Terdapat beberapa cetakan kitab Sahih al-Bukhari yang dicemari unsur-unsur Syi’ah. Ia boleh dikesan melalui ungkapan "'Alaihis Salam" yang mengiringi nama sebahagian Ahlul Bait seperti ‘Ali bin Abu Tholib, Fathimah binti Muhammad s.a.w., Hassan bin ‘Ali r.a.hum. dan sebagainya.
Sedangkan di dalam nuskhah yang asli, nama-nama para sahabat termasuklah Ahlul Bait dalam kalangan sahabat, pasti diiringi dengan doa “Radhi Allahu ‘anhu” yang bermaksud semoga Allah meredhainya.
Sesungguhnya, ungkapan inilah yang lebih menepati petunjuk nas sebagaimana firman Allah Ta’ala di dalam al-Quran:
وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُم بِإِحْسَانٍ رَّضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ۚ ذَٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
Maksudnya:
“Orang-orang yang terdahulu lagi terawal (yang memeluk Islam) dalam kalangan Muhajirin dan Ansar serta orang-orang yang mengikut jejak langkah mereka dengan baik, Allah telah meredhai mereka dan mereka juga telah meredhai Allah (sebagai Tuhan mereka), dan Dia telah menyediakan untuk mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya anak-anak sungai. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Yang demikian itulah kemenangan yang agung!”
Surah at-Taubah (9) : 100
Adapun ungkapan “‘Alaihis Salam,” Ahlus Sunnah wal Jama’ah menggunakannya untuk para Nabi dan malaikat sahaja sebagaimana yang ditunjukkan oleh nas.
Maka, hendaklah kita berwaspada dengan jarum-jarum Syi’ah yang menyusup masuk di dalam Sahih al-Bukhari dan kitab-kitab Ahlus Sunnah yang bertujuan untuk mengelirukan dan memperdayakan kita.
Wallahu a’lam.