Pada zaman dahulu, ramai umat Islam di Malaysia yang mengagumi Syi’ah kerana perawatakan yang mereka bawa. Ketika itu, ramailah yang menggantung potret al-Khumaini di dalam rumah dan pejabat mereka.
Kesannya, walaupun setelah Syi’ah difatwakan sesat pada tahun 1994 oleh sekalian mufti di Malaysia, masih ramai yang bukan sahaja kekal mengagumi Syi’ah, malah telah ramai juga yang menganuti ajaran Syi’ah.
Kemudian, pada zaman moden ini, muncul pula golongan Habaib Sufi Quburi yang datang dengan perwatakan yang hampir sama. Mereka memasuki Malaysia bersama-sama dengan hiburan sehingga ada yang berqasidah di dalam masjid.
Walhal Nabi s.a.w. melarang kita daripada mengganggu orang lain dengan ibadah kita; apatah lagi bermain alat muzik di dalam masjid sehingga di dalam dan di luar masjid menjadi bising dengannya.
Sebenarnya, golongan ini mahu mengajak umat Islam mengikut jejak langkah agama-agama lain yang menjadikan muzik sebagai syi’ar agama mereka.
Anehnya, masyarakat kita seakan-akan tidak dapat berfikir betapa sebelum datangnya Habaib Sufi Quburi ini, bukanlah begini caranya Islam diamalkan di negara kita. Jadi, kenapa apabila mereka datang membawa sesuatu yang aneh, kita mudah pula menerimanya?
Adakah semata-mata kerana mereka mendakwa yang mereka adalah Ahlul Bait, maka segala yang mereka bawa itu pasti menepati sunnah Nabi s.a.w. tanpa sebarang penilaian?
Dan kini, mereka ajak pula umat Islam beribadah di kuburan dengan berdoa kepada orang-orang soleh yang telah meninggal dunia, sama seperti yang telah mereka lakukan di luar negara, atas alasan orang soleh kekal hidup di sisi Allah.
Persoalannya, ke mana sebenarnya golongan ini mahu bawa umat Islam? Adakah kepada mentauhidkan Allah atau kepada perantara antara kita dengan Allah?
Fikir-fikirkanlah.
Wallahu a’lam.