Al-Imam Abu ‘Isa at-Tirmizi telah meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:
لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي عَلَى الْحَقِّ ظَاهِرِينَ لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ يَخْذُلُهُمْ حَتَّى يَأْتِيَ أَمْرُ اللَّهِ. قَالَ أَبُو عِيسَى وَهَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ. قَالَ سَمِعْتُ مُحَمَّدَ بْنَ إِسْمَاعِيلَ يَقُولُ سَمِعْتُ عَلِيَّ بْنَ الْمَدِينِيِّ يَقُولُ وَذَكَرَ هَذَا الْحَدِيثَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي ظَاهِرِينَ عَلَى الْحَقِّ. فَقَالَ عَلِيٌّ هُمْ أَهْلُ الْحَدِيثِ.
Maksudnya:
“Akan sentiasa ada satu kelompok dari umatku yang sentiasa menegakkan kebenaran. Orang-orang yang mengabaikan (tidak membantu) mereka tidak akan dapat memudaratkan mereka sehinggalah datangnya ketetapan Allah (iaitu kematian mereka).”
Abu ‘Isa berkata, “Ini adalah hadis bertaraf Hasan Sahih (iaitu taraf hadis paling sahih di sisi al-Imam at-Tirmizi).”
Kata beliau lagi, “Aku telah mendengar Muhammad bin Isma’il (iaitu al-Imamal-Bukhari) berkata, ‘Aku telah mendengar ‘Ali bin al-Madini (iaitu guru kepada al-Imam al-Bukhari) berkata selepas meriwayatkan hadis ini, ‘Mereka adalah Ahlul Hadis.’’”
Di dalam satu lagi riwayat, Rasulullah s.a.w. bersabda:
لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي مَنْصُورِينَ لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ. قَالَ مُحَمَّدُ بْنُ إِسْمَاعِيلَ قَالَ عَلِيُّ بْنُ الْمَدِينِيِّ هُمْ أَصْحَابُ الْحَدِيثِ. قَالَ أَبُو عِيسَى وَفِي الْبَابِ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ حَوَالَةَ وَابْنِ عُمَرَ وَزَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ وَعَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو. وَهَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ.
Maksudnya:
“Akan sentiasa ada satu kelompok dari umatku yang sentiasa dibantu (oleh Allah). Orang-orang yang mengabaikan mereka tidak akan dapat memudaratkan mereka sehinggalah berlakunya Hari Qiyamat.”
Muhammad bin Isma’il berkata, ‘Ali bin al-Madini berkata, “Mereka adalah Ashabul Hadis.”
Abu‘Isa berkata, “Di dalam bab ini, terdapat juga riwayat yang datang daripada ‘Abdullah bin Hawalah, Ibn ‘Umar, Zaid bin Tsabit dan ‘Abdullah bin ‘Amru. Dan hadis ini bertaraf Hasan Sahih.”
Ahlul Hadis atau Ashabul Hadis yang dimaksudkan oleh al-Imam ‘Ali bin al-Madini di atas ialah Ahlus Sunnah. Cuma pada peringkat awalnya, mereka lebih dikenali dengan nama tersebut dan mereka juga memperkenalkan Salafu Soleh dengan gelaran tersebut.
Al-Imam Ahmad bin Hanbal juga pernah ditanya tentang maksud hadis ini. Beliau menjawab:
إِنْ لَمْ تَكُنْ هَذِهِ الطَّائِفَةُ الْمَنْصُورَةُ أَصْحَابَ الْحَدِيثِ فَلَا أَدْرِي مَنْ هُمْ
Maksudnya:
“Seandainya kelompok yang dibantu ini bukanlah Ashabul Hadis, maka tidaklah lagi aku tahu siapakah mereka (yang dimaksudkan oleh Nabi s.a.w.).”
Maka, al-Imam Ahmad bin Hanbal juga senada dengan al-Imam ‘Ali bin al-Madini di dalam masalah ini.
Jadi, siapakah Ahlul Hadis atau Ashabul Hadis itu?Mereka adalah imam-imam kita sebelum datangnya al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari, seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik bin Anas, al-Imam asy-Syafi’i, al-Imam Ahmad bin Hanbal dan ramai lagi.
Para aimmah ini mempunyai dasar 'aqidah mereka yang tersendiri yang diwairis sejak zaman Nabi s.a.w. sehingga kini.
Dengan demikian, kita akan dapat melihat kesinambungan ‘aqidah umat Islam dari zaman Nabi s.a.w. pergi kepada para sahabatnya,tabi’in, tabi’ut tabi’in, dan seterusnya sampai kepada zaman kita sekarang.
Hanyasanya nama “Ahlul Hadis” atau “Ashabul Hadis” itu sahaja yang tidak lagi digunakan.
Kesannya, timbullah beberapa masalah atau fitnah terhadap golongan yang berpegang dengan ‘aqidah ini, sehingga ‘aqidah mereka dipertikaikan, dinafikan dan disingkirkan daripada definisi Ahlus Sunnah sebagaimana yang didakwa oleh sebahagian pihak, padahal merekalah Ahlus Sunnah yang asal.
Dan Nabi s.a.w. sendiri telah mengkhabarkan bahawa golongan ini akan terus kekal selama-lamanya sehingga Hari Qiyamat.
Wallahu a’lam.