Sepatutnya, kita wajib menyayangi semua Kaum Muslimintanpa mengira apa pun keturunannya. Demikianlah juga kasih sayang yang kita curahkan terhadap keturunan Nabi s.a.w., dengan syarat mereka tidak menyeleweng daripada jalan yang lurus, kerana tidak terdapat sebarang jaminan bahawa keturunan Nbai s.a.w. itu tidak akan sesat.
Maka, jika ada mana-mana keturunan Nabi s.a.w. yang menyeleweng daripada ajaran baginda, kita tidak boleh menyayangi, apatah lagi mengikutnya. Bahkan, dia mesti ditentang. Begitulah ajaran Nabi s.a.w., apabila ada ahli keluarga baginda yang menentang Islam yang dibawa oleh baginda.
Selain itu, kita juga perlu berwaspada dengan sesetengah pihak yang mendakwa bahawa dirinya adalah Ahlul Bait, semata-mata kerana mahu mendapatkan kedudukan dan pengaruh di sisi masyarakat, sedangkan boleh jadi dia fasiq atau dia bukanlah keturunan Nabi s.a.w.
Tetapi, kita tidak boleh menjatuhkan hukuman begitu secara semberono kepada setiap yang mendakwa bahawa dirinya adalah Ahlul Bait, sebaliknya kita perlu bertabayyun dengan memeriksa salasilah keturunannya serta melihat kepada akhlaq dan ilmunya.
Pada masa yang sama, kita hendaklah mengetahui bahawasanya keturunan yang mulia bukanlah neraca mutlaq dalam mengukur kemuliaan seseorang, sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:
وَمَنْ بَطَّأَ بِهِ عَمَلُهُ لَمْ يُسْرِعْ بِهِ نَسَبُهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang dilambatkan (daripada memasuki syurga) oleh amalannya, dia tidak akan dipercepatkan (untuk memasuki syurga) oleh keturunannya.”
Ertinya sesiapa sahaja yang mempunyai amalan yang buruk, dia perlu menjalani azab terlebih dahulu sebelum memasuki syurga, sedang keturunannya yang baik tidak berguna sama sekali untuk mempercepatkan urusannya memasuki syurga.
Inilah asas yang diletakkan oleh Rasulullah s.a.w. yang seharusnya menjadi pegangan kita; bukan bersandar kepada keturunan semata-mata.
Wallahu a’lam.