Ada ‘ulamak yang lahir sebagai seorang yang genius, tetapi ada juga yangpada asalnya agak lemah dalam pelajaran, tetapi tidak berputus asa, sehingga akhirnya Allah mengangkat darjat mereka sebagai ilmuwan terbilang.
Antaranya ialah Abul Fadhl Ahmad bin Ali bin Muhammad al-Asqalani (773 –852 H) yang masyhur dengan gelaran al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani.
Seawal usia lima tahun, Ibn Hajar telah diuji dengan kematian kedua-dua orang ibu bapanya. Maka, sejak dari itu, beliau dibesarkan oleh kakaknya.
Di sekolah, Ibn Hajar terkenal sebagai seorang yang sangat rajin menuntut ilmu, meskipun penguasaannya terhadap ilmu selalu jauh ketinggalan jika dibandingkan dengan kawan-kawannya yang lain.
Tetapi, Ibn Hajar tidak berputus asa. Beliau tetap tegar menuntut ilmu sehinggalah usianya mencecah 40 tahun. Malangnya, tahap penguasaannya terhadap ilmu masih kekal di takok lama, sehingga akhirnya beliau memutuskan untuk pulang ke kampung halaman dan tidak lagi meneruskan pengajiannya yang mula dirasakan sia-sia.
Dalam perjalanan pulang, hujan turun dengan sangat lebat sehingga Ibn Hajar terpaksa berteduh di dalam sebuah gua. Di situ, beliau melihat air hujan turun mencurah-curah di atas seketul batu yang besar sehingga meninggalkan lekuk di bahagian atas batu itu.
Dari situlah Ibn Hajar berasa insaf betapa akalnya tidak mungkin lebih keras daripada batu. Maka, beliau tekad untuk kembali ke sekolahnya dan meneruskan pengajiannya di sana.
Bermula dari saat itulah Ibn Hajar mengalami perubahan dan mula memahami serta mampu menghafal segala apa yang dipelajarinya selama ini.
Dan bermula dari usia 40-an itulah juga, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani mula menghasilkan karya-karya ilmiah bermutu tinggi yang masih digunakan sehingga ke hari ini, seperti Fathul Bari, Bulughul Muram, Tahzibut Tahzib, al-Isobah fi Tamyizis Sohabah dan banyak lagi yang semuanya berjumlah 282 judul, sehinggalah akhirnya beliau meninggal dunia pada usia 79 tahun.
Kerana itulah beliau digelar sebagai Ibn Hajar yang bermaksud “anak batu.”
Demikianlah Allah Ta’ala memberikan taufiq dan membuka jalan kepada sesiapa yang bersungguh-sungguh mencari hidayah, meskipun pada asalnya, kita mungkin bukanlah orang yang bijak. Tetapi berkat kesungguhan dan keikhlasan, Allah pasti tidak akan mensia-siakan usaha dan doa kita.
Maka, benarlah firman-Nya:
وَٱلَّذِینَ جَـٰهَدُوا۟ فِینَا لَنَهۡدِیَنَّهُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِینَ
"Orang-orang yang bersungguh-sungguh berjihad di atas jalan Kami, Kami pasti akan menunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Sesungguhnya, Allah sentiasa bersama-sama dengan orang-orang yang melakukan kebaikan."
[Surahal-`Ankabut (29) : 69]
Wallahu a'lam.