Firman Allah s.w.t.
وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُوا لِي وَلْيُؤْمِنُوا بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ
Maksudnya: "Apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang-Ku, (katakanlah) bahawa sesungguhnya Aku dekat. Aku memperkenankan doa-doa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka, hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan menta'ati-Ku) dan beriman dengan-Ku. Mudah-mudahan mereka akan mendapat petunjuk."
[Surah al-Baqarah (2) : 186]
Sesungguhnya, ayat ini mengajar tentang tauhid yang sejati, murni lagi tulen iaitu tauhid yang mengajak kita untuk berdoa dan beribadah kepada Allah secara langsung tanpa sebarang perantara, yang disebutkan sebagai Tauhid Uluhiyyah, iaitu mengesakan Allah dalam mensasarkan segala bentuk 'ibadah kita kepada-Nya semata-mata.
Malangnya, ada sebahagian umat Islam yang menentang Tauhid Uluhiyyah atas alasan ia menafikan tawassul dengan kemuliaan orang soleh, walhal tawassul dengan kemuliaan orang soleh termasuk masalah khilaf dan para ‘ulamak yang membenarkannya pun hanya menghukumnya sebagai harus; bukan wajib.
Hal ini berbeza dengan Tauhid Uluhiyyah yang bukan sahaja sabit dengan nas-nas yang sorih (jelas), malah hukumnya wajib.
Kesannya, sesiapa yang menyeru kepada Tauhid Uluhiyyah, dia akan disekat dari awal daripada menyampaikan ilmu di minbar-minbar masjid.
Lalu, yang tinggal hanyalah para penceramah yang menekankan soal kepentingan bertawassul dengan kemuliaan orang-orang soleh sehingga ada yang mengajak masyarakat berdoa di kubur untuk mendekatkan lagi jarak antara mereka dengan orang-orang soleh tersebut.
Sesungguhnya, ini adalah jejak langkah yang telah dilalui oleh Kaum Musyrikin terdahulu yang mana ekoran berasa tidak layak untuk berdoa secara langsung dengan Allah, mereka pun menjadikan orang-orang soleh sebagai perantara antara mereka dengan-Nya.
Dan umat pun terus dibiarkan jahil daripada mengenali syirik, sehingga ramai yang terjerumus ke dalamnya.
Sepatutnya kita semua bermuhasabah, jika apa yang kita amalkan ini benar, kenapa sehingga kini Allah tidak memenangkan kita atas kaum kuffar yang menindas kita, sedangkan Allah telah berjanji untuk membantu kita jika kita membantu agamanya?
Wallahu a’lam.