Di tempat kita dan di beberapa tempatlain, gelaran “Ahlus Sunnah wal Jama’ah,” seringkali disandarkan kepada aliran Asya’irah dan Maturidiah, seolah-olah mahu meminggirkan aliran Ahlul Hadis.
Walhal pengasas aliran Asya'irah sendiri iaitu al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari bukan sahaja menilai aliran Ahlul Hadis sebagai Ahlus Sunnah wal Jama’ah, malah beliau sendiri menyandarkan dirinya kepada mazhab ini.
Pengakuan ini dapat dilihat di dalambeberapa kitab tulisan beliau, antaranya Maqalat al-Islamiyyin (2/320) di dalam Bab:
هذه حكاية جملة قول أصحاب الحديث وأهل السنة
Maksudnya:
“Inilah cerita sejumlah pendapat Ashabul Hadis dan Ahlus Sunnah.”
Lalu, beliau sebutkan ‘aqidah mereka danmembandingkannya dengan ‘aqidah firqah-firqah lain di dalam Islam, antaranya beliau berkata:
وأن الله - سبحانه! -على عرشه كما قال: {الرَّحْمَنُ عَلَى الْعَرْشِ اسْتَوَى} [الرحمن: ٥] وأن له يدين بلا كيف كما قال: {خَلَقْتُ بِيَدَيَّ} [ص: ٧٥] وكما قال: {بَلْ يَدَاهُ مَبْسُوطَتَانِ} [المائدة: ٦٤] وأن له عينين بلا كيف كما قال: تَجْرِي بِأَعْيُنِنَا وأن له وجهاً كما قال: {وَيَبْقَى وَجْهُ رَبِّكَ ذُو الْجَلالِ وَالْأِكْرَامِ} [الرحمن: ٢٧]
Maksudnya:
“Bahawasanya Allah s.w.t. berada di atas ‘Arasy-Nya sebagaimana firman-Nya {Yang Maha Pemurah itu meninggi di atas ‘Arasy – Surah ar-Rahman (5)}, bahawasanya Dia mempunyai dua tangan tanpa diketahui kaifiatnya sebagaimana firman-Nya {Telah Aku ciptakan dengan kedua-dua tangan-Ku – Surah Sod (75)} dan sebagaimana firman-Nya {Bahkan kedua-dua tangan-Nya terbuka – Surah al-Ma’idah(64)}, bahawasanya Dia mempunyai dua mata tanpa diketahui kaifiatnya sebagaimana firman-Nya, {Yang belayar laju (sambil dilihat) dengan mata-mata Kami – Surah al-Qamar (14)} dan bahawasanya Dia mempunyai wajah sebagaimana firman-Nya {Dan kekallah wajah Tuhanmu, Pemilik Keagungan dan Kemuliaan – Surah ar-Rahman (27)}.”
Sampailah pada akhir bab ini, beliau berkata:
وبكل ما ذكرنا من قولهم نقول وإليه نذهب
Maksudnya:
“Dengan semua pendapat mereka yang telah kami sebutkan itu, kami pun berkata dan bermazhab dengan yang demikian itu.”
Ucapan beliau ini membuktikan bahawa beliau mengiktiraf Ahlul Hadis sebagai Ahlus Sunnah wal Jama’ah.
Alangkah janggalnya mereka yang tidak mengiktiraf Ahlul Hadis sebagai Ahlus Sunnah wal Jama’ah sehingga langsung tidak menukilkan pendapat yang diimani oleh Ahlul Hadis, sedangkan al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari sendiri bersama-sama dengan aliran ini.
Penyataan yang sama dapat ditemui di dalam kitab al-Ibanah yang juga dikarang oleh al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari.
Walaupun ramai yang mempertikaikan keabsahan kitab ini, tetapi mereka tidak mempunyai alasan yang kukuh bagi menyokong hujah mereka.
Yang jelas, para ulama mengiktiraf kitab al-Ibanah sebagai salah satu karya al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari. Di dalam kitab ini, beliau telah menulis sebuah bab berjudul:
باب في إبانة قول أهل الحق والسنة
Maksudnya:
“Bab Dalam Menerangkan Pendapat Ahlul Haq dan Sunnah.”
Di dalam bab tersebut, beliau berkata:
قولنا الذي نقول به وديانتنا التي ندين بها التمسك بكتاب ربنا عز وجل وسنة نبينا عليه السلام، وما روي عن الصحابة والتابعين وأئمة الحديث، ونحن بذلك معتصمون، وبما كان يقول به أبو عبد الله أحمد بن محمد بن حنبل
Maksudnya:
“Pandangan kami yang mana dengannya kami berkata dan dengannya juga kami jadikan pegangan agama kami ialah berpegang teguh dengan Kitab Suci Tuhan kita ‘Azza wa Jalla, sunnah Nabi kita a.s., dan termasuklah apa yang telah diriwayatkan daripada para sahabat, tabi’in dan imam-imam hadis; dengan yang demikian itulah kami berpegang teguh
dan termasuklah dengan apa yang diucapkan oleh Abu ‘Abdillah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal.”
Maka, jelaslah bahawasanya al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari bukan sahaja mengiktiraf Ahlul Hadis sebagai Ahlus Sunnah, malah beliau sendiri mengakui secara terbuka dengan lafaz yang jelas nyata yang beliau mengikut jejak langkah Ahlul Hadis di dalam masalah ‘aqidah.
Wallahu a’lam.