Selain hadis Jariyah yang masyhur, yang mana Nabi s.a.w. mengiyakan jawapan seorang hamba perempuan yang menyatakan bahawa Allah berada di atas langit, terdapat banyak lagi nas lain yang menunjukkan hakikat yang sama, iaitu Allah berada di atas langit, dalam erti kata Allah meninggi di atas ‘Arasy-Nya yang agung.
Antaranya, firman Allah s.w.t.:
أَمۡ أَمِنتُم مَّن فِی ٱلسَّمَاۤءِ أَن یُرۡسِلَ عَلَیۡكُمۡ حَاصِبࣰاۖ فَسَتَعۡلَمُونَ كَیۡفَ نَذِیرِ
“Patutkah kalian berasa aman daripada Dia yang berada di atas langit (yang berkuasa) untuk mengirimkan kepada kalian angin kencang berisi batu-batu kerikil?! Dengan demikian itu, kalian pasti akan mengetahui bagaimana buruknya kesan amaran-Ku!”
[Surah Al-Mulk (67): 17]
Dalam menafsirkan ayat ini, al-Imam Ibn Jarir ath-Thabari (224 - 310H), seorang mufassir terulung dari generasi Salaf yang bertaraf mujtahid mutlaq, berkata:
﴿أَمْ أَمِنْتُمْ مَنْ فِي السَّمَاءِ﴾ وهوالله ﴿أَنْ يُرْسِلَ عَلَيْكُمْ حَاصِبًا﴾ وهو التراب فيه الحصباء الصغار
{Patutkah kalian berasa aman daripada Dia yang berada di atas langit} iaitu Allah {(yang berkuasa) untuk mengirimkan kepada kalian angin kencang berisi batu-batu kerikil)} iaitu debu yang di dalamnya berisi batu-batu kecil.
Demikianlah juga dengan ucapan ummul mu’minin, Zainab bin Jahsyin, bekas isteri Zaid bin Tsabit (anak angkat Rasulullah s.a.w.) yang mana Allah telah memerintahkan Nabi s.a.w. supaya bernikah dengannya untuk memutuskan adat jahiliah yang melarang bapa mertua daripada bernikah dengan menantu kepada anak angkatnya, lantas Zainab berkata di hadapan isteri-isteri Nabi s.a.w. yang lain:
زَوَّجَكُنَّ أَهَالِيكُنَّ وَزَوَّجَنِي اللَّهُ تَعَالَى مِنْ فَوْقِ سَبْعِ سَمَوَاتٍ
“Kalian telah dinikahkan (dengan Rasulullah s.a.w.) oleh ahli keluarga kalian, sementara aku telah dinikahkan oleh Allah Ta’ala dari atas tujuh lapisan langit!”
Dan yang lebih jelas lagi adalah sabda Nabi s.a.w. sendiri bahawasanya:
لَمَّا قَضَى اللَّهُ الْخَلْقَ كَتَبَ كِتَابًاعِنْدَهُ غَلَبَتْ أَوْ قَالَ سَبَقَتْ رَحْمَتِي غَضَبِي فَهُوَ عِنْدَهُ فَوْقَ الْعَرْشِ
"Tatkala Allah telah menetapkan untuk mencipta makhluk, Dia menulis suatu catatan di sisi-Nya iaitu 'Rahmat-Ku mengatasi atau mendahului kemurkaan-Ku,' sedang Dia berada di sisi catatan itu di atas ‘Arasy."
Semua nas ini begitu jelas, terang dan mudah difahami sehingga 'Abdullah bin Mas'ud r.a. berkata:
بَيْن السَّمَاء الدُّنْيَا وَاَلَّتِي تَلِيهَا خَمْسمِائَةِ عَام ,وَبَيْن كُلّ سَمَاء مسيرة خَمْسمِائَةِ عَام , وَبَيْن السماء السَّابِعَة وَبَيْن الْكُرْسِيّ خَمْسمِائَةِ عَام , وَبَيْن الْكُرْسِيّ وَبَيْن الْمَاء خَمْسمِائَةِ عَام , وَالْعَرْش فَوْق الْمَاء وَاَللَّه فَوْق الْعَرْش وَلا يَخْفَى عَلَيْهِ شَيْء مِنْ أَعْمَالكُمْ
“Jarak antara langit dunia dengan langit seterusnya adalah sejauh 500 tahun perjalanan. Jarak antara setiap langit seterusnya juga sejauh 500 tahun perjalanan. Jarak antara langit ketujuh dengan Kerusi adalah sejauh 500 tahun perjalanan.
Jarak antara Kerusi dengan Air juga 500 perjalanan, sedang 'Arasy berada di atas Air itu dan Allah Yang Maha Agung berada di atas 'Arasy itu dalam keadaan tidak tersembunyi sedikit pun segala perbuatan kalian daripada pengetahuan-Nya."
[Sahih Ibn Khuzaimah (105)]
Atsar 'Abdullah bin Mas'ud r.a. di atas menunjukkan bahawa langit sekalian alam ini diliputi oleh Kerusi, sedang Kerusi itu pula diliputi oleh Air, dan Air itu pula diliputi oleh 'Arasy Allah. Kemudian, Allah berada di atas 'Arasy-Nya dalam keadaan Dia terpisah daripada sekalian makhluk-Nya.
Sesungguhnya, 'aqidah inilah juga yang diimani oleh para ‘ulamak dari generasi Salafu Soleh, sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Imam at-Tirmizi (209 - 279 H) bahawa mereka semua beriman bahawasanya:
عِلْمُ اللَّهِ وَقُدْرَتُهُ وَسُلْطَانُهُ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَهُوَ عَلَى الْعَرْشِ كَمَا وَصَفَ فِي كِتَابهِ
"Ilmu Allah, qudrat-Nya dan kekuasaan-Nya berada di setiap tempat, sedang Dia berada di atas ‘Arasy sebagaimana yang telah Dia sifatkan di dalam Kitab-Nya."
Maka, inilah yang diimani oleh Salafu Soleh iaitu mereka percaya bahawa Allah berada di atas langit sesuai dengan sifat yang layak dengan-Nya, sebagaimana Allah juga turun ke langit dunia pada setiap sepertiga malam sesuai dengan sifat yang layak dengan-Nya.
Hal ini berbeza dengan Kaum Khalaf seperti dari aliran Asya’irah dan Maturidiah, yang mana mereka melakukan takwilan terhadap nas yang berkaitan dengan masalah ini yang sesuai dengan ketinggian zat Allah. Tujuannya adalah untuk mengelakkan dari wahm atau was-was yang mungkin timbul pada pemikiran manusia.
Hanyasanya, apabila Nabi s.a.w. sendiri tidak menjelaskan hakikat keberadaan Allah di atas langit secara lanjut lebih daripada apa yang disebutkan di dalam nas, maka ia menunjukkan bahawa masalah ini sememangnya tidak berhajat kepada perbahasan lanjut.
Atau dengan kata lain, cukuplah ia diimani sebagaimana ia datang, dalam keadaan kita mensucikan Allah daripada segala persamaan sifat yang terbayang di fikiran kita, kerana Allah tidak serupa dengan sebarang makhluk.
Wallahua’lam.