Secara umumnya, terdapat dua perkara yang menjerumuskan umat Islam ke lembah kesesatan iaitu:
1. Bermudah-mudah dalam menerima hadis tanpa mengambil tahu statusnya; dan
2. Tidak menerima hakikat bahawa adanya bid’ah idhofiyyah dalam urusan agama.
Kejahilan tentang pembahagian bid’ah kepada haqiqiyyah dan idhofiyyah ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan masyarakat awam, malah para penuntut ilmu pun rata-rata tidak mengetahuinya.
Kerana itulah ramai yang masih terperangkap dalam pembahagian bid’ah kepada hasanah dan sayyi’ah atau pembahagian bid’ah mengikut lima hukum taklifi semata-mata; itu pun dalam keadaan mereka masih terkeliru tentang perinciannya.
Walhal, pembahagian bid’ah kepada haqiqiyyah dan idhofiyyah yang dilakukan oleh al-Imam asy-Syathibi al-‘Asy’ari ini lebih menepati makna yang dikehendaki daripada nas.
MAKSUD BID’AH HAQIQIYYAH DAN IDHOFIYYAH
Bid’ah haqiqiyyah (bid’ah yang sebenar-benarnya) merujuk kepada rekaan dalam urusan agama yang tidak ditunjukkan oleh sebarang dalil syar’i, baik al-Quran, as-Sunnah, ijmak, mahupun qiyas, dan ia juga tidak berasaskan sebarang istidlal (kaedah pendalilan) yang muktabar di sisi para ‘ulamak, baik secara keseluruhan, mahupun sebahagian daripadanya.
Bukan itu sahaja, bahkan kadang-kala, amalan tersebut dilarang dengan jelas di dalam nas, seperti perbuatan meratap apabila berlakunya kematian, yang dilarang oleh Nabi s.a.w. melalui sabdanya:
لَيْسَ مِنَّا مَنْ ضَرَبَ الْخُدُودَ وَشَقَّ الْجُيُوبَ وَدَعَا بِدَعْوَى الْجَاهِلِيَّةِ
Maksudnya:
“Bukanlah dalam kalangan kami sesiapa yang menampar pipi, mengoyak baju dan meratap dengan ratapan jahiliah.”
Demikianlah juga halnya dengan perbuatan membuat binaan di atas kubur, menjadikan kubur sebagai masjid dan tempat perayaan, dan lain-lain lagi yang mana kesemua amalan ini telah dilarang oleh Nabi s.a.w. melalui sabda baginda yang jelas.
Bid’ah idhofiyyah (bid'ah tambahan) pula merujuk kepada sesuatu amalan atau kepercayaan yang mempunyai asalnya daripada dalil-dalil syarak jika dilihat pada satu sudut. Tetapi, jika dilihat pada sudut yang lain, tidak terdapat sebarang dalil syarak yang boleh dijadikan hujah untuk menyokong amalan atau kepercayaan tersebut, kerana ia diberikan suatu rupa atau diikat dengan dengan kaifiat tertentu yang tidak berasal daripada ajaran Nabi s.a.w.
Malangnya, bid’ah idhofiyyah ini kurang didedahkan kepada masyarakat. Walhal, ia telah ditentang sejak dari zaman sahabat lagi. Hal ini dapat dilihat daripada penyataan ‘Abdullah bin ‘Umar r.a.huma. yang menghukum amalan Solat Dhuha di masjid sebagai bid’ah, sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dengan sanadnya:
عَنْ مُجَاهِدٍ، قَالَ دَخَلْتُ أَنَا وَعُرْوَةُ بْنُ الزُّبَيْرِ الْمَسْجِدَ، فَإِذَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ ـ رضى الله عنهما ـ جَالِسٌ إِلَى حُجْرَةِ عَائِشَةَ، وَإِذَا نَاسٌ يُصَلُّونَ فِي الْمَسْجِدِ صَلاَةَ الضُّحَى. قَالَ فَسَأَلْنَاهُ عَنْ صَلاَتِهِمْ. فَقَالَ بِدْعَةٌ
Maksudnya:
Daripada Mujahid, katanya, “Aku dan ‘Urwah bin az-Zubair telah memasuki Masjid an-Nabawi. Ketika itu, ‘Abdullah bin ‘Umar r.a.huma. sedang duduk menghadap bilik ‘A’isyah, dan ada sekelompok manusia yang sedang menunaikan Solat Dhuha di dalam masjid. Maka, kami pun bertanya kepadanya tentang solat mereka, dan beliau menjawab, ‘Bid’ah.’”
