Firman Allah s.w.t.:
قُلِ ٱللَّهُمَّ مَـٰلِكَ ٱلۡمُلۡكِ تُؤۡتِی ٱلۡمُلۡكَ مَن تَشَاۤءُ وَتَنزِعُ ٱلۡمُلۡكَ مِمَّن تَشَاۤءُ وَتُعِزُّ مَن تَشَاۤءُ وَتُذِلُّ مَن تَشَاۤءُۖ بِیَدِكَ ٱلۡخَیۡرُۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَیۡءࣲ قَدِیرࣱ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad), "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan, Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."
[Surah Âli `Imrân (3) : 26]
Ada manusia yang dipandang mulia di dunia, sedang hakikatnya dia hina disisi Allah. Sebaliknya, ada pula manusia yang dipandang hina atau tidak diendahkan sama sekali di dunia, namun di sisi Allah, dia mempunyai kedudukan yang tinggi.
Namun, kita tidak nafikan bahawa memang ada juga manusia yang Allah tampakkan kemuliaan dan kehinaannya di sisi-Nya sejak di dunia lagi. Ertinya, sebagaimana dia mulia atau hina di sisi Allah, demikianlah juga kedudukannya di sisi manusia.
Tetapi, hakikat yang sebenar-benarnya, hanya Allah Ta’ala sajalah yang tahu.
Yang penting, apa sekali pun penilaian atau pandangan manusia terhadap kita, yang perlu kita utamakan adalah pandangan Allah kepada kita, kerana itulah hakikat kemuliaan atau kehinaan yang sebenar-benarnya.
Wallahu a’lam.