beriman dan kepada-Mu aku bertawakkal,”
tidak sabit dari sebarang riwayat meskipun ia masyhur dalam amalan masyarakat.
Namun begitu, jika kita membacanya sekalipun, ia tidaklah berdosa kerana maksudnya tidak menyalahi syarak.
· Hanyasanya kita perlu mengetahui bahawa doa ini dan tambahan-tambahan yang disandarkan kepadanya tidak sabit dari hadis-hadis yang sahih atau hasan. Maka, tidaklah boleh kita menyandarkannya secara pasti kepada Nabi s.a.w.
Wallahua’lam.