Ada sebahagian ‘ulamak yang mendakwa bahawa ‘Abdullah bin ‘Umar menghukum Solat Dhuha sebagai bid’ah kerana beliau tidak mengetahui tentang pensyari’atannya. Tetapi pandangan ini kurang tepat kerana ‘Abdullah bin ‘Umar adalah seorang yang sangat ‘alim sehingga beliau termasuk dalam kalangan imam besar dalam kalangan para sahabat, sehingga hampir mustahil yang beliau tidak mengetahui tentang solat ini.
Sebaliknya, pendapat yang lebih tepat ialah beliau sebenarnya menghukum perbuatan orang ramai yang melazimi Solat Dhuha secara berjama’ah di masjid atau sengaja mendatangi masjid semata-mata untuk menunaikan Solat Dhuha, walhal tempat yang paling afdhol untuk menunaikan solat sunat adalah di rumah, sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:
فَإِنَّ أَفْضَلَ صَلاَةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلاَّ الصَّلاَةَ الْمَكْتُوبَةَ
Maksudnya:
“Sesungguhnya, sebaik-baik solat bagi setiap individu adalah (apa yang diirikan) di rumahnya, melainkan solat fardhu.”
Tetapi, kerana gagal memahami hakikat bid’ah idhofiyyah secara tuntas, ramai yang terjebak dengannya berdalilkan nas-nas umum dan dalih “Perkara baik, apa salahnya?”
Yang anehnya, dalam sebahagian situasi, mereka tahu bahawa ada amalan tertentu yang tidak boleh ditokok tambah berhujahkan nas-nas umum dan alasan “Perkara baik, apa salahnya,” seperti takbi rmuqayyad pada Hari Raya Fitrah yang dimulakan selepas terbenam matahari pada akhir Ramadhan dan tidak lagi dilakukan selepas selesai Solat Hari Raya.
Kenapa dalam situasi ini, mereka tidak melakukan takbir muqayyad sepanjang Bulan Syawal? Bukankah amalan ini baik di samping terdapat banyak nas umum yang menganjurkan amalan berzikir?
Mereka akan pasti menjawab, “Kerana bukan itu ajaran Nabi s.a.w.”
Jika sungguh demikian, kenapa ada yang berzikir sambil menari dan bermain alat muzik? Kenapa ada yang berzikir dengan zikir mufrad atau sebutan “Hu,” “Ah” dan sebagainya? Kenapa ada yang bergendang dan berqasidah di kubur? Kenapa ada yang membuat binaan di atas kubur dan menjadikannya sebagai masjid?
Adakah semua ini ajaran Nabi s.a.w.? Semestinya tidak, tetapi masih ramai yang melakukannya terutamanya dalam kalangan Kaum Sufi, sehingga mereka terpesong dari jalan yang lurus.
Maka, sepatutnya kita semua kembali kepada Allah dan Rasul-Nya, kerana hakikatnya, apabila kita melakukan bid’ah idhofiah, kita sedang “bergaduh” dengan Allah dan Rasulullah s.a.w.
Kita seolah-olah menganggap yang Nabi s.a.w. telah mengkhianati risalah dengan tidak mengajar agama sehingga selesai atau kita mentohmah Allah menipu apabila Dia berfirman bahawa agama ini telah disempurnakan pada zaman Nabi s.a.w. lagi.
Jadi, kita berharap mudah-mudahan Allah melimpahkan taufiq-Nya dan membuka hati seluruh umat manusia untuk mengikut ajaran Allah dan Rasul-Nya sehingga kita beroleh keselamatan di dunia dan akhirat.
TAMBAHAN PENULIS
Hakikatnya, pembahagian bid’ah kepada hasanah dan sayyi’ah (atau mahmudah dan mazmumah seperti yang dilakukan oleh al-Imam asy-Syafi’i) dan pembahagian bid’ah mengikut lima hukum taklifi yang dilakukan oleh al-Imam ‘Izzuddin bin ‘Abdus Salam tidak membawa kepada keharusan untuk melakukan bid’ah idhofiyyah.
Hal ini dapat dilihat melalui definisi bid’ah yang disebutkan oleh dua orang imam tersebut.
Pertama, al-Imam asy-Syafi’i berkata:
البدعة بدعتان، بدعة محمودة، وبدعة مذمومة، فما وافق السنة فهو محمود، وما خالف السنة فهو مذموم
Maksudnya:
"Bid'ah itu ada dua jenis iaitu bid'ah mahmudah (yang terpuji) dan bid'ah mazmumah (yang tercela). Maka, sebarang bid'ah yang menyepakati atau selari dengan sunnah Nabi s.a.w., ia adalah bid'ah yang terpuji dan sebarang bid'ah yang bertentangan dengan sunnah Nabi s.a.w., ia adalah bid'ah yang tercela."
[al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari (4/257)]
Maka, menurut definisi pertama ini, penanda aras bagi bid’ah yang terpuji mahupun tercela adalah sunnah Nabi s.a.w. iaitu ajaran baginda, baik melalui nas yang umum mahupun yang khusus, yang mutlaq mahupun yang muqayyad.
Yang menjadi kesilapan sebahagian asatizah ialah apabila mereka berhujah dengan nas-nas yang umum sahaja demi untuk menghalalkan bid’ah idhofiyyah yang mereka lakukan, lalu mereka mendakwa yang amalan tersebut adalah bid’ah mahmudah (atau hasanah) di sisi al-Imam asy-Syafi’i, walhal amalan tersebut bercanggah dengan nas-nas lain yang lebih khusus atau muqayyad, sehingga ia tidak menepati syarat bid’ah mahmudah yang ditetapkan oleh al-Imam asy-Syafi’I, iaitu menepati sunnah (ajaran) Nabi s.a.w.
Bagaimana mungkin amalan yang bercanggah dengan nas yang khusus atau muqayyad boleh dianggap sebagai selari dengan sunnah Nabi s.a.w. hanya kerana ia selari dengan nas-nas umum yang ditafsirkan mengikut fahaman mereka semata-mata?
Di dalam riwayat lain, al-Imam asy-Syafi’i menyebutkan definisi bid’ah yang lebih terperinci dengan berkata:
المحدثات من الأمور ضربان أحدهما ما أحدث يخالف كتابا أو سنة أو أثرا أو إجماعا فهذه البدعة الضلالة والثاني ما أحدث من الخير لا خلاف فيه لواحد من هذا فهذه محدثة غير مذمومة
Maksudnya:
"Perkara-perkara yang direka itu ada dua jenis. Salah satunya adalah rekaan yang bertentangan dengan al-Quran atau Sunnah Nabi s.a.w. atau atsar sahabat atau ijmak, maka ini adalah bid'ah dholalah (bid'ah yang menyesatkan). Dan yang kedua ialah rekaan yang baik yang tidak menyelisihi walaupun satu daripadanya (iaitu al-Quran, as-Sunnah, al-atsar dan ijmak), maka ini adalah rekaan terpuji yang tidak tercela."
[al-Imam al-Baihaqi, Manaqib asy-Syafi’i (1/469)]
Definisi ini pada hakikatnya menjelaskan lagi maksud sunnah (ajaran) Nabi s.a.w. yang disebutkan di dalam riwayat pertama ini di atas, iaitu sesuatu bid’ah itu hanya boleh dianggap sebagai sesuatu yang tidak tercela apabila ianya selari dengan al-Quran, as-Sunnah, atsar (pendapat) sahabat dan ijmak (kesepakatan semua ‘ulamak mujtahid yang hidup dalam sesuatu zaman terhadap sesuatu isu furu’ atau cabang fiqh).
Jika sesuatu bid’ah itu bercanggah dengan salah satu sahaja daripada empat sumber hukum ini, ia tidak boleh dianggap sebagai bid’ah yang tidak tercela. Sebaliknya, ia perlu dianggap sebagai bid’ah dholalah (yang menyesatkan).
Demikianlah juga dengan pembahagian bid’ah mengikut lima hukum taklifi yang disebutkan oleh al-Imam ‘Izzuddin bin ‘Abdus Salam melalui kalamnya:
البدعة منقسمة إلى: واجبة، ومحرمة، ومندوبة، ومكروهة، ومباحة. والطريق في ذلك أن تعرض البدعة على قواعد الشريعة، فإن دخلت في قواعد الإيجاب فهي واجبة، أو في قواعد التحريم فمحرمة، أو الندب فمندوبة، أو المكروه فمكروهة، أو المباح فمباحة،
Maksudnya:
“Bid’ah terbahagi kepada yang diwajibkan, yang diharamkan, yang disunatkan, yang
dimakruhkan dan yang diharuskan. Ianya dilakukan dengan membentangkan sesuatu bid’ah di atas prinsip-prinsip syari’ah.
Lalu, jika ia termasuk dalam prinsip-prinsip yang diwajibkan, maka ia pun wajib dikerjakan. Atau jika ia termasuk dalam prinsip-prinsip yang diharamkan, maka ia pun haram dikerjakan.
Atau jika ia termasuk dalam prinsip-prinsip yang disunatkan, maka ia pun sunat dikerjakan. Atau jika ia termasuk dalam prinsip-prinsip yang dimakruhkan, maka ia pun makruh dikerjakan. Atau jika ia termasuk dalam prinsip-prinsip yang diharuskan, maka ia pun harus dikerjakan.”
Lalu, al-Imam ‘Izzuddin memberikan contoh-contoh bagi setiap bid’ah tersebut dengan berkata:
وللبدع الواجبة أمثلة منها:الاشتغال بعلم النحو الذي يفهم به كلام الله تعالى وكلام رسول الله صلى الله عليه وسلم وذلك واجب؛ لأن حفظ الشريعة واجب، ولا يتأتى حفظها إلا بذلك وما لا يتم الواجب إلا به، فهو واجب، الثاني حفظ غريب الكتاب والسنة في اللغة، الثالث تدوين أصول الدين وأصول الفقه، الرابع الكلام في الجرح والتعديل، وتمييز الصحيح من السقيم، وقد دلت قواعد الشريعة على أن حفظ الشريعة فرض كفاية فيما زاد على المتعين ولا يتأتى ذلك إلا بما ذكرناه. وللبدع المحرمة أمثلة منها: مذاهب القدرية والجبرية والمرجئة والمجسمة والرد على هؤلاء من البدع الواجبة. وللبدع المندوبة أمثلة منهاإحداث الرُبِط والمدارس، وكل إحسان لم يعهد في العصر الأول، ومنها التراويح والكلام في دقائق التصوف، وفي الجدل، ومنها جمع المحافل للاستدلال إن قصد بذلك وجه الله تعالى. وللبدع المكروهة أمثلة: كزخرفة المساجد، وتزويق المصاحف. وللبدع المباحة أمثلة: منها المصافحة عقب الصبح والعصر، ومنها: التوسع في اللذيذ من المآكل والمشارب، والملابس والمساكن، ولبس الطيالسة، وتوسيع الأكمام. وقد يختلف في بعض ذلك فيجعلهبعض العلماء من البدع المكروهة، ويجعله آخرون من السنن المفعولة في عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم فما بعده، وذلك كالاستعاذة في الصلاة والبسملة
Maksudnya:
Antara contoh bid’ah-bid’ah yang diwajibkan ialah menyibukkan diri dengan ilmu nahu yang mana dengannya dapat difahami firman Allah Ta’ala dan sabda Rasulullah s.a.w. yang mana hal yang demikian itu wajib kerana hukum menjaga syari’at adalah wajib dan syari’at itu tidak mungkin boleh dijaga melainkan dengannya (menguasai ilmu nahu). Maka apa sahaja yang menyebabkan kewajiban tidak menjadi sempurna dengannya, maka ia juga menjadi wajib.
Contoh kedua (bid’ah yang diwajibkan) ialah menghafal maksud perkataan-perkataan yang janggal yang terdapat di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Contoh ketiga (bid’ah yang diwajibkan) ialah penulisan ilmu usulud din (‘aqidah) dan usulul fiqh.
Contoh keempat (bid’ah yang diwajibkan) ialah perbahasan dalam ilmu jarh dan ta’dil (kritikan dan pujian terhadap perawi hadis) dan mengasingkan hadis yang sahih daripada yang tidak sahih.
Antara contoh bid’ah-bid’ah yang diharamkan pula termasuklah Mazhab Qadariah, Mazhab Jabriyyah, Mazhab Murji'ah dan Mazhab Mujassimah. Manakala bantahan terhadap mazhab-mazhab itu pula termasuk dalam bid’ah-bidah yang diwajibkan.
Antara contoh bid’ah-bid’ah yang disunatkan ialah penubuhan markas-markas ketenteraan, sekolah-sekolah dan semua jenis kebaikan yang tidak ada pada zaman awal Islam (iaitu zaman Nabi s.a.w.), termasuklah (konsisten) Solat Tarawih (secara berjama’ah), perbahasan ilmu tasawuf secara mendalam dan berkumpul di tempat-tempat khusus untuk berdebat dengan membentangkan dalil masing-masing dengan syarat ia dilakukan dengan mengharapkan wajah Allah Ta’ala.
Antara contoh bid’ah-bid’ah yang dimakruhkan ialah seperti menghias masjid dan mushaf-mushaf al-Quran.
Antara contoh bid’ah-bid’ah yang diharuskan termasuklah bersalam-salaman usai Solat Subuh dan ‘Asar dan keluasan dalam menikmati pelbagai jenis makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal, memakai thoyalasah dan meluaskan lengan baju.
Tetapi, para ‘ulamak berbeza pendapat terhadap sebahagian daripada contoh yang disebutkan di sini. Maka, ada sebahagian ‘ulamak yang memasukkannya dalam kategori bid’ah-bid’ah yang dimakruhkan dan ada pula sebahagian yang lain memasukkannya dalam kategori sunnah-sunnah yang telah dilakukan pada zaman Rasulullah s.a.w. lagi, termasuklah berta’awwuz dan membaca basmalah dalam solat.
Perhatikanlah, betapa contoh-contoh bid’ah wajib dan sunat yang disebutkan oleh al-Imam al-‘Izz di atas langsung tidak menyebutkan perihal menokok tambah atau pengubahsuaian dalam urusan agama. Sebaliknya, ianya berkaitan dengan rekaan-rekaan yang diperlukan untuk menjaga keaslian agama dan kemaslahatan hidup manusia.
Adapun rekaan atau pengubahsuaian dalam urusan agama, ia diharamkan di dalam nas-nas yang banyak lagi sorih (jelas) antaranya, firman Allah Ta’ala:
أَمۡ لَهُمۡ شُرَكَٰٓؤُاْشَرَعُواْ لَهُم مِّنَ ٱلدِّينِ مَا لَمۡ يَأۡذَنۢ بِهِ ٱللَّهُۚ وَلَوۡلَا كَلِمَةُ ٱلۡفَصۡلِ لَقُضِيَ بَيۡنَهُمۡۗ وَإِنَّ ٱلظَّٰلِمِينَ لَهُمۡ عَذَابٌ أَلِيمٞ
Maksudnya:
"Adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu yang boleh mensyari'atkan sebarang perkara daripada urusan agama yang tidak diizinkan oleh Allah?! Kalaulah tidak kerana Dia telah menetapkan untuk menangguhkan hukuman ke atas mereka, sudah tentu mereka diazab serta-merta! Dan sesungguhnya, orang-orang yang zalim itu pasti beroleh azab yang pedih!"
[Surah asy-Syura (42) : 21]
Penyataan “mensyari'atkan sebarang perkara daripada urusan agama yang tidak diizinkan oleh Allah,” di dalam ayat di atas dijelaskan oleh al-Imam ath-Thabari sebagai membuat bid’ah dalam urusan agama.
Demikian juga dengan sabda Nabi s.a.w.:
مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ
Maksudnya:
"Barang siapayang melakukan sesuatu amalan yang tiada padanya suruhan daripada kami (Allah & Rasulullah s.a.w.), maka amalan itu tertolak (dikembalikan dan tidak diberikan pahala)."
Tidak cukup dengan mengingatkan umatnya supaya tidak melakukan amal ibadah yang tidak diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya, Nabi s.a.w. juga menjelaskan bahawa antara ciri-ciri utama Ahlus Sunnah wal Jama’ah pada akhir zaman ialah melakukan islah (pembaikan) terhadap ajaran Nabi s.a.w. yang telah dirosakkan oleh ramai manusia, supaya ia kembali dalam bentuknya yang asal, sebagaimana sabda baginda:
إِنَّ الدِّينَ بَدَأَ غَرِيبًا وَيَرْجِعُ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ الَّذِينَ يُصْلِحُونَ مَا أَفْسَدَ النَّاسُ مِنْ بَعْدِي مِنْ سُنَّتِي
Maksudnya:
“Sesungguhnya, Agama Islam bermula sebagai sesuatu yang tersisih dan ia akan kembali tersisih. Maka, beruntunglah orang-orang yang tersisih iaitu mereka yang memperbaiki sunnahku yang telah dirosakkan oleh orang ramai selepas kewafatanku, supaya ia kembali dalam bentuknya yang asal.”
Maka, tidak hairanlah apabila para sahabat sangat membenci inovasi yang dilakukan dalam urusan agama, sebagaimana yang disebutkan oleh ‘Abdullah bin Mughoffal r.a.:
وَلَمْ أَرَ أَحَدًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ أَبْغَضَ إِلَيْهِ الْحَدَثُ فِي الْإِسْلَامِ يَعْنِي مِنْهُ
Maksudnya:
"Aku tidak melihat ada perkara yang lebih dibenci oleh setiap seorang dari sahabat Rasulullah s.a.w. daripada mencipta perkara baru dalam Islam."
Kerana itulah kami berpendapat bahawa pembahagian bid’ah kepada haqiqiyyah dan idhofiyyah yang dilakukan oleh al-Imam asy-Syathibi itu lebih baik kerana ia memberikan gambaran yang lebih jelas terhadap hakikat bid’ah yang dilarang dalam agama.
Wallahu a’lam